JAKARTA: Menteri Kewangan Indonesia, Cik Sri Mulyani Indrawati, menyatakan bahawa subsidi tenaga dalam Bajet Negara (APBN) dijangka meningkat pada 2024.
“Subsidi tenaga dijangka meningkat dengan beberapa parameter yang berubah seperti harga minyak, kos pengangkutan serta kadar pertukaran wang,” jelas beliau semasa sesi Jawatankuasa Bajet Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta pada 8 Julai.
Setakat ini, pemerintah, katanya, telah membelanjakan 155.7 trilion rupiah (sekitar $12.9 bilion) untuk subsidi dan pampasan tenaga.
Cik Sri Mulyani menyatakan bahawa perbelanjaan untuk subsidi tenaga dan pampasan meningkat disebabkan oleh penyusutan nilai rupiah, mendorong peningkatan perbelanjaan negara.
Perbelanjaan negara pada separuh pertama 2024 meningkat sebanyak 11.3 peratus tahun ke tahun untuk mencapai 1,398 trilion rupiah ($115.9 bilion).
“Masyarakat masih menikmati harga subsidi yang agak stabil walaupun terdapat perubahan pada parameter.
“Akibatnya, APBN harus menanggung bebannya,” tambah Cik Sri Mulyani
Pemerintah Indonesia mengeluarkan 42.9 trilion rupiah subsidi tenaga untuk bahan bakar dan gas tong petroleum cecair (LPG) 3 kilogram (kg) pada separuh pertama 2024.
Subsidi bahan api berjumlah 8.7 trilion rupiah, manakala subsidi untuk gas tong 3 kg berjumlah 34.2 trilion rupiah.
Cik Sri Mulyani menyatakan bahawa subsidi bahan api meliputi 7.16 juta kiloliter, dengan subsidi LPG 3 kg berjumlah 3.36 juta kiloliter, lapor Jakarta Globe.
“Pada separuh pertama 2024, subsidi bahan api untuk 7.164 juta kiloliter menurun sebanyak 0.05 peratus, berbanding tempoh yang sama 2023 iaitu 7.167 juta kiloliter manakala 3.36 juta kiloliter LPG pula meningkat 1.4 peratus daripada jumlah pada 2023 sebanyak 3.31 juta kiloliter,” jelas Sri Mulyani semasa mesyuarat jawatankuasa bajet bersama Dewan Rakyat pada 8 Julai.
Bajet subsidi dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu meningkat didorong oleh kenaikan harga minyak sejagat dan mata wang rupiah yang menyusut.
Subsidi elektrik mencapai 40.6 juta rumah pada separuh pertama 2024, meningkat 3.4 peratus daripada tempoh yang sama pada 2023, apabila ia berjumlah 39.2 juta.
Pengeluaran pinjaman mikrokredit (KUR) meningkat 34.4 peratus, daripada 105.2 trilion rupiah kepada 141.3 trilion rupiah dengan jumlah peminjam meningkat 25.1 peratus kepada 2.4 juta orang.
Secara keseluruhan, subsidi dan pampasan berjumlah 155.7 trilion rupiah pada separuh pertama 2024 – turun 3.8 peratus daripada 164.9 trilion rupiah pada tempoh yang sama pada 2023.
Angka ini tidak termasuk subsidi dan pampasan yang dijangka pada separuh kedua 2024.
“Subsidi dan pampasan tenaga dipengaruhi oleh turun naik harga minyak mentah, susut nilai tukaran mata wang rupiah di samping peningkatan volum LPG dan elektrik bersubsidi yang dijangka memberi kesan pada separuh kedua 2024,” tambah Cik Sri Mulyani.
Cik Sri Mulyani berkata lebih banyak wang masih diperlukan walaupun harga bahan api dinaikkan, jumlah itu bergantung kepada harga minyak mentah antarabangsa.
“Kami sedang memantau kesan terhadap inflasi dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Harga bahan api adalah isu sensitif di Indonesia dan perubahan itu akan memberi implikasi besar kepada isi rumah dan perniagaan kecil kerana bahan api bersubsidi menyumbang lebih 80 peratus daripada jualan gergasi minyak milik pemerintah, Pertamina.
Kenaikan harga bahan api terakhir adalah pada 2014, beberapa bulan selepas Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo memegang jawatan, bertujuan untuk membebaskan ruang fiskal.
Ia bagaimanapun mencetuskan bantahan di serata negara itu.
Peningkatan subsidi bukan tenaga pada separuh kedua 2024 dijangkakan meningkat berikutan peruntukan tambahan sebanyak 25 trilion rupiah untuk subsidi baja.
Tambahan pula, dengan jumlah yang lebih tinggi dan lebih banyak penerima KUR, subsidi faedah juga akan dapat dilihat pada separuh kedua 2024. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg