Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hubungan rapat S’pura-Indonesia akan buka laluan bina Asean lebih kukuh

PM Wong: S’pura akan terus sokong Indonesia, pupuk kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang
Nov 6, 2024 | 3:02 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan delegasi Singapura mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dan pasukannya di Istana Merdeka, Jakarta, pada 6 November.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan delegasi Singapura mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dan pasukannya di Istana Merdeka, Jakarta, pada 6 November. - Foto MDDI

Hubungan dua hala yang kukuh antara Indonesia dengan Singapura akan membantu bukan hanya kededua negara itu, malah menyediakan laluan untuk mempercepat penyepaduan dan membina sebuah Asean yang lebih kuat dan bersatu padu dalam dunia yang penuh ketidakpastian, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Berucap dalam satu sidang bersama dengan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, di Istana Merdeka, Jakarta, pada 6 November, Encik Wong berkata sebuah Asean yang kukuh akan membantu kedua-dua Singapura dan Indonesia serta memastikan rantau ini dapat menjadi makmur dan menarik pelaburan ke Asia Tenggara.

Ini selain menyediakan persekitaran yang sesuai bagi semua penduduk Asia Tenggara, Indonesia dan Singapura meraih manfaat bersama.

Meskipun dunia bergelut dengan ketegangan geopolitik, Encik Wong berkata Indonesia dan Singapura berkongsi pelbagai perspektif strategik yang serupa mengenai dunia.

“Kita berdua mahu menjadi rakan kepada semua. Kita berdua mahu menjadi jiran yang baik.

“Kita berdua mahu menjalin hubungan rapat dengan Amerika Syarikat dan juga China, dan kita berdua akan melaksanakan dasar asing yang aktif dan bebas ke arah itu, untuk mencapai manfaat bersama, kepentingan bersama, dan lebih penting, keamanan, kestabilan dan kemakmuran untuk diri kita sendiri dan untuk Asia Tenggara,” kata beliau.

Encik Wong, yang berada di Jakarta bagi lawatan pengenalan dari 5 hingga 6 November, merupakan tetamu asing rasmi pertama sejak Encik Prabowo mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober.

Dalam ucapannya itu, beliau turut berkata Singapura akan terus menyokong Indonesia dalam kisah kejayaan dan perjalanan mereka ke hadapan, dengan memupuk kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk teknologi dan tenaga.

Encik Wong menambah bahawa kedua-dua beliau dan Encik Prabowo telah meraih manfaat daripada tugas pemimpin terdahulu, yang membolehkan mereka menulis bab baru dalam hubungan dua hala Singapura-Indonesia dan membawa hubungan itu ke tahap yang lebih tinggi.

Antaranya, di bawah kepimpinan Encik Prabowo sebagai Menteri Pertahanan sebelum ini, Perjanjian Kerjasama Pertahanan telah dikuatkuasakan, membolehkan tentera Indonesia dan Singapura menjadi lebih rapat dan terus memperkukuh kerjasama pertahanan dalam cara baru.

Singapura dan Indonesia juga terus bekerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, dan akan meneroka kerjasama dalam bidang baru seperti teknologi digital dan penjagaan kesihatan.

Encik Wong menambah bahawa beliau dan Encik Prabowo juga telah membincangkan peluang untuk bekerjasama dalam bidang yang selaras dengan keutamaan Indonesia, seperti jaminan makanan dan tenaga.

“Kami sedang membincangkan bagaimana, melalui pertukaran amalan terbaik dan perkongsian teknologi, kami boleh sama-sama meraih manfaat dalam kerjasama pertanian dan sektor makanan.

“Satu lagi bidang penting ialah jaminan tenaga, dan kami juga telah mengadakan perbincangan baik tentang cara untuk bekerjasama dalam bidang seperti tenaga bersih dan kemampanan.

“Ini boleh menjadi jentera pertumbuhan baru bagi kedua-dua negara kita, terutamanya apabila kami merealisasikan eksport tenaga dan juga projek penangkapan dan penyimpanan karbon rentas sempadan dalam tahun-tahun mendatang,” kata beliau.

Dalam ucapannya itu, Encik Wong turut mengumumkan bahawa Presiden Prabowo telah diundang ke Singapura pada 2025 untuk Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia.

Encik Prabowo, dalam ucapannya, pula berkata beliau dan Encik Wong telah bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, dengan Indonesia dan Singapura memiliki pandangan sama mengenai pentingnya memelihara kedamaian dan keamanan di tengah-tengah situasi geopolitik semakin rumit.

Ini termasuk situasi di Timur Tengah, dengan Encik Prabowo telah melahirkan keprihatinan mendalam mengenai situasi di Palestin dan Lebanon.

“Saya menekankan pentingnya kekerasan dihentikan dengan segera, pengiriman bantuan kemanusiaan yang tanpa hambatan dan pencapaian huraian dua negara untuk Palestin dan Israel berdasarkan undang-undang antarabangsa,” kata beliau.

Presiden Prabowo telah melakarkan agenda penuh ke hadapan. Saya terdorong dengan tenaga dan keazaman beliau untuk memimpin Indonesia ke masa depan yang lebih cerah, dan saya memberi jaminan kepada beliau tentang sokongan Singapura sebagai sahabat karib dan rakan setia dalam perjalanan ini. Kami mahu Indonesia berjaya dan Singapura mempunyai kepentingan yang mendalam pada kejayaan Indonesia.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Singapura adalah salah satu tetangga terdekat dan mitra (rakan kongsi) yang sangat penting bagi Indonesia. Kita memiliki kerjasama yang baik secara dua hala dan juga dalam kerangka Asean. Kita memiliki pandangan yang sejalan dalam banyak isu, khususnya untuk memastikan perdamaian, kestabilan dan kemakmuran di kawasan. Saya berharap kunjungan ini akan menjadi momentum bagi kita meningkatkan kerjasama lebih baik lagi di saat yang akan datang, khususnya di sektor strategik dan penting bagi kededua negara.
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg