Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua penjawat awam Aceh ditahan disyaki terlibat rangkaian pengganasan

Aug 7, 2025 | 10:59 AM
Unit Densus 88 Anti-Pengganasan Polis Nasional Indonesia menahan dua penjawat awam yang disyaki terlibat dalam rangkaian pengganas di Banda Aceh pada5 Ogos 2025.
Unit Densus 88 Anti-Pengganasan Polis Nasional Indonesia menahan dua penjawat awam yang disyaki terlibat dalam rangkaian pengganas di Banda Aceh pada5 Ogos 2025. - Foto INSTAGRAM ACEH UPDATE

BANDA ACEH: Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Banda Aceh ditahan oleh Unit Khas Antipengganasan Polis Nasional Indonesia, Densus 88, kerana disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas di Aceh.

Suspek, yang dikenal pasti dengan inisial SA, 47 tahun, merupakan penjawat awam aktif di Pejabat Pelancongan Banda Aceh.

Beliau ditahan ketika berada di sebuah bilik pameran kereta di kawasan Batoh, Banda Aceh.

Datuk Bandar Banda Aceh, Encik Illiza Sa’aduddin Djamal, mengesahkan penahanan tersebut dalam satu kenyataan bertulis.

“Ya, individu berkenaan adalah penjawat awam yang bertugas di Pejabat Pelancongan Banda Aceh,” ujarnya pada 6 Ogos.

Encik Illiza menyatakan beliau terkejut dengan perkembangan itu.

“Kami tidak menyangka ada kakitangan kami yang terlibat dalam rangkaian pengganas. Namun kami menghormati proses undang-undang yang sedang dijalankan dan memberikan sokongan penuh kepada siasatan pihak polis,” katanya.

Selain SA, seorang lagi suspek turut ditahan, iaitu MZ, 40 tahun, seorang kakitangan Kementerian Agama Wilayah Aceh. MZ ditangkap ketika berada di sebuah warung kopi di Banda Aceh.

Jurucakap Polis Daerah Aceh, Joko Krisdiyanto, berkata: “Dua penjawat awam di Aceh telah ditahan oleh Densus 88 berkaitan kes pengganasan. Polis Aceh hanya membantu dari segi kawalan keselamatan semasa serbuan dijalankan.”

Menurut jurucakap Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana, kedua-dua suspek telah dipantau selama beberapa bulan sebelum penahanan dibuat.

“SA dipercayai aktif menyalurkan dana kepada sebuah organisasi pengganas di Aceh dan turut menguruskan logistik kewangan kumpulan itu,” jelas beliau.

Sementara itu, MZ pula dikenal pasti sebagai pemimpin dalam rangkaian tersebut dengan peranan utama merekrut anggota baru.

Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah komputer riba, beberapa telefon bimbit, pemacu USB serta senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam latihan pengganasan.

“Barang-barang yang dirampas mengandungi data penting berkaitan struktur rangkaian, dokumen perancangan dan maklumat penyokong mereka,” tambah Encik Mayndra.

Pihak Densus 88 kini menjalankan siasatan intensif terhadap kedua-dua suspek dan sedang meneliti kaitan mereka dengan rangkaian pengganasan yang lebih besar.

“Penahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan untuk membanteras rangkaian pengganasan di seluruh wilayah,” tegas Encik Mayndra.

Ketua Kementerian Agama Wilayah Aceh, Encik Azhari, mengesahkan MZ adalah kakitangan kementerian berkenaan dan pihaknya telah menerima surat rasmi pemberitahuan penahanan daripada polis.

“Saya telah menerima laporan rasmi daripada Densus 88 dan turut membaca surat penahanan terhadap MZ,” kata Setiausaha Agung Kementerian Agama, Encik Kamaruddin Amin dari Jakarta.

“Kementerian menyokong tindakan Densus 88, namun tetap menjunjung prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan. Jika terbukti, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau turut menegaskan kementerian akan terus memperkukuh agenda kesederhanaan beragama dan memastikan penjawat awam kementerian tidak terjebak dalam sebarang kegiatan ekstremisme.

“Kepada seluruh penjawat awam Kementerian Agama, saya ingin menekankan supaya memperkukuh semangat nasionalisme dan cinta terhadap negara. Kita wajib menjaganya hingga akhir hayat,” tegas beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg