Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia isytihar JI ‘tinggal sejarah’, tumpuan kini bimbing bekas anggota

Jul 2, 2025 | 11:24 AM
JI, ikrar setia
Seramai 56 bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI) dan banduan kes berkaitan pengganasan dari wilayah Sumatera Selatan melafazkan ikrar setia kepada Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Palembang pada Khamis, 19 September 2024. - Foto INSTAGRAM POLISI_PALEMBANG

JAKARTA: Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT) Indonesia mengumumkan bahawa kumpulan pelampau Jemaah Islamiyah (JI), yang pernah dikaitkan dengan Al-Qaeda dan bertanggungjawab terhadap beberapa serangan maut di Indonesia, kini secara rasmi dianggap sebagai hanya “tinggal sejarah”.

Kenyataan itu dibuat oleh Ketua BNPT, Ketua Pesuruhjaya Polis Eddy Hartono, semasa majlis peringatan setahun pembubaran rasmi JI yang diadakan di Sentul, Jawa Barat.

Dalam ucapan beliau, Encik Eddy menekankan pentingnya peranan negara dalam membimbing bekas anggota kumpulan pelampau ke arah kehidupan yang lebih positif dan sejahtera.

“JI adalah sebahagian daripada masa lampau, dan kini menjadi tanggungjawab negara untuk membina semula kehidupan bekas anggotanya,” kata Encik Eddy pada 30 Jun.

Beliau turut menekankan bahawa komitmen berterusan pihak pemerintah amat penting dalam membimbing dan memulihkan semula bekas anggota agar mereka dapat menyesuaikan diri serta menyumbang secara bermakna dalam masyarakat.

Majlis bertema, ‘Saat untuk Merenung dan Menilai’, itu dianjurkan oleh Detasemen Khas 88 (Densus 88), unit elit antipengganasan polis Indonesia yang memainkan peranan penting dalam operasi membanteras pengganasan sejak awal 2000-an.

JI yang ditubuhkan pada 1990-an pernah dianggap sebagai salah satu ancaman keselamatan terbesar di rantau ini.

Ia pernah terlibat dalam kejadian pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang, sekali gus menjadi antara serangan paling berdarah dalam sejarah Indonesia moden.

Pada Jun 2024, JI mengumumkan pembubarannya secara rasmi dalam satu acara di Bogor, Jawa Barat.

Menurut Encik Eddy, pemerintah kini memberi tumpuan kepada usaha penyahradikalan pascapenjara yang mempromosi kesederhanaan beragama, identiti kebangsaan dan keusahawanan melalui kerjasama antara agensi.

“Program ini dijalankan dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi pemerintah.

“Kami akan terus menilai keberkesanan setiap inisiatif agar ia benar-benar memberi kesan kepada peserta,” ujar beliau.

Pengarah Penguatkuasaan Densus 88, Brigedier Jeneral Muhammad Tedjo Kusumo, dalam ucapannya menyambut baik usaha BNPT dan menyatakan kesediaan pihaknya untuk terus bekerjasama.

“Densus 88 dan BNPT telah berganding bahu sejak sekian lama, dan kita akan terus bergandingan demi membawa bekas anggota JI kembali menjadi sebahagian daripada Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI),” katanya.

Brigedier Jeneral Muhammad Tedjo turut menyentuh kepentingan muhasabah dan penilaian berterusan dalam memastikan matlamat program tercapai.

“Segala usaha kita telah menunjukkan hasil positif, dan ia membuktikan nilai kerjasama rentas agensi,” tambah beliau.

Sementara itu, bekas pemimpin tertinggi JI, Encik Para Wijayanto, tampil menyeru rakan bekas anggota JI agar berpegang kepada ikrar setia kepada NKRI yang dibuat semasa pembubaran kumpulan itu.

“Saya ingin mengingatkan kita semua mengenai komitmen kepada 2T dan 2K iaitu Transparensi (telus) dan Trust (kepercayaan), serta Komitmen dan Konsistensi,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sikap terbuka merupakan kunci utama untuk meraih kepercayaan pemerintah dan masyarakat, manakala komitmen yang teguh dan ketekalan tindakan amat penting bagi memastikan proses pemulihan dan penyertaan semula dalam masyarakat dapat dilaksanakan secara berkesan dalam jangka panjang.

“Komitmen yang telah kita sepakati harus dilaksanakan secara konsisten sehingga manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” ujar Encik Para. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg