Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia berkas militan disyaki rancang ganggu pilihan raya

Oct 31, 2023 | 3:19 PM
DISYAKI MILITAN: Jurucakap antikeganasan Densus 88 Indonesia, Encik Aswin Siregar (kanan) dan Brigadier Jeneral Polis Indonesia, Encik Ahmad Ramadhan (kiri) menunjukkan gambar suspek militan yang ditahan pada Oktober 2023.
DISYAKI MILITAN: Jurucakap antikeganasan Densus 88 Indonesia, Encik Aswin Siregar (kanan) dan Brigadier Jeneral Polis Indonesia, Encik Ahmad Ramadhan (kiri) menunjukkan gambar suspek militan yang ditahan pada Oktober 2023. - Foto REUTERS

JAKARTA: Unit pencegahan keganasan Polis Negara Indonesia, telah menahan 59 orang yang disyaki militan, termasuk beberapa penyokong setia Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang diilhamkan oleh IS.

Mereka disyaki merancang untuk mengganggu pilihan raya akan datang, kata jurucakap unit itu pada Selasa.

Seramai 19 orang daripada mereka yang ditahan, adalah daripada rangkaian Jemaah Islamiah (JI), yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.

Sementara 40 lagi mereka yang disyaki itu adalah dari JAD, yang telah berikrar untuk setia kepada IS.

Komander Kanan Aswin Siregar, selaku jurucakap pasukan petugas antikeganasan Densus 88 itu berkata, militan JAD disyaki merancang serangan untuk mengganggu Pilihan Raya Presiden dan perundangan yang dijadual diadakan pada 14 Februari 2024.

Bagi mereka, pilihan raya adalah tidak bermoral dan bertentangan dengan undang-undang Islam,” kata Encik Aswin pada sidang media, lapor akhbar berbahasa Inggeris, The Jakarta Post.

“Mereka merancang untuk menyerang kemudahan polis. Ia berkaitan dengan matlamat utama mereka iaitu untuk membatalkan pilihan raya,” ujar beliau tanpa memberi butiran lanjut mengenai komplot yang disyaki itu.

Suspek telah ditahan dalam operasi dari 2 Oktober hingga 28 Oktober dan polis turut merampas beberapa senjata api dan bahan kimia, yang akan digunakan untuk dibuat bom, kata Encik Aswin.

Indonesia menyaksikan rentetan serangan militan pada tahun-tahun selepas 11 September 2001, serangan ke atas Amerika Syarikat termasuk pengeboman di pulau percutian Bali pada 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang, kebanyakannya pelancong Australia.

Pengeboman Bali dipercayai didalangi oleh JI. Bagaimanapun, penganalisis keselamatan berkata ancaman militan telah berkurangan dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sebahagian besarnya disebabkan operasi pasukan keselamatan yang berjaya.

Encik Aswin juga memberi amaran bahawa protes dan pengumpulan dana pro-Palestin sejak keganasan di Timur Tengah baru-baru ini, boleh mencetuskan kemarahan dan mencetuskan serangan militan.

“Ini menimbulkan keghairahan untuk melakukan tindakan pengganas,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg