Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia hadkan pembelian bahan api bersubsidi mulai 17 Ogos

Jul 11, 2024 | 2:24 PM
Syarikat minyat dan gas milik pemerintah, Pertamina, kini sedang membuat persiapan untuk mengehadkan pembelian bahan api bersubsidi, yang akan berkuat kuasa mulai 17 Ogos.
Syarikat minyat dan gas milik pemerintah, Pertamina, kini sedang membuat persiapan untuk mengehadkan pembelian bahan api bersubsidi, yang akan berkuat kuasa mulai 17 Ogos. - Foto FACEBOOK PERTAMINA

JAKARTA: Ketua Menteri Pelaburan Indonesia, Encik Luhut Binsar Pandjaitan, mengumumkan bahawa pemerintah akan mengehadkan pembelian bahan api bersubsidi mulai 17 Ogos, pada Hari Kemerdekaan negara.

Langkah itu bertujuan mengurangkan perbelanjaan pemerintah untuk subsidi bahan api.

“Kami harap bermula pada 17 Ogos. Mereka yang tidak layak mendapat subsidi akan melihat pengurangan,” kata Encik Luhut di akaun Instagramnya, pada 10 Julai, lapor Jakarta Globe.

Encik Luhut menjelaskan, syarikat minyak dan gas milik pemerintah, Pertamina, kini sedang bersiap sedia untuk melaksanakan sekatan tersebut.

“Pertamina kini sedang membuat persiapan,” katanya tanpa menjelaskan butiran lanjut.

Mengurangkan penggunaan bahan api bersubsidi berpotensi memberi implikasi positif kepada kesihatan awam, dengan mengurangkan kes jangkitan saluran pernafasan atas dan penjimatan sehingga 38 trilion rupiah ($3.1 bilion), dalam pembayaran tambahan kepada insurans kesihatan nasional, ujar Encik Luhut.

“Kami sedang menangani banyak ketidakcekapan dalam negara, membetulkannya secara beransur-ansur,” kata Encik Luhut, menekankan manfaat kesihatan dan kewangan yang lebih luas dalam mengurangkan pergantungan kepada bahan api bersubsidi.

Usaha mengurangkan pencemaran udara termasuk peralihan kepada bioetanol untuk menggantikan petrol.

Pada masa ini, bahan api bersubsidi mengandungi paras sulfur sebanyak 550 bahagian per juta (PPM).

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati, melaporkan pendapatan negara menjelang akhir tahun dianggarkan mencapai 2,802.5 trilion rupiah, meningkat 0.7 peratus berbanding 2023.

Sementara itu, perbelanjaan negara diunjurkan pada 3,412.2 trilion rupiah, meningkat 9.3 peratus dari tahun sebelumnya dan 102.6 peratus daripada sasaran bajet negara 2024.

“Dengan tinjauan ini, kami mengunjurkan defisit belanjawan 2024 sebanyak 609.7 trilion rupiah atau 2.7 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar,” kata Cik Sri Mulyani dalam mesyuarat kerja bersama Jawatankuasa Anggaran Dewan Perwakilan Rakyat baru-baru ini.

Sebagai sebahagian daripada Rangka Kerja Ekonomi Makro 2025 dan Prinsip Dasar Fiskal, pemerintah menyasarkan untuk mengurangkan penggunaan bahan api bersubsidi seperti Pertalite dan diesel bersubsidi, sebanyak 17.8 juta kiloliter pada 2025.

Pemerintah mengeluarkan 42.9 trilion rupiah subsidi tenaga untuk bahan bakar dan gas tong petroleum cecair (LPG) tiga kilogram pada separuh pertama 2024.

Subsidi bahan api berjumlah 8.7 trilion rupiah manakala subsidi untuk gas tong tiga kilogram berjumlah 34.2 trilion rupiah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg