Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia beri amaran tegas kepada jemaah cuba seludup air zamzam
Indonesia beri amaran tegas kepada jemaah cuba seludup air zamzam
Jumlah kematian jemaah haji Indonesia turun hampir separuh
Indonesia beri amaran tegas kepada jemaah cuba seludup air zamzam
JAKARTA: Pihak berkuasa haji Indonesia menyokong langkah pemeriksaan bagasi yang lebih ketat oleh Arab Saudi susulan peningkatan kes jemaah cuba membawa pulang air zamzam secara tersembunyi dalam bagasi mereka.
Isu itu mendapat perhatian ramai selepas video tular di media sosial memaparkan pegawai lapangan terbang Arab Saudi membuka dan memeriksa sejumlah besar bagasi jemaah Indonesia yang didapati menyimpan air zamzam di dalam botol minuman biasa.
Walaupun amaran telah berulang kali diberikan sepanjang musim haji 2026, pihak pengurusan haji di Surabaya, Jawa Timur, berkata masih ramai anggota jemaah membawa air zamzam sama ada dalam bagasi daftar masuk mahupun bagasi kabin.
Keadaan itu memaksa petugas lapangan terbang membuka bagasi dan mengasingkan air zamzam daripada barang peribadi lain.
Air zamzam yang diambil dari telaga di Masjidil Haram di Makkah dianggap suci oleh umat Islam dan sering dibawa pulang sebagai tanda kenangan ibadah haji.
Pihak berkuasa Arab Saudi melarang air zamzam dibawa dalam bagasi biasa kerana kebocoran boleh merosakkan bagasi lain serta mengganggu sistem pemeriksaan keselamatan dan pengendalian bagasi di lapangan terbang.
Pemangku Ketua Pejabat Wilayah Jawa Timur Kementerian Haji dan Umrah Indonesia, Encik M. As’adul Anam, berkata semua petugas penerbangan dan rombongan telah diarah agar mengingatkan jemaah supaya tidak menyimpan air zamzam dalam bagasi mereka.
“Larangan ini bersifat mutlak dan wajib dipatuhi oleh semua jemaah,” katanya pada 3 Jun.
“Selain melanggar peraturan penerbangan, ia juga boleh mengganggu proses pengendalian bagasi apabila pesawat tiba di Indonesia,” katanya.
Beliau menegaskan jemaah tidak perlu bimbang kehilangan hak mendapatkan air zamzam kerana pemerintah Indonesia sudah menyediakan sistem pengagihan rasmi secara berasingan daripada bagasi penumpang.
Menurut beliau, setiap anggota jemaah Indonesia tetap berhak menerima lima liter air zamzam selepas pulang ke tanah air menerusi saluran pengedaran yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Kami menggesa semua anggota jemaah agar mematuhi peraturan dan tidak cuba menyeludup air zamzam dalam bagasi mereka,” katanya.
Kementerian itu berkata pematuhan peraturan amat penting bagi memastikan proses kepulangan jemaah berjalan lebih pantas, selamat dan teratur.
Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa cubaan membawa air zamzam secara tidak sah boleh menyebabkan kelewatan pengagihan bagasi dan menyulitkan pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang Arab Saudi dan Indonesia.
Ketika jumlah jemaah yang pulang semakin meningkat, pihak pengurusan di Indonesia turut memperketat pemantauan bagasi bagi memastikan urusan penerbangan dan pengendalian bagasi berjalan lancar.
Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk Muslim terbesar di dunia menghantar kira-kira 221,000 anggota jemaah ke Arab Saudi bagi musim haji 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah Indonesia memaklumkan jumlah kematian jemaah haji negara itu berkurang dengan ketara pada musim haji 2026.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, berkata sehingga tamat kemuncak ibadah haji pada 30 Mei lalu, jumlah kematian jemaah Indonesia direkodkan sebanyak 134 orang, hampir separuh berbanding tempoh sama pada 2025.
“Pada tarikh sama tahun lalu (2025), jumlah kematian sudah mencecah 267 orang, manakala tahun ini (2026) sekitar 130 orang sahaja,” katanya seperti dipetik Kompas.com.
Menurut beliau, penurunan itu mencerminkan penambahbaikan dalam pengurusan perkhidmatan haji terutama dari segi penjagaan kesihatan dan pengurusan pergerakan jemaah di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Menurutnya, penyelarasan yang lebih baik membantu memastikan pergerakan jemaah lebih selamat dan teratur sepanjang musim haji.
“Kami akan terus menilai dan meningkatkan mutu perkhidmatan terutama dalam aspek kesihatan supaya kadar kematian dapat dikurangkan lagi pada masa depan,” katanya.
Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Mochamad Irfan Yusuf, turut berkata Arab Saudi memuji pengurusan haji Indonesia 2026 ini yang disifatkan menunjukkan peningkatan besar berbanding sebelumnya.
“Selepas melakukan pemeriksaan operasi haji Indonesia, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah, menyifatkan pencapaian tahun ini (2026) sebagai satu lonjakan luar biasa,” katanya pada 25 Mei.
Beliau turut memuji kerjasama erat antara kerajaan Indonesia dengan Arab Saudi dalam memastikan kebajikan jemaah terpelihara.
Walaupun menerima pujian, beberapa masalah kecil tetap berlaku termasuk khemah sesak dan penyaman udara rosak di beberapa kawasan di Mina.
Sebahagian jemaah juga dilaporkan terpaksa menunggu lama akibat kelewatan bas ketika cuaca panas melampau.
Seorang jemaah dari Medan, Sumatera Utara, Encik Muhammad Nasir, berkata keseluruhan pengalaman hajinya berjalan lancar walaupun terdapat beberapa cabaran kecil.
“Ada jemaah terpaksa tidur di luar khemah kerana ruang terhad, tetapi masalah itu akhirnya diselesaikan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau turut memuji petugas dan pasukan perubatan Indonesia yang pantas membantu jemaah sepanjang berada di Tanah Suci. – Agensi berita.
