Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia gantung sementara program makanan percuma sempena cuti sekolah
Indonesia gantung sementara program makanan percuma sempena cuti sekolah
Susun semula program, sasar jimatan 3.4 trilion rupiah
Indonesia gantung sementara program makanan percuma sempena cuti sekolah
JAKARTA: Pemerintah Indonesia akan menghentikan sementara program, Makanan Berkhasiat Percuma (MBG), sepanjang cuti sekolah bermula 22 Jun hingga 13 Julai depan sebagai langkah penjimatan dan penyusunan semula program sosial terbesar di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.
Agensi Pemakanan Nasional (BGN) menjangkakan langkah itu mampu menjimatkan sehingga 3.4 trilion rupiah ($282 juta), termasuk pengurangan insentif operasi dapur dan kos pengurusan lain.
Timbalan Ketua BGN, Cik Agustina Arumsari, berkata keputusan itu dibuat bagi meningkatkan kecekapan, memperkemas tadbir urus serta memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Kami menggunakan tempoh cuti sekolah untuk menyusun semula dan memperbaiki pengurusan program sambil mengoptimumkan penggunaan sumber,” katanya kepada wartawan di Jakarta pada 18 Jun.
Menurut beliau, program itu akan dihentikan sepenuhnya sepanjang cuti sekolah melibatkan semua penerima termasuk pelajar, wanita hamil, ibu menyusu dan kanak-kanak kecil.
Langkah itu berbeza dengan pendekatan ketika Ramadan sebelum ini apabila makanan masih diagihkan menerusi sistem penghantaran berbungkus.
Cik Agustina mempertahankan keputusan tersebut meskipun menerima kritikan daripada beberapa rakan pelaksana program yang bimbang penangguhan itu menjejas operasi dapur dan pekerja.
“Jika tiada perkhidmatan diberikan, maka tidak sepatutnya ada bayaran. Itu prinsip yang adil,” katanya.
Beliau berkata penjimatan terbesar diperoleh melalui penggantungan insentif harian sebanyak 6 juta rupiah kepada 27,820 Unit Perkhidmatan Pemenuhan Nutrisi (SPPG) sepanjang tempoh 18 hari cuti sekolah.
Selain itu, BGN juga akan menilai semula operasi dapur yang mempunyai jumlah penerima rendah atau gagal memenuhi piawaian ditetapkan, dan tidak menolak kemungkinan beberapa dapur ditutup.
“Kami melihat jumlah peruntukan sedia ada terlalu besar. Dengan bajet yang ada, kami boleh mengurangkannya dan menjadikannya lebih cekap,” katanya.
Program MBG merupakan antara janji utama Encik Prabowo selepas memenangi Pilihan Raya Presiden dan menjadi salah satu program bantuan sosial terbesar Indonesia.
Bagaimanapun, program itu kini berdepan tekanan fiskal apabila pemerintah cuba mengurangkan beban kewangan negara serta memperketat sasaran penerima bantuan.
Peruntukan program itu bagi 2026 sebelum ini dikurangkan daripada 335 trilion rupiah kepada 268 trilion rupiah.
BGN juga merancang mencadangkan pengurangan lanjut bagi bajet 2027 berbanding cadangan asal sebanyak 270 trilion rupiah.
Dalam usaha memperkemas sasaran penerima, BGN telah menggugurkan 76 sekolah di Pulau Jawa melibatkan 39,352 pelajar daripada senarai penerima makanan percuma selepas mendapati pelajar di sekolah berkenaan datang daripada keluarga yang mampu menyediakan keperluan nutrisi sendiri.
Menurut Cik Agustina, dana yang sebelum ini diperuntukkan kepada sekolah terbabit akan dialihkan kepada kawasan miskin, terutama di wilayah pedalaman, terpencil dan sempadan Indonesia.
Beliau berkata kumpulan rentan seperti wanita hamil, ibu menyusu dan kanak-kanak kecil di kawasan kurang membangun akan diberikan keutamaan dalam pengagihan bantuan.
“Mereka yang mampu memenuhi keperluan nutrisi secara sendiri, terutama daripada keluarga berpendapatan tinggi, tidak lagi akan dilindungi program ini,” katanya.
Tambah beliau, BGN sedang mengemas kini pangkalan data penerima dan menilai sekolah berdasarkan beberapa faktor termasuk tahap kerentanan nutrisi, keadaan sosioekonomi dan akses kepada makanan.
Pemerhati ekonomi melihat langkah pengurangan perbelanjaan itu sebagai tanda pemerintah Indonesia semakin berhati-hati terhadap kedudukan fiskal negara di tengah tekanan ekonomi sejagat dan peningkatan komitmen sosial.
Program MBG sebelum ini turut menjadi perhatian selepas bekas ketua agensi terbabit ditahan awal Jun atas dakwaan rasuah berkaitan pengurusan program berkenaan.
Susulan itu, BGN berjanji memperbaiki sistem pemantauan dan tadbir urus bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan ketirisan dana awam. – Agensi berita.
