Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Perang Israel-Palestin dikhuatiri merebak ke Lebanon

Pertempuran cetus kebimbangan menjadi konflik lebih besar dengan Hezbollah. Peperangan sedemikian berbahaya bagi semua yang terlibat
Oct 30, 2023 | 06:00 AM



LEBANON: Bunyi pertempuran bergema di kedua-dua belah sempadan utara Israel dengan Lebanon.


Semboyan berbunyi di bandar Israel, memberi amaran tentang roket yang dilepaskan oleh kumpulan militan Hezbollah Lebanon.

Orang awam Lebanon telah melarikan diri dari kampung mereka, bimbang serangan Israel dan kemungkinan meletusnya perang baru.

Potensi merebaknya perang

Sejak Hamas melancarkan serangan mautnya di selatan Israel, ketegangan memuncak di sepanjang sempadan utara Israel, meningkatkan kebimbangan mengenai pertelagahan baru antara Israel dengan sekutu Hamas yang disokong Iran, Hezbollah, di negara jiran Lebanon.

Peperangan sedemikian menimbulkan risiko besar kepada semua yang terlibat, menurut pakar.

Israel, yang kelihatan bersedia melancarkan serangan darat di Gaza, sanggup berperang di dua bahagian dan mempertahankan diri daripada gerila Hezbollah yang mahir itu.

Lebanon, yang sudah terumbang-ambing akibat krisis ekonomi yang mendalam, akan menghadapi serangan udara Israel yang memusnahkan prasarana dan akan membunuh sejumlah besar orang.

Potensi penglibatan antarabangsa meningkatkan lagi taruhan. Amerika Syarikat telah menghantar dua kapal induknya ke Mediterranean, untuk membantu Israel menyerang sasaran di darat.

Dan kumpulan lain dalam apa yang dipanggil paksi penentangan, rangkaian pasukan yang disokong Iran di seluruh Timur Tengah, boleh diheret ke dalam perang baru.

“Perhitungan dalam peperangan besar, bukanlah mengenai negeri,” kata Jeneral Abbas Ibrahim, mantan ketua keselamatan Lebanon, dalam satu wawancara baru-baru ini.

“Ini adalah perang seadanya. Sama ada Israel kekal atau paksi ini kekal.”

Saling beri amaran

Pemimpin di kedua-dua belah pihak telah mengeluarkan amaran keras, menekankan taruhan masing-masing.

Pada Isnin, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberitahu Hezbollah supaya tidak ikut campur.

“Saya ada mesej untuk Iran dan Hezbollah: Jangan uji kami di utara,” katanya kepada penggubal undang-undang Israel.

“Jangan ulangi kesilapan yang sama, kerana kali ini, padahnya adalah lebih berat.”

Menteri Luar Iran, Encik Hossein Amir-Abdollahian, memberi amaran dalam temu bual di televisyen Iran bahawa militia serantau sekutu Iran, akan menyerang Israel jika ia meneruskan serangannya ke atas Gaza.

“Masa semakin cepat berlalu,” katanya. “Jika jenayah perang terhadap Palestin tidak segera dihentikan, beberapa medan pertempuran lain akan dibuka, dan ini tidak dapat dielakkan.”

Campur tangan Amerika dan Iran

Satu motivasi untuk pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden membawa kapal induk pesawatnya lebih dekat dengan Israel, adalah untuk cuba meyakinkan Hezbollah supaya tidak menyertai pertempuran, bagi mengelakkan sebarang kemungkinan campur tangan oleh Amerika.

Perubahan di Timur Tengah dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah menyebabkan keganasan di satu tempat boleh mencetuskan keganasan di tempat lain.

Itu kerana Iran telah berusaha menyatukan pasukan anti-Israel di negara berbeza ke dalam jaringan yang semakin ketat.

Kumpulan bersenjata di Gaza, Lebanon, Syria, Iraq dan Yaman yang pernah berperang secara berasingan, kini melihat diri mereka berada dalam pasukan yang sama.

