Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Indonesia gesa PBB tindak tegas hurai konflik Timur Tengah

Oct 28, 2023 | 05:30 AM



Indonesia mengecam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana tidak bertindak menghentikan serangan dan pembunuhan di Jaluran Gaza, serta menyeru Perhimpunan Agung badan dunia itu agar segera menguatkuasakan gencatan senjata, kata Menteri Luar Indonesia, Cik Retno Marsudi pada Khamis lalu.

Berucap semasa sesi khas tergempar Perhimpunan Agung PBB mengenai tindakan Israel di wilayah Palestin, Cik Retno berkata dunia seolah-olah terbahagi kepada realiti yang berbeza dan seolah-olah enggan melihat adanya malapetaka di Gaza, walaupun serangan dan pembunuhan berterusan.

“Malah, sudah begitu ramai bilangan yang menjadi mangsa, namun Majlis Keselamatan gagal mengambil tindakan tegas,” katanya dalam satu kenyataan.

Cik Retno turut menambah bahawa baru dua hari lalu forum itu mengingatkan Majlis Keselamatan mengenai tanggungjawab moral mereka untuk menyelamatkan nyawa orang awam yang tidak bersalah.

Beliau menyeru kepada perhimpunan itu, supaya sesi khas tergempar ke-10 di mana beliau berucap, agar bangkit dan melakukan sesuatu, kerana Majlis Keselamatan telah gagal untuk bertindak dan membuktikan bahawa PBB percaya kepada maruah dan nilai kehidupan manusia.

“Perhimpunan Agung harus menuntut gencatan senjata segera, dapat bertahan dan dipatuhi sepenuhnya. Kita harus berupaya mengelakkan berulangnya kekejaman seperti ini pada masa hadapan,” kata Cik Retno.

Semasa perhimpunan tersebut, Indonesia mencadangkan penubuhan suruhanjaya bebas untuk menyiasat serangan Israel ke atas hospital, tempat ibadat dan pemindahan secara paksa terhadap penduduk di Gaza yang disifatkannya sebagai “situasi kemanusiaan yang mengerikan”.

“Orang ramai tidak seharusnya dipaksa bergerak bertentangan dengan kehendak mereka,” ujarnya.

Seorang ulama Indonesia, Encik Din Syamsuddin, berkata, serangan Israel di Gaza dan tindakan memaksa penduduk di kawasan itu untuk mengosongkan tanah mereka hanya akan mencetuskan konflik serantau malah di peringkat sejagat.

“Sikap dwistandard Amerika Syarikat yang menyokong Israel dengan memberikan bantuan senjata dan menyediakan kapal induk, dan pendirian tegas Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dalam menyokong Palestin ditambah pula dengan isu ibu kota Baitulmakdis, berpotensi mencetuskan suasana dunia baru,” kata Encik Din Syamsuddin kepada Berita Harian.


Cik Retno mengingatkan Presiden Perhimpunan Agung, Encik Dennis Francis, bahawa peserta perhimpunan telah berusaha berkali-kali untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin.

“Berkali-kali kami meminta Perhimpunan Agung untuk sesi tergempar mengenai nasib rakyat Palestin. Sudah berkali-kali harapan kita musnah kerana politik berkepentingan sempit,” katanya.

Indonesia juga mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Israel terhadap rakyat Palestin, serangan ke atas hospital, tempat ibadat di Gaza, dan pembunuhan sewenang-wenangnya, penculikan dan hukuman kolektif orang awam kerana mereka “tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa”.

Cik Retno menyeru Perhimpunan Agung dan agensi PBB lain yang berkaitan supaya meningkatkan usaha mereka menyediakan bantuan kemanusiaan di Gaza dan menyokong Setiausaha Agung PBB dan usaha negara-negara utama membenarkan bantuan kemanusiaan sampai ke wilayah yang dilanda perang.

Beliau berkata berpuluh-puluh atau beratus-ratus lori barangan bantuan kemanusiaan masih tidak mencukupi untuk meringankan penderitaan rakyat di Jaluran Gaza, dan oleh itu Perhimpunan Agung harus menyeru agar bantuan kemanusiaan segera disalurkan, tidak terhad dan berterusan.

Sementara itu, Indonesia akan menggandakan sumbangan sukarelanya kepada Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan menyeru masyarakat antarabangsa supaya menyokong UNRWA.

“Indonesia juga komited untuk menghantar bantuan kemanusiaan,” kata Cik Retno.

Dalam ucapannya, beliau berkata bahawa lebih daripada sekadar sebagai menteri luar negara, tetapi juga sebagai seorang wanita, ibu dan seorang nenek, Cik Retno merayu supaya dihentikan pembunuhan, lindungi orang awam dan membenarkan bantuan kemanusiaan sampai ke Jaluran Gaza.

Beliau berkata adalah penting untuk meneruskan proses damai bagi merealisasikan penyelesaian dua negara kerana tidak akan ada kedamaian selagi punca konflik itu tidak diselesaikan.

“Kita mesti menghentikan usaha sistematik kuasa penjajah, yang mungkin tidak meninggalkan apa-apa lagi untuk dirundingkan, atau tiada sesiapa lagi yang tinggal untuk diajak berunding,” kata Cik Retno.


“Adalah menjadi kewajipan kita untuk menghentikan ketidakadilan sekarang. Jika anda mengambil berat tentang kemanusiaan, gunakan hati anda untuk mengundi menyokong ketetapan itu,” ujar Cik Retno mengakhiri kenyataannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >