JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang menilai semula kumpulan penerima manfaat program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG), termasuk cadangan mengecualikan pelajar sekolah menengah daripada keluarga berada, dalam usaha menjadikan program itu lebih tersasar dan menjimatkan perbelanjaan negara.

Timbalan Ketua Badan Pemakanan Nasional (BGN), Cik Agustina Arumsari, berkata semakan itu dilakukan bagi memastikan program utama Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, itu benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang paling memerlukan bantuan.

Menurut beliau, pemerintah kini mahu menyelaraskan program itu dengan Rancangan Pembangunan Jangka Sederhana Nasional (RPJMN) yang memberi tumpuan kepada kumpulan rentan dan kawasan miskin.

“Pelajar sekolah menengah mungkin tidak lagi perlu menerima MBG, terutama mereka yang belajar di sekolah elit dan mempunyai wang saku harian antara 100,000 rupiah ($7.23) hingga 200,000 rupiah,” katanya selepas mesyuarat tertutup bersama Suruhanjaya IX Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta pada 15 Jun.

Beliau berkata langkah itu berpotensi mengurangkan jumlah penerima manfaat sehingga 8 juta orang.

Setakat 10 Jun lalu, Kementerian Pendidikan Rendah dan Menengah melaporkan sekitar 43 juta pelajar sudah menerima makanan percuma, mewakili lebih 80 peratus daripada keseluruhan pelajar di Indonesia.

Menurut Cik Agustina, penyesuaian itu sebahagian daripada usaha memperbaiki pengurusan program sehingga penghujung 2026 tanpa menjejas matlamat asalnya untuk menangani masalah kekurangan zat makanan.

“Kita perlukan penyesuaian semula supaya campur tangan pemerintah menjadi lebih tepat sasaran dan lebih cekap dari segi penggunaan belanjawan,” katanya.

BGN kini bekerjasama dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Kesihatan bagi memuktamadkan kriteria baharu penerima manfaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua BGN, Cik Nanik Sudaryati Deyang, berkata pihaknya kini lebih memberi keutamaan kepada kualiti makanan dan keberkesanan pelaksanaan berbanding mengejar sasaran jumlah penerima.

“Kami sudah memaklumkan kepada Presiden bahawa pada 2025 kita tidak boleh hanya fokus kepada kuantiti. Keutamaan sekarang ialah meningkatkan kualiti,” katanya dalam sidang media.

Menurut beliau, jumlah penerima bukan lagi ukuran utama kejayaan program.

Sebaliknya, BGN mahu memastikan dana awam digunakan secara lebih berkesan terutama untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

Antara kumpulan yang akan diberi keutamaan ialah penduduk di kawasan pedalaman, mundur dan terpencil atau dikenali sebagai kawasan 3T, selain kumpulan 3B iaitu wanita hamil, ibu menyusu dan kanak-kanak kecil yang berisiko mengalami kekurangan zat makanan.

Cik Nanik berkata BGN juga bercadang menghentikan sementara pembinaan dapur baharu bagi program MBG untuk memperketat proses saringan pemohon.

Menurut beliau, pemerintah mahu menggunakan kemudahan sedia ada seperti kantin sekolah berbanding membina dapur baharu secara besar-besaran.

Langkah penstrukturan semula itu dibuat ketika program makanan percuma berdepan kritikan dan siasatan rasuah.

Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini melancarkan siasatan terhadap bekas Ketua BGN, Encik Dadan Hindayana, sehari selepas beliau dipecat daripada jawatan tersebut.

Empat lagi individu termasuk dua bekas timbalannya turut ditahan berhubung dakwaan penyelewengan dalam program bernilai kira-kira AS$15 bilion ($19.2 bilion) itu.

Kumpulan Pemerhati Rasuah Indonesia (ICW) menggesa pemerintah menggantung program tersebut dan memperluaskan siasatan.

Ketua Bahagian Undang-Undang dan Siasatan ICW, Cik Wana Alamsyah, berkata pihak berkuasa perlu menyiasat semua pihak yang mungkin mendapat keuntungan daripada kelemahan tadbir urus program itu.

“Pihak berkuasa perlu menyiasat semua pihak yang mungkin mendapat manfaat daripada kelemahan pengurusan program ini,” katanya.

Beliau mendakwa program itu dilaksanakan terlalu cepat tanpa perancangan rapi.

ICW turut mempersoalkan mengapa masalah dalam program tersebut hanya disiasat sekarang walaupun kritikan sudah lama muncul di media sosial.

Terdapat laporan mengenai keracunan makanan, kualiti makanan rendah dan penggunaan makanan ultra proses dalam beberapa sekolah.

Sesetengah kumpulan pemikir ekonomi turut mempersoalkan keputusan pemerintah melaksanakan program itu di semua sekolah tanpa mengambil kira tahap kemiskinan kawasan tertentu.

“Mengapa ia tidak disasarkan kepada kawasan miskin dan luar bandar yang benar-benar memerlukan?” kata Wana.

Beliau juga mendakwa keadaan fiskal Indonesia yang semakin tertekan mungkin menjadi faktor pemerintah mula menyusun semula program tersebut.

Kos program MBG turut menimbulkan kebimbangan pelabur ketika pemerintah berdepan tekanan belanjawan akibat peningkatan subsidi bahan api susulan perang Iran.

Bagaimanapun, Presiden Prabowo memberi amaran bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan rasuah dalam program tersebut.

“Saya tidak mahu wang rakyat dicuri. Tiada pengecualian,” katanya ketika berucap kepada ribuan pegawai dan rakan pelaksana program makanan percuma itu.

Program MBG juga mencetuskan protes mahasiswa di beberapa bandar besar Indonesia baru-baru ini apabila penunjuk perasaan mendesak pemerintah membatalkan program berkenaan kerana dianggap membebankan kewangan negara. - Agensi berita