Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kementerian siar iklan penuh pertahan peranan tentera Indonesia yang diperluas

Sep 22, 2025 | 4:13 PM
Askar Tentera Darat Indonesia berkumpul di kompleks parlimen di Jakarta pada 1 September 2025. Pihak berkuasa Indonesia memperketat kawalan keselamatan pada tarikh itu selepas enam orang terbunuh dalam kekacauan akibat kesempitan ekonomi yang mencetuskan kemarahan ganas terhadap pasukan polis negara itu
Askar Tentera Darat Indonesia berkumpul di kompleks parlimen di Jakarta pada 1 September 2025. Pihak berkuasa Indonesia memperketat kawalan keselamatan pada tarikh itu selepas enam orang terbunuh dalam kekacauan akibat kesempitan ekonomi yang mencetuskan kemarahan ganas terhadap pasukan polis negara itu - Foto AFP

JAKARTA: Kementerian Pertahanan Indonesia pada 22 September menyiarkan iklan satu halaman penuh dalam akhbar terbesar negara, Kompas, untuk mempertahankan penglibatan tentera dalam pelbagai program bukan ketenteraan di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

Iklan bertajuk  ‘Tidak Lagi Hanya Tentera: Pertahanan Rakyat Gaya Indonesia’ itu menegaskan bahawa dasar kementerian kini telah “berubah menjadi pertahanan rakyat berasaskan kesejahteraan dan kerjasama rentas sektor.”

Sejak dipilih sebagai presiden tahun 2024 lalu, Encik Prabowo memperluas pengaruh tentera dengan menempatkan lebih ramai pegawai dalam jabatan kerajaan serta menyerahkan pelbagai projek strategik kepada angkatan tentera. Antaranya termasuk program makan tengah hari percuma di sekolah, pengeluaran ubat-ubatan, projek pertanian, malah pengambilalihan ladang kelapa sawit.

Menurut iklan tersebut, terdapat 10 program utama di bawah kementerian, termasuk pembentukan 100 batalion baru dalam sektor kesihatan dan pertanian serta pembangunan makmal tentera untuk menghasilkan ubat.

Kementerian juga menyatakan ribuan graduan muda telah dilatih dengan “pendekatan ketenteraan” untuk mengurus dapur awam dan pemakanan masyarakat. Graduan ini dilantik sebagai ketua dapur atau pakar nutrisi di seluruh negara.

“Kami sedang membina ketahanan nasional melalui penglibatan tentera dalam program strategik kerajaan,” tulis iklan itu, yang turut menyasarkan 500 batalion baru dalam tempoh lima tahun.

Langkah ini bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis dan pelajar bahawa Indonesia berisiko kembali ke era Orde Baru Suharto, apabila tentera menguasai politik dan pentadbiran awam.

Zamil pelawat di institut pemikir ISEAS-Yusof Ishak yang berpangkalan di Singapura, Made Supriatma menyifatkan dasar-dasar itu sebagai ‘sekularisasi ‘ sektor awam. “Mereka hanya cuba mempromosikannya kepada orang ramai (melalui iklan), tetapi sama ada orang ramai bersetuju atau tidak, tidak relevan kerana ia sudah pun dilaksanakan,” katanya kepada Reuters.

Kementerian pertahanan tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan Reuters untuk mengulas mengenai sebab pengeluaran iklan itu.

Iklan ini diterbitkan hanya beberapa hari selepas Mahkamah Perlembagaan menolak petisyen untuk membatalkan pindaan undang-undang ketenteraan yang diluluskan pada Mac lalu.
Dalam keputusan 5-4, hakim memutuskan proses parlimen adalah sah walaupun dikritik kerana kurang rundingan awam.

“Kami tidak boleh mengatakan tiada ketelusan, kerana draf rang undang-undang telah didedahkan melalui laman sesawang, saluran YouTube, dan wawancara dengan ahli parlimen,” kata Hakim Guntur Hamzah ketika membacakan keputusan. Namun, empat hakim menyatakan pendapat berbeza, menandakan wujud perdebatan hangat dalam kalangan panel.

Beberapa kumpulan hak asasi manusia, pelajar, dan anak kepada bekas Presiden Abdurrahman Wahid memfailkan lima petisyen, namun hanya satu diterima untuk dipertimbangkan.

Encik Ardi Manto, Pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia Indonesia, berkata pihaknya akan mengemukakan aduan baru yang mencabar kandungan undang-undang itu.
Sementara itu, Muhammad Isnur dari Yayasan Bantuan Guaman Indonesia (YLBHI) menyifatkan mahkamah “gagal melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya.”
“Banyak fakta diabaikan. Empat hakim mempunyai pendapat berbeza… ini tanda ada perdebatan sengit di kalangan hakim,” katanya.

“Kita sudah lihat kesannya sekarang. Tentera berasa mereka mempunyai validitas untuk melakukan banyak tindakan yang bertentangan dengan semangat reformasi ketenteraan, dan ini memberi kesan serius kepada demokrasi Indonesia,” tambah beliau.

Keputusan mahkamah itu diumumkan ketika Indonesia dilanda gelombang protes selama dua minggu, sebahagiannya bertukar ganas, membantah keistimewaan ahli parlimen, bajet negara, salah laku polis, dan kebimbangan tentang militarisasi.

Ribuan pelajar dan aktivis membanjiri jalan raya di Jakarta dan beberapa bandar lain, melihat penggunaan tentera dalam urusan awam sebagai amaran terhadap masa depan demokrasi.

Dalam tempoh 11 bulan memegang jawatan, Prabowo bekas komander pasukan khas banyak bergantung kepada tentera untuk melaksanakan agenda beliau, termasuk mengawal tunjuk perasaan jalanan dan program jaminan makanan.

Minggu lalu, beliau turut melantik Jeneral (B) Djamari Chaniago, 77 tahun, sebagai Menteri Koordinator Keselamatan baru, sekali lagi menambah bilangan bekas tentera dalam kabinet.
Langkah-langkah ini menguatkan kebimbangan bahawa Prabowo sedang mengembalikan peranan besar tentera dalam kehidupan awam, sesuatu yang cuba dikurangkan selepas kejatuhan Suharto pada 1998. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg