JAKARTA: Ketua baharu Agensi Pemakanan Nasional Indonesia (BGN), Cik Nanik Sudaryati Deyang memberi jaminan bahawa program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) 2026 akan diperkukuh menerusi langkah penjimatan bajet, pemantauan lebih ketat dan penambah baikan pengurusan susulan skandal rasuah yang menggoncang agensi itu minggu ini.

Cik Nanik berkata tumpuan utama BGN ketika ini ialah memastikan program utama pemerintah Presiden Prabowo Subianto dapat diteruskan secara cekap tanpa menjejaskan mutu makanan yang diberikan kepada rakyat.

“Perkara pertama yang menjadi perhatian kami ialah kecekapan. Walaupun bajet sekarang sekitar 268 trilion rupiah (S$19.08 bilin), kami berharap ia masih boleh dikurangkan tanpa menjejaskan kualiti,” katanya dalam sidang media di Jakarta pada 4 Jun.

Menurut beliau, langkah penjimatan akan dilaksanakan dalam beberapa bidang utama termasuk menyusun semula penerima manfaat program, menghentikan sementara pembukaan dapur baharu dan menaik taraf dapur sedia ada supaya memenuhi piawaian operasi.

“Kami juga akan meningkatkan latihan sumber manusia di Unit Perkhidmatan Pemenuhan Nutrisi (SPPG),” katanya.

Beliau menegaskan bahawa mana-mana dapur MBG yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan digantung serta-merta.

Kenyataan itu dibuat ketika BGN berdepan tekanan besar selepas bekas ketuanya, Dadan Hindayana ditahan pihak pendakwa raya atas dakwaan rasuah membabitkan pelaksanaan program MBG.

Dadan dipecat daripada jawatannya pada 2 Jun bersama dua pegawai kanan lain iaitu bekas timbalan ketua BGN, Sony Sanjaya dan Lodewyk Pusung.

Sehari selepas pemecatan itu, Pejabat Peguam Negara Indonesia menamakan ketiga-tiga mereka sebagai suspek dalam siasatan rasuah berkaitan program berkenaan.

Skandal itu mencetuskan kebimbangan awam terhadap integriti program MBG yang menjadi antara inisiatif utama pentadbiran Prabowo sejak kempen pilihan raya presiden 2024.

Program tersebut diperkenalkan bagi menangani masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak Indonesia serta meningkatkan tahap pemakanan rakyat.

Menteri Setiausaha Negara Indonesia, Encik Prasetyo Hadi berkata pengalaman Cik Nanik sebagai timbalan ketua BGN sebelum ini menjadikan beliau calon paling sesuai untuk mengambil alih kepimpinan agensi berkenaan.

“Kami percaya beliau mempunyai masa yang cukup untuk memahami semua proses dan aktiviti yang dijalankan oleh BGN,” katanya di Istana Presiden Jakarta.

Menurut beliau, Cik Nanik dikenali sebagai seorang yang tegas dan berdisiplin dalam memastikan pematuhan terhadap standard operasi agensi.

“Beliau antara individu yang sangat tegas dan berdisiplin,” katanya.

Encik Prasetyo berkata faktor itu menjadi antara pertimbangan utama dalam pelantikan Cik Nanik ketika kerajaan cuba memulihkan keyakinan rakyat terhadap agensi tersebut.

“Matlamat utama sekarang ialah mempercepat usaha penambahbaikan dan pemulihan,” katanya lagi.

Walaupun dijadual mengangkat sumpah secara rasmi minggu depan, Nanik kini sudah memegang jawatan itu secara pentadbiran selepas dekri presiden dikeluarkan.

Dalam perkembangan sama, Presiden Prabowo memberi amaran keras kepada ribuan rakan pelaksana program MBG supaya bekerja secara jujur dan tidak terlibat dalam rasuah.

Ketika berucap pada sesi Konsolidasi Nasional Program MBG di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sentul (SICC), Bogor pada 3 Jun, Encik Prabowo berkata kepentingan rakyat mesti diletakkan mengatasi segala kepentingan lain.

“Saya dimaklumkan ada 5,000 rakan pelaksana hadir di sini hari ini. Angkat tangan jika anda yakin bekerja secara jujur,” katanya di hadapan peserta program.

Beliau turut memberi peluang kepada mana-mana pihak yang pernah melanggar peraturan supaya kembali ke landasan yang betul.

“Jika ada antara anda yang melanggar peraturan, saya beri peluang untuk kembali ke jalan yang benar. Jika cepat mengaku kesalahan, insya-Allah anda akan selamat.”

Encik Prabowo menegaskan pemerintah mempunyai kemampuan mengesan penyelewengan dalam pelaksanaan program tersebut dan memberi amaran bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Saya tidak mahu negara kita dihina. Saya tidak mahu wang rakyat dicuri. Tiada pengecualian,” katanya.

Beliau berkata pemerintah bersedia memperkukuh institusi pengawasan dan agensi penguat kuasa bagi memastikan program MBG berjalan dengan telus.

Ironinya, hanya beberapa jam sebelum dipecat, Encik Dadan masih dilihat mengiringi Prabowo meninjau pelaksanaan program makanan percuma di sebuah sekolah di Jakarta.

Kini, perhatian tertumpu kepada kemampuan Cuj Nanik memulihkan reputasi BGN dan memastikan program pemakanan terbesar Indonesia itu tidak terus dibayangi skandal rasuah.

Pemerhati melihat langkah pemerintah melantik individu yang dianggap tegas dan berpengalaman sebagai usaha segera untuk menyelamatkan kredibiliti program MBG yang menjadi simbol utama agenda sosial Encik Prabowo.