BATAM: Polis Batam, Rempang dan Galang (Barelang) telah membongkar pusat perjudian dalam talian Indonesia dengan perolehan bulanan sekitar 10 bilion rupiah ($714,343) yang berpangkalan di kompleks perumahan mewah di Batam, Kepulauan Riau.

Ia sebahagian daripada rangkaian berbilang negara termasuk cawangan di Kemboja dengan syarikat utama berpangkalan di Filipina.

Pada 21 Mei lalu, sekitar 2.45 petang waktu tempatan, pegawai Unit Siasatan Jenayah 1 Polis Barelang menyerbu pusat cawangan Taman Golf Residence di kecamatan Sukajadi, daerah Kota Batam, dan menahan tiga suspek.

Mereka terdiri daripada ketua operasi warga Indonesia, yang dikenal pasti dengan gelaran ‘HR’, dan kakitangan kewangan yang digelar ‘HL’ dan ‘ET’.

Ketika berucap semasa sidang media pada 25 Mei, Ketua Polis Barelang, Encik Anggoro Wicaksono, berkata sindiket itu mengendalikan sekurang-kurangnya tiga tapak perjudian: MPO999 (mpo999one.com), MALLBET (mallbetnew.com) dan MPOMEGA (1mpomega.com).

“Di tapak serbuan, kami merampas wang tunai dan dana dalam akaun pegangan sementara berjumlah kira-kira 1 bilion rupiah,” kata Pesuruhjaya Kanan, Encik Anggoro.

“Berdasarkan siasatan kami, 1 bilion rupiah itu terkumpul daripada transaksi dalam tempoh tiga hari sahaja,” katanya.

Encik Anggoro menyeru orang ramai agar terus berwaspada dan tidak terjebak dalam perangkap operasi perjudian dalam talian, sama ada sebagai pemain atau pencari kerja.

Beliau menasihatkan orang ramai yang ternampak sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan kejiranan mereka supaya menghubungi talian hotline 24 jam polis 110.

Pada sidang media yang sama, Ketua Siasatan Jenayah Polis Barelang Pesuruhjaya, Encik M. Debby Tri Andrestian, berkata pusat Batam itu adalah sebahagian daripada sindiket berbilang negara, dengan suspek ‘HR’ bekerja secara langsung dengan syarikat perjudian dalam talian Filipina.

Encik Debby menambah bahawa sindiket itu beroperasi di bawah skim perkongsian untung, “20 peratus untuk syarikat utama di Filipina dan 80 peratus adalah bahagian ‘HR’ yang disyaki”.

Walaupun cawangan tempatan beroperasi dari kompleks kediaman di Batam, cawangan Kemboja bertanggungjawab dalam aspek pentadbiran seperti pemasaran dan perkhidmatan pelanggan, katanya.

Suspek ‘HL’ dan ‘ET’ didakwa bertanggungjawab mengurus gerbang pembayaran, merekod semua pertaruhan yang masuk, memindahkan dana operasi dan membayar gaji pekerja di cawangan Kemboja.

Rangkaian itu telah beroperasi sejak 2024 dan mengelak penguatkuasaan undang-undang dengan memindahkan pangkalan tempatannya secara berkala, dengan tapak di Sukajadi dipercayai sebagai yang kedua.

Polis turut merampas beberapa peranti elektronik yang digunakan untuk mengurus dan memantau urus niaga termasuk 16 telefon bimbit, tiga komputer tablet, satu komputer riba mini dan dua Unit Pemprosesan Pusat (CPU), empat monitor, empat peranti token bank dan dua pasport.

Siasatan terhadap rangkaian perjudian dalam talian sedang berjalan, terutama dalam mengesan aliran kewangan serta kemungkinan akaun pegangan sementara dan koperasi lain. – Agensi berita.