Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB, pemimpin dunia gesa hentikan perang timbulkan kemarahan Israel

Oct 25, 2023 | 3:39 PM
LANGGAR UNDANG-UNDANG: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, mendakwa terdapat pelanggaran undang-undang antarabangsa di Gaza dan menggesa gencatan senjata segera.
LANGGAR UNDANG-UNDANG: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, mendakwa terdapat pelanggaran undang-undang antarabangsa di Gaza dan menggesa gencatan senjata segera. - Foto EPA-EFE

GAZA/BAITULMAKDIS: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, pada Selasa mendakwa terdapat pelanggaran undang-undang antarabangsa di Gaza dan menggesa gencatan senjata segera, dalam kenyataan yang menimbulkan kemarahan Israel.

Israel telah menggempur wilayah Palestin sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas, dengan krisis itu memecahbelahkan Majlis Keselamatan PBB.

Semasa membuka sesi peringkat tinggi majlis itu, Encik Guterres berkata tidak ada alasan untuk keganasan “mengerikan” oleh militan Hamas pada 7 Oktober, tetapi beliau juga memberi amaran terhadap “hukuman kolektif” terhadap rakyat Palestin.

“Saya amat prihatin dengan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang jelas kita saksikan di Gaza. Biar saya jelaskan bahawa tiada pihak dalam konflik bersenjata bertindak melebihi undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Encik Guterres, tanpa menamakan Israel secara jelas.

Encik Guterres juga berkata bahawa serangan Hamas “tidak berlaku dalam ruang kosong” kerana rakyat Palestin telah “tertakluk kepada 56 tahun pendudukan yang mencekik mereka”.

Kenyataannya menimbulkan kemarahan Menteri Luar Israel, Encik Eli Cohen.

Beliau menuding jarinya ke arah Encik Guterres dan meninggikan suaranya, menceritakan kisah grafik orang awam termasuk kanak-kanak kecil yang terbunuh dalam serangan paling maut dalam sejarah Israel.

“Tuan Setiausaha Agung, di dunia manakah anda tinggal?” Encik Cohen bertanya.

Duta Israel ke PBB, Encik Gilad Erdan, menyeru Encik Guterres supaya meletakkan jawatan. Melalui hantaran di X, beliau berkata bahawa ketua PBB telah “menyatakan persefahaman atas keganasan dan pembunuhan”.

Negara-negara termasuk Amerika, Canada, Russia dan negara Arab pula mendesak sama ada dihentikan atau gencatan senjata dalam pertempuran antara Israel dengan Hamas di Jalur Gaza.

Tujuannya adalah untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disampaikan kepada orang awam Palestin yang terkepung.

Pemimpin dunia cuba menghalang peningkatan terbaru keganasan daripada merebak.

Peperangan antara kedua-dua pihak bermula selepas kumpulan militan Hamas melancarkan serangan di selatan Israel pada 7 Oktober. Lebih 1,400 orang terbunuh.

Israel bertindak balas dengan pengeboman udara ke atas Jalur Gaza, yang diperintah oleh Hamas. Israel berkata ia mahu memusnahkan kumpulan militan itu.

Tindakan tentera Israel telah membunuh hampir 3,800 orang di Gaza.

Rumah Putih dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Presiden Amerika, Encik Joe Biden dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman yang berhubung melalui telefon pada Selasa, bersetuju dengan diplomasi yang lebih luas “untuk mengekalkan kestabilan di seluruh rantau dan menghalang konflik daripada bertambah buruk”.

Pertempuran maut telah bertambah sengit antara tentera Israel dengan Palestin di Tebing Barat yang diduduki, dan bangkit semula antara Israel dengan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran, di sempadan Israel-Lebanon.

Sebarang konflik yang lebih luas akan menjejaskan keselamatan di rantau itu yang penting kepada bekalan tenaga global.

Amerika telah menasihatkan Israel supaya menangguhkan serangan darat kerana Washington cuba membebaskan lebih ramai tebusan yang masih ditahan Hamas di Gaza.

Ditanya sama ada beliau menggesa Israel untuk menangguhkan serangan daratnya, Encik Biden memberitahu wartawan: “Orang Israel membuat keputusan mereka sendiri.”

Duta besar Iran di PBB, Encik Amir Saeid Iravani, memberitahu Majlis Keselamatan pada Selasa bahawa Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, telah cuba menyalahkan Iran atas perang Israel-Hamas.

“Komitmen kami terhadap keamanan dan kestabilan serantau kekal tidak berbelah bahagi,” katanya. – Agensi berita.

“Saya amat prihatin dengan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang jelas kita saksikan di Gaza. Biar saya jelaskan bahawa tiada pihak dalam konflik bersenjata bertindak melebihi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Encik Antonio Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg