Indonesia dilantik Timbalan Komander Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza
Indonesia dilantik Timbalan Komander Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza
Indonesia telah menerima tawaran untuk mengisi jawatan Timbalan Komander Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang akan ditempatkan bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan di Gaza yang dilanda perang.
Indonesia juga merupakan antara lima negara terawal, bersama Albania, Kosovo, Kazakhstan dan Maghribi, yang berikrar menghantar tentera sebagai sebahagian daripada pasukan pelbagai negara itu.
Penubuhan pasukan tersebut disokong melalui resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada November 2025 bagi menyokong pembentukan Lembaga Keamanan yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
“Saya telah menawarkan dan Indonesia telah menerima jawatan Timbalan Komander ISF,” kata Komander Amerika, Mejar Jeneral Jasper Jeffers, pada sidang kemuncak sulung lembaga itu di Washington DC pada 19 Februari.
Berucap pada mesyuarat sulung di Washington, Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menegaskan semula komitmen Indonesia untuk menghantar ribuan anggota tentera ke Gaza dan memastikan pelan lembaga itu bagi memulihkan keamanan di wilayah berkenaan berjaya.
Beliau berkata Indonesia menyokong sepenuhnya pelan damai 20 perkara Encik Trump dan telah bersetuju dengannya sejak awal.
“Kami menegaskan semula komitmen untuk menyumbang sejumlah besar anggota tentera sehingga 8,000 atau lebih jika perlu. Kami bersedia menyumbang tentera bagi mengambil bahagian secara aktif dalam ISF supaya keamanan ini berjaya,” kata Encik Prabowo.
Beliau kemudian mengesahkan kepada wartawan selepas mesyuarat itu bahawa Indonesia menerima jawatan Timbalan Komander ISF dan berkata “kami akan mencari calon yang sesuai”.
Beliau turut memaklumkan, Indonesia merancang menghantar pasukan pendahulu ke Gaza dalam tempoh dua bulan akan datang tanpa memperincikan butiran lanjut.
“Indonesia, sejak hari pertama kami mengkaji pelan 20 perkara Trump, kami bersetuju sepenuhnya dan komited sepenuhnya terhadap pelan ini, sebab itu kami menyertai Lembaga Keamanan, kami komited terhadap kejayaannya.
“Kami tahu akan terdapat banyak halangan dan kesukaran, namun kami amat optimistik dengan kepimpinan Trump, visi keamanan sebenar ini akan tercapai.
“Akan ada masalah, tetapi kita akan berjaya, kita akan mencapai impian kita untuk keamanan di Palestin, keamanan, penyelesaian yang berkekalan dan aman bagi isu Palestin dan di Gaza,” katanya.
Teks ucapan beliau dikongsikan di laman Sekretariat Presiden pada 20 Februari.
Encik Prabowo turut mengalu-alukan kemajuan yang dicapai melalui gencatan senjata, sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang nyata dan signifikan.
“Pencapaian gencatan senjata ini adalah nyata, kami memujinya, dan oleh itu kami menegaskan semula komitmen untuk menyumbang sejumlah besar anggota tentera,” katanya.
Mengenai mesyuarat Lembaga Keamanan, Encik Prabowo berkata ia berjalan lancar dan para pemimpin yang mengambil bahagian telah diberi taklimat mengenai kemajuan ketara, khususnya dalam aliran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Beliau berkata pengagihan bantuan makanan dan bekalan keperluan lain meningkat dengan ketara, mencapai tahap tertinggi dalam beberapa tahun, selain perancangan masa depan turut dibincangkan.
“Tetapi ya, kita harus bertekad untuk mencapai keberhasilan demi rakyat Palestin. Kita tentunya komited; tadi beberapa negara Islam semua menegaskan komitmen kita untuk benar-benar mencapai keamanan yang berkekalan dan hanya keamanan berkekalan dalam kenyataan kita.
“Negara-negara dalam kelompok lapan, kelompok negara-negara Islam yang pertama kali diundang untuk melaksanakan atau mengambil bahagian dalam usaha Lembaga Keamanan ini... bagi kita, penyelesaian sebenar, satu-satunya penyelesaian jangka panjang ialah penyelesaian dua negara,” katanya.