Keupayaan Hezbollah

Ramai komander mereka telah menerima latihan serupa dari Iran atau Hezbollah dan anggota mereka berkongsi pengetahuan tentang cara meningkatkan kuasa tembakan roket dan mengawasi musuh mereka dengan dron.

Iran mungkin mengetuai rangkaian itu, tetapi Hezbollah, yang ditubuhkan di Lebanon oleh Republik Islam lebih tiga dekad lalu, adalah penguat kuasa utama.

Anggotanya memainkan peranan penting dalam membantu Syria mengubah arus menentang pemberontak antipemerintah, semasa perang saudara negara itu, yang bermula pada 2011.

Operasinya telah meningkatkan kebolehan bertempur militia pro-Iran di Iraq dan pemberontak Houthi di Yaman.

Israel, Amerika dan negara lain telah menetapkan Hezbollah dan beberapa rakan serantaunya, termasuk Hamas di Gaza, sebagai organisasi pengganas.

Israel telah melihat Hezbollah sebagai musuhnya yang paling hebat sejak mereka berperang selama sebulan pada 2006, yang mengorbankan lebih 1,000 warga Lebanon dan 165 warga Israel.

Anggota Hezbollah sangat terlatih, mempunyai senjata berpuluh-puluh ribu roket dan memiliki peluru berpandu ketepatan yang boleh membedil sasaran jauh di dalam wilayah Israel.

Walaupun keupayaan sebenar Hezbollah tidak diketahui, penganalisis berkata mereka telah meningkat dengan ketara sejak 2006, sebahagiannya kerana anggotanya mendapat pengalaman memerangi ISIS di Syria dan Iraq.

Senjata Hezbollah, yang termasuk keupayaan pertahanan udara, menjadikannya lebih berbahaya kepada Israel daripada Hamas, kumpulan Palestin yang mengawal Semenanjung Gaza, kata Cik Orna Mizrahi, timbalan penasihat keselamatan negara Israel yang bersara.

“Mereka mempunyai peluru berpandu jarak jauh, peluru berpandu ketepatan, keupayaan siber yang dibangunkan dengan baik,” katanya.

Semua itu memberikan Hezbollah keupayaan untuk menyebabkan “kemudaratan yang lebih luas kepada penduduk awam” di Israel.

Bagaimanapun, beliau menambah, pemerintahan perpaduan baru Israel, selepas perpecahan selama beberapa bulan, mengenai tindakan pentadbiran Encik Netanyahu melemahkan badan kehakiman Israel, akan membantu jika Hezbollah menyerang.

Elak perang besar-besaran

Walaupun ketegangan yang memuncak di rantau ini, kedua-dua Israel dan Hezbollah mahu mengelak perang habis-habisan pada ketika ini, kerana masing-masing mempunyai banyak kerugian, menurut penganalisis dan bekas pegawai Israel dan Lebanon.

Israel, mengalami trauma mendalam akibat serangan Hamas pada 7 Oktober yang mengorbankan lebih 1,400 orang dan menyaksikan hampir 200 diculik ke Gaza.

Ia mahu memberi tumpuan kepada apa yang disebut oleh Encik Netanyahu sebagai usaha Israel memusnahkan Hamas.

Pemimpin Hezbollah sering menyeru untuk memusnahkan Israel, tetapi kumpulan itu telah mengelak peperangan dengan Israel selama lebih sedekad. Ini menunjukkan bahawa ia lebih suka melaburkan usaha itu di tempat lain.

“Saya melihat Hezbollah lebih berminat menunjukkan lapisan kuasa dan pencegahan terhadap Israel dan mengadakan rundingan di peringkat serantau, daripada terlibat dalam konflik habis-habisan,” kata Encik Mohanad Hage Ali, timbalan pengarah penyelidikan di Pusat Timur Tengah Carnegie.

“Mereka lebih berminat dengan strategi jangka panjang yang memberi mereka lebih kuasa dan pengaruh.”

Encik Firas Maksad, zamil kanan di Institut Timur Tengah, berkata besar kemungkinan perang antara Israel dengan Hezbollah akan berlaku, terutamanya apabila Israel semakin hampir melancarkan pencerobohan darat ke atas Gaza.

Tetapi beliau menegaskan bahawa jika kedua-dua pihak bertindak dengan berhati-hati, “ada jalan untuk mengelakkannya”.

Masalahnya, penganalisis mencadangkan, adalah bahawa lebih kuat Israel mengejar matlamatnya untuk cuba menghapuskan Hamas, akan ada lebih banyak tekanan ke atas Hezbollah untuk campur tangan.

Hezbollah menggesa diadakan protes pada Rabu, di pinggir selatan Beirut iaitu kubu kuat kumpulan itu, menurut Al Manar, penyiar Lebanon milik Hezbollah, selepas berlaku letupan yang membunuh ratusan orang di sebuah hospital di Bandar Gaza.

Ramai orang telah turun ke jalan-jalan di ibu negara Lebanon pada petang Selasa selepas letupan, di mana pihak berkuasa Gaza menuduh Israel melakukannya.


Tentera Israel pula mendakwa letupan itu adalah akibat roket sesat yang dilancarkan oleh kumpulan bersenjata Palestin.


Sepanjang minggu lalu, Hezbollah dan Israel saling berbalas serangan merentasi sempadan, membunuh sejumlah kecil orang di kedua-dua belah pihak sambil mengelak keganasan lebih besar.

Pada Selasa, tentera Israel berkata ia telah menyasarkan militan yang cuba menyusup ke wilayah Israel, membunuh beberapa orang.

Hezbollah mengumumkan pada Selasa bahawa lima anggotanya telah terbunuh.

Alih perhatian

Buat masa ini, Hezbollah berkemungkinan cuba mengalihkan perhatian tentera Israel daripada pencerobohan yang dirancangnya ke atas Gaza, dengan menarik perhatian mereka ke arah utara, sambil masih mengelak perang besar-besaran, kata Cik Mizrahi.

Tetapi semakin besar ketegangan, semakin besar kemungkinan satu pihak akan membuat kesilapan yang membawa maut.

Sebagai contoh, dengan menyerang sasaran yang tidak diingini atau membunuh lebih banyak pasukan musuh daripada yang dirancang, memberi tekanan kepada pihak lain untuk bertindak balas.

Dan sesetengah dalam pertubuhan keselamatan Israel mungkin percaya bahawa sekarang adalah masa untuk menyerang Hezbollah, untuk memastikan kumpulan itu tidak boleh mengambil inisiatif terhadap Israel, kata Cik Sima Shine, mantan ketua penyelidikan agensi perisikan Israel.

Tetapi setakat ini, Encik Netanyahu telah menghalang cadangan sedemikian, menurut pegawai Amerika dan yang lain, semasa memberi taklimat mengenai perbincangan tersebut.

Buat masa ini, kedua-dua pihak kelihatan saling menunggu untuk melihat bagaimana dinamik pencerobohan yang dijangkakan Israel ke atas Gaza akan berlaku.

Jeneral Ibrahim, mantan ketua keselamatan Lebanon, berkata beliau percaya bahawa “garisan merah” Hezbollah mencakupi sebarang usaha Israel untuk menghapuskan kepimpinan Hamas atau menambah lagi angka kematian Palestin, yang mencecah puluhan ribu.

Pegawai Israel telah pun mengumumkan hasrat mereka menyingkirkan pegawai tertinggi Hamas dan pegawai Gaza.


Ketika perang berterusan dan imej serangan udara Israel memusnahkan bandar Gaza dan pemandangan anggota pasukan penyelamat menarik mayat dan orang-orang yang cedera dari runtuhan bangunan membanjiri saluran berita Arab, kemungkinan besar desakan semakin meningkat dalam kalangan penyokong Hezbollah supaya bertindak balas.

“Isu utama ialah skala keganasan yang akan dikenakan oleh tentera Israel ke atas Gaza dan khususnya ke atas struktur Hamas,” kata Encik Joseph Daher, pengarang sebuah buku mengenai Hezbollah. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >