Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia gantung bantuan sosial 1.49j penerima disyaki berjudi dalam talian
JAKARTA: Pemerintah Indonesia menggantung sementara pembayaran bantuan sosial (bansos) kepada kira-kira 1.49 juta isi rumah yang disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian, sementara siasatan dijalankan bagi mengesahkan penemuan itu.
Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Encik Saifullah Yusuf, berkata tindakan itu diambil selepas kementeriannya menerima data terbaharu daripada Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK) yang menunjukkan peningkatan mendadak jumlah penerima bantuan sosial yang dipercayai melakukan urus niaga berkaitan perjudian dalam talian.
Menurut beliau, jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding kira-kira 600,000 isi rumah penerima bantuan yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kegiatan yang sama pada 2025.
“Berdasarkan data terkini daripada PPATK, kira-kira 1.49 juta isi rumah penerima bantuan sosial disyaki melakukan transaksi perjudian dalam talian.
“Jumlah itu meningkat dengan ketara berbanding hampir 600,000 isi rumah yang direkodkan pada 2025,” katanya kepada media di Jakarta pada 5 Ogos.
Beliau berkata, sebagai langkah awal, pemerintah menggantung sementara penyaluran bantuan kepada semua isi rumah yang tersenarai sehingga proses pengesahan selesai.
Menurut Encik Saifullah, semakan menyeluruh akan dijalankan bagi menentukan sama ada transaksi berkenaan benar-benar dilakukan oleh penerima bantuan, selain meneliti sama ada kesalahan itu berlaku secara berulang.
“Jika siasatan membuktikan pelanggaran dilakukan secara sengaja dan berulang, kelayakan mereka menerima bantuan sosial akan dibatalkan dan bantuan itu akan disalurkan kepada golongan lain yang lebih layak,” katanya.
Beliau menegaskan bantuan sosial diwujudkan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah memenuhi keperluan asas, bukannya digunakan untuk membiayai kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Langkah itu ujar beliau turut bertujuan meningkatkan ketelusan serta memastikan wang bantuan pemerintah sampai kepada penerima yang benar-benar memerlukan dan menggunakannya mengikut tujuan asal.
Tindakan terkini itu adalah sebahagian daripada usaha lebih agresif pemerintah Indonesia membanteras perjudian dalam talian yang semakin berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Selain menyasarkan pemain, pemerintah turut memperhebat tindakan terhadap sindiket perjudian, rangkaian kewangan dan wadah digital yang menjadi medium kepada kegiatan haram itu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Cik Meutya Hafid, sebelum ini berkata usaha membanteras perjudian dalam talian kini tidak lagi tertumpu kepada menyekat laman sesawang semata-mata, sebaliknya melibatkan keseluruhan ekosistem yang menyokong kegiatan berkenaan.
“Pembanterasan perjudian dalam talian mesti dilakukan secara menyeluruh.
“Ia tidak memadai dengan hanya menyekat laman sesawang, sebaliknya perlu menyasarkan keseluruhan rangkaian yang menyokong aktiviti itu,” katanya dalam satu forum di Jakarta.
Menurut beliau, pendekatan baharu itu melibatkan kerjasama rapat antara kementerian, Penguasa Perkhidmatan Kewangan (OJK), Bank Indonesia, institusi perbankan serta agensi penguat kuasa bagi memutuskan rangkaian kewangan sindiket perjudian.
Sejak penghujung 2024, pemerintah telah menyekat akses kepada kira-kira 3.7 juta laman sesawang dan kandungan digital yang dikaitkan dengan perjudian dalam talian.
Dalam tempoh sama, pemerintah bersama Penguasa Perkhidmatan Kewangan (OJK), Bank Indonesia turut mengenal pasti kira-kira 38,000 akaun bank yang disyaki digunakan bagi urus niaga perjudian.
Daripada jumlah itu, sekitar 32,500 akaun telah ditutup selepas proses pengesahan selesai dijalankan.
Cik Meutya berkata, penutupan akaun bank yang digunakan sebagai akaun perantara amat penting kerana ia menjadi saluran utama bagi sindiket memindahkan wang hasil perjudian.
Menurutnya, tindakan menyekat laman sesawang sahaja tidak mencukupi sekiranya aliran kewangan sindiket masih dapat beroperasi.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memutuskan rantaian jenayah digital ini, termasuk menutup akaun bank yang menjadi saluran transaksi perjudian,” katanya.
Pemerintah Indonesia sejak 2025 meningkatkan operasi besar-besaran terhadap perjudian dalam talian susulan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah pemain daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan rendah yang turut menerima bantuan sosial.
Penganalisis berpendapat penemuan hampir 1.5 juta penerima bantuan sosial yang disyaki terlibat dalam perjudian dalam talian menunjukkan cabaran besar yang dihadapi pemerintah dalam memastikan bantuan kebajikan tidak disalahgunakan.
Mereka berkata, langkah menggantung sementara pembayaran bantuan memberi ruang kepada pemerintah menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa menafikan hak penerima yang tidak bersalah, selain memperkukuhkan kewibawaan sistem kebajikan negara.
Pada masa sama, tindakan itu dilihat menghantar mesej tegas bahawa sebarang penyalahgunaan dana bantuan pemerintah bagi tujuan yang menyalahi undang-undang tiada kompromi, selaras dengan usaha pemerintah memperketat pengawasan terhadap pengagihan bantuan sosial dan membanteras jenayah digital di Indonesia. – Agensi berita.