Encik Trump pada majlis itu turut memuji Encik Prabowo dan menyifatkan bekas pegawai tentera yang pernah dituduh melanggar hak asasi manusia di Timor Leste itu sebagai seorang yang tegas.
Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Puan Maharani, menggesa pemerintah memanfaatkan kedudukan Indonesia dalam lembaga tersebut dengan memberi sumbangan nyata bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan di Gaza serta memperjuangkan kemerdekaan Palestin.
“Penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan mesti kekal berlandaskan dasar luar bebas dan aktif serta menjunjung prinsip kesaksamaan kedaulatan,” katanya dalam sidang pleno Dewan pada 19 Februari.
Jadual Encik Prabowo di Washington DC pada 19 Februari turut merangkumi pemeteraian perjanjian perdagangan timbal balik dengan rakan sejawatannya dari Amerika yang menurut Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, berlangsung selepas sidang kemuncak Lembaga Keamanan.
Encik Airlangga berkata dari Washington dalam sidang media dalam talian pada Jumaat bahawa “falsafah perjanjian ini ialah situasi menang menang” bagi kedua dua negara.
Wakil Perdagangan Amerika, Encik Jamieson Greer, pula menyifatkannya sebagai peluasan akses pasaran Amerika ke negara keempat paling ramai penduduk di dunia serta penghapusan halangan tarif ke atas lebih 99 peratus produk Amerika yang dieksport ke Indonesia merentasi semua sektor.
Perjanjian itu ditandatangani kedua-dua presiden itu selepas rundingan berbulan-bulan, menyusuli keputusan Amerika pada 2025 mengurangkan kadar tarif eksport Indonesia ke negara itu daripada 32 peratus kepada 19 peratus sebagai asas.
Di bawah perjanjian tersebut, Indonesia memperoleh tarif 0 hingga 10 peratus bagi 1,819 produk.
Produk pertanian seperti minyak sawit, kopi, koko, rempah dan getah serta produk industri termasuk komponen elektronik seperti semikonduktor dan komponen pesawat dikenakan tarif 0 peratus.
“Khusus bagi produk tekstil dan pakaian Indonesia, Amerika juga akan memberi tarif 0 peratus melalui mekanisme kuota kadar tarif,” kata Encik Airlangga sambil menambah, ia memberi manfaat kepada sekitar 20 juta rakyat dalam industri tekstil negara itu termasuk empat juta pekerja dan keluarga mereka.
Beliau berkata dasar itu akan membantu industri tekstil dan pakaian Indonesia meluaskan penembusan pasaran ke Amerika yang disifatkannya kira kira 28 kali lebih besar daripada pasaran domestik Indonesia.
Sebagai balasan, Indonesia turut memberikan tarif 0 peratus kepada produk Amerika terutamanya kerana Indonesia mengimport produk pertanian termasuk kacang soya.
“Hasilnya, rakyat Indonesia akan membayar tarif 0 peratus bagi barangan berasaskan kacang soya seperti mi, tauhu dan tempe. Ini bermakna rakyat tidak perlu menanggung kos tambahan bahan mentah yang diimport dari Amerika,” kata Encik Airlangga.
Perjanjian ini akan berkuat kuasa 90 hari selepas parlimen kedua dua-negara meratifikasi dokumen tersebut dan turut menyediakan ruang pindaan bagi kemungkinan menurunkan lagi kadar tarif.
Menurut Encik Airlangga, perjanjian tarif timbal balik yang bertajuk Pelaksanaan Perjanjian Menuju Era Emas Baru Pakatan Amerika Syarikat Indonesia, yang ditandatangani di peringkat presiden dan hanya melibatkan beberapa negara, mencerminkan hubungan rapat antara Encik Prabowo dengan Encik Trump kerana ia turut merangkumi komitmen pelaburan selain perdagangan dan tarif.
“Objektif lebih luas perjanjian ini ialah membantu mencapai visi Indonesia Emas. Atas sebab itu, perjanjian ini juga dilihat membuka Era Emas Baru bagi Indonesia dan Amerika Syarikat,” katanya.

