Indonesia siap kerah tentera ke Gaza sertai pasukan pengaman bila-bila masa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia siap kerah tentera ke Gaza sertai pasukan pengaman bila-bila masa

Hanya anggota berpengalaman, terlatih akan dipilih sertai misi
Feb 11, 2026 | 9:05 AM

Indonesia siap kerah tentera ke Gaza sertai pasukan pengaman bila-bila masa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
jaluran gaza, ramadan
Penduduk Palestin menghias runtuhan sebuah bangunan yang musnah sebagai persiapan menyambut Ramadan di Khan Younis, selatan Jaluran Gaza, pada 10 Februari ketika gencatan senjata antara Israel dengan Hamas masih berkuat kuasa. - Foto EPA

JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang mempergiat persiapan bagi kemungkinan menghantar pasukan tenteranya ke Gaza sebagai sebahagian daripada misi pengaman antarabangsa.

Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) kini berada dalam keadaan bersiap sedia dan boleh dikerahkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

Bagaimanapun, sebarang penugasan masih tertakluk kepada keputusan akhir Presiden Prabowo Subianto, yang dijangka dibuat pada penghujung Februari ini, selepas pemerintah meneliti aspek mandat misi, keselamatan anggota serta kerangka penglibatan Indonesia dalam usaha pengaman di wilayah berkenaan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Encik Donny Hermawan, berkata kementeriannya telah menyelaraskan persiapan bersama Markas Besar TNI dan Panglima Angkatan Tentera bagi memastikan kesiapsiagaan penuh anggota yang bakal terlibat.

“Kementerian Pertahanan, dengan kerjasama Markas TNI dan panglimanya, telah menyediakan anggota tentera supaya mereka boleh dikerahkan pada bila-bila masa,” katanya kepada wartawan pada 10 Februari, selepas menghadiri mesyuarat bersama Suruhanjaya I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang mengawasi hal ehwal luar dan pertahanan.

Minat antarabangsa terhadap langkah selepas pelaksanaan gencatan senjata di Gaza, termasuk usaha mengekalkan keselamatan dan kestabilan wilayah itu, semakin meningkat.

Perkembangan itu dipacu oleh laporan media Israel yang menyatakan bahawa wilayah Palestin berkenaan berkemungkinan menerima kehadiran pasukan pengaman antarabangsa dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Laporan tersebut turut mendakwa tentera Indonesia berkemungkinan menjadi pasukan terawal yang tiba di Gaza.

Misi itu, yang dinamakan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) merupakan inisiatif Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan bertujuan mengekalkan kestabilan semasa fasa kedua pelan keamanan Gaza.

Fasa tersebut merangkumi usaha pelucutan senjata, pelaksanaan langkah keselamatan serta pembentukan kerangka tadbir urus jangka panjang di wilayah itu.

Beberapa negara lain termasuk Pakistan, Bangladesh, Mesir dan Qatar turut menyatakan minat untuk menyertai ISF.

Namun setakat ini, Indonesia merupakan satu-satunya negara yang secara terbuka membuat tawaran rasmi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September lalu untuk menghantar lebih 20,000 anggota tentera.

Pegawai pemerintah di Jakarta menjelaskan bahawa butiran muktamad mengenai jumlah anggota yang akan dihantar dan tempoh penugasan masih belum diputuskan.

Anggaran yang dikemukakan oleh pegawai kanan pemerintah juga berbeza-beza.

Ketua Staf Angkatan Darat, Jeneral Maruli Simanjuntak, sebelum ini menyebut jumlah antara 5,000 dengan 8,000 anggota, manakala Encik Donny menganggarkan hanya sekitar 600 anggota akan dihantar pada peringkat awal.

Pengerusi Suruhanjaya I DPR, Encik Utut Adianto, berkata pihak legislatif telah menasihatkan pemerintah supaya tidak menghantar kontingen yang terlalu besar ke Gaza.

“Gaza itu kecil, kurang daripada 45 kilometer persegi, atau sedikit lebih kecil daripada Jakarta Pusat. Jadi kami tidak menyarankan penghantaran pasukan yang terlalu besar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Panglima TNI, Jeneral Tandyo Budi Revita, memberi jaminan hanya anggota berpengalaman dan terlatih akan dipilih untuk menyertai misi tersebut.

“Pada prinsipnya, TNI bersedia tidak kira berapa jumlah yang diminta. Rundingan masih berjalan dan keputusan muktamad dijangka diketahui pada minggu terakhir Februari,” katanya.

Apabila ditanya mengenai persediaan anggota TNI untuk berinteraksi dengan anggota Hamas yang telah dilucutkan senjata, Jeneral Tandyo berkata TNI berkemungkinan besar akan mengutamakan anggota yang pernah berkhidmat bersama Pasukan Pendamai PBB di Lebanon (Unifil).

“Mereka ini berpengalaman mengendalikan situasi di zon konflik dan berkomunikasi dengan penduduk tempatan. Golongan inilah yang akan dihantar ke Gaza,” jelasnya.

Media Israel turut melaporkan Presiden Prabowo sedang menunggu hasil mesyuarat Lembaga Keamanan yang dijadual berlangsung di Washington pada 19 Februari sebelum membuat keputusan muktamad mengenai penghantaran tentera.

Mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada pembiayaan bantuan kemanusiaan dan usaha pembinaan semula Gaza.

Lembaga Keamanan yang juga dicetuskan oleh Amerika bertujuan menyelia pelaksanaan gencatan senjata, penyelarasan keselamatan dan usaha penstabilan di Gaza.

Namun, badan itu menerima kritikan meluas kerana mandatnya yang tidak jelas serta persepsi bahawa Amerika mempunyai pengaruh dominan dalam menentukan tadbir urus pasca-perang wilayah tersebut.

Jurucakap Kedua Kementerian Luar Indonesia, Encik Vahd Nabyl Achmad Mulachela, mengesahkan bahawa Indonesia telah menerima jemputan untuk menghadiri rundingan di Washington, namun tidak dapat mengesahkan sama ada Encik Prabowo sendiri akan hadir.

Menurut Encik Vahd, perbincangan peringkat tinggi Indonesia kini tertumpu kepada usaha memperjelaskan mandat ISF dan peraturan penglibatan, khususnya berhubung kebimbangan anggota TNI mungkin terpaksa berhadapan secara langsung dengan Hamas.

“Ini memerlukan perbincangan lanjut, dan perbincangan tersebut masih berjalan.

“Kami telah menegaskan bahawa penglibatan Indonesia akan menumpukan kepada aspek kemanusiaan, bukan pelucutan senjata,” katanya.

Walaupun gencatan senjata dimeterai pada Oktober lalu, laporan keganasan masih terus muncul dari Gaza, dengan Israel dituduh kerap melanggar terma gencatan senjata, manakala Hamas pula enggan melucutkan senjata sepenuhnya.

Pada masa yang sama, Israel juga dilihat memperketatkan kawalannya di Tebing Barat.

Kabinet Israel pada hujung minggu lalu meluluskan beberapa keputusan yang memudahkan rakyat Israel membeli tanah di wilayah Palestin yang diduduki.

Pada 9 Februari, Indonesia bersama Mesir, Jordan, Pakistan, Arab Saudi, Turkey, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar mengeluarkan kenyataan bersama mengecam Israel kerana cuba “memaksakan kedaulatan Israel yang tidak sah” di Tebing Barat, sambil menyifatkan langkah tersebut sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa dan berpotensi mencetuskan lebih banyak “keganasan dan konflik di rantau itu”.

Kesemua negara tersebut, kecuali Mesir, merupakan anggota Lembaga Keamanan, sekali gus menambah kerumitan politik terhadap sebarang usaha pengaman di Gaza yang melibatkan kuasa besar dan negara serantau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg