Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia giat dapatkan permit 2 kapal tangkinya lepasi selat Hormuz
Jakarta berkata penggunaan ruang udaranya oleh Amerika Syarikat tidak jejas rundingan untuk pembebasan kedua-dua kapal itu
Indonesia giat dapatkan permit 2 kapal tangkinya lepasi selat Hormuz
JAKARTA: Indonesia masih dalam proses mendapatkan permit untuk dua kapal tangkinya melalui Selat Hormuz, kata Kementerian Luar Negeri.
Menurut kementerian itu, tiada laporan yang menunjukkan bahawa perbincangan Jakarta mengenai penggunaan ruang udaranya oleh Amerika Syarikat telah menjejas rundingan untuk pembebasan kedua-dua kapal itu.
Ia turut menyelar ancaman terhadap kapal komersial dan anak kapal di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.
Dalam taklimat akhbar pada 16 April, jurucakap Kementerian Luar Negeri, Encik Vahd Nabyl A. Mulachela memperbaharui seruan untuk kebebasan navigasi perkapalan yang terjamin melalui selat yang penting itu.
Beliau menambah Jakarta terus menyelaras secara intensif dengan pihak berkuasa Iran untuk mendapatkan laluan bagi dua kapalnya, Pertamina Pride dan Gamsunoro, yang dimiliki oleh Pertamina International Shipping (PIS).
Syarikat itu merupakan cabang perkapalan dan logistik syarikat tenaga milik negara itu.
“Kami telah menyelaras secara intensif dengan Angkatan Tentera Iran dan Kementerian Luar Negeri Iran,” tambahnya sambil merujuk kepada rundingan antara Teheran dengan kedutaan Indonesia di negara itu bulan lalu.
Menurutnya, Jakarta juga terus memantau dan berkomunikasi dengan anak kapalnya di selat itu untuk memastikan kesediaan teknikal dan anak kapal.
“Kami juga menolak sebarang ancaman terhadap kapal komersial, dan menekankan bahawa keselamatan maritim mesti menjadi keutamaan utama,” kata Encik Vahd.
Kedua-dua kapal tangki Indonesia itu terkandas di Selat Hormuz lebih 40 hari selepas Teheran mula mengenakan sekatan ke atas lalu lintas melalui selat yang menjadi laluan bekalan 20 peratus minyak dunia.
Sejak itu, Indonesia telah meningkatkan usaha diplomatik melalui kedutaannya di Teheran tetapi tidak menunjukkan kemajuan yang ketara, walaupun Iran telah memberikan permit kepada beberapa negara lain termasuk Malaysia.
Kapal-kapal negara yang tidak mendapat permit menghadapi ancaman daripada Iran, termasuk pintasan atau serangan daripada Teheran pada Mac.
Washington juga mengeluarkan amaran bahawa kapal-kapal boleh diarahkan berpatah balik di tengah-tengah sekatan lalu lintas maritim yang berkaitan dengan Iran sejak awal April.
Kesukaran Indonesia dalam mendapatkan permit daripada Iran telah diteliti di dalam negara di tengah-tengah rasa tidak puas hati orang ramai terhadap tindak balas pemerintah terhadap perang Amerika-Israel ke atas Iran, termasuk kekurangan kecaman terhadap serangan tentera Amerika ke atas Teheran dan ucapan takziah Presiden Prabowo Subianto yang tertangguh selepas pembunuhan pemimpin Iran Ayatollah Ali Khamenei.
Kebimbangan mengenai hubungan Indonesia dan Iran memuncak awal minggu ini susulan laporan bahawa Jakarta sedang mempertimbangkan untuk memberikan akses menyeluruh Amerika ke ruang udaranya.
Seorang lagi jurucakap Kementerian Luar Negeri, Cik Yvonne Mewengkang, memberi jaminan bahawa perbincangan akses penerbangan itu tidak menjejas rundingan untuk kapal-kapal Indonesia di Selat Hormuz.
“Setakat ini belum ada laporan bahawa cadangan tersebut telah menjejaskan rundingan. Proses untuk mendapatkan permit akses terus dijalankan, dan kami menunggu butiran lanjut daripada Iran mengenai mekanisme tersebut,” jelasnya. – Agensi berita.