Indonesia jangka hampir 144j penduduk mudik Aidilfitri
Jumlah wakili kira-kira 50.6% populasi negara
JAKARTA: Indonesia bersiap menghadapi antara gelombang perjalanan terbesar setiap tahun apabila dianggarkan 143.9 juta penduduk akan melakukan perjalanan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri 2026.
Jumlah itu mewakili kira-kira 50.6 peratus populasi negara berkenaan dan menunjukkan tradisi pulang ke kampung atau mudik kekal kukuh walaupun pemerintah berulang kali menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Menteri Perhubungan, Encik Dudy Purwagandhi, berkata unjuran tersebut berdasarkan kajian nasional oleh Badan Dasar Pengangkutan kementerian itu.
“Unjuran ini menjadi asas untuk kita menyediakan operasi pengangkutan Aidilfitri 2026 secara menyeluruh,” katanya.
Kementerian menjangkakan puncak pertama perjalanan pulang berlaku pada 13 Mac, diikuti gelombang kedua pada 18 Mac.
Aliran pulang ke bandar pula dijangka bermula 23 Mac dengan puncak pada 24 Mac dan satu lagi pada 28 Mac.
Wilayah Jawa Barat dijangka menjadi penyumbang terbesar pemudik dengan hampir 31 juta orang, diikuti Jakarta sekitar 19.9 juta dan Jawa Timur 17.1 juta.
Dari segi destinasi, Jawa Tengah dijangka menerima kemasukan paling besar iaitu sekitar 38.7 juta orang, diikuti Jawa Timur dan Jawa Barat.
Kawasan padat seperti Jakarta Timur, Kabupaten (Daerah) Bogor dan Bekasi dikenal pasti sebagai lokasi utama perlepasan, manakala kebanyakan destinasi tertumpu di daerah Jawa Tengah.
Kereta persendirian kekal sebagai pilihan utama perjalanan dengan lebih 76 juta pengguna, diikuti motosikal 24.1 juta dan bas 23.3 juta.
Majoriti pengguna kereta dijangka menggunakan lebuh raya bertol manakala penunggang motosikal memilih laluan alternatif.
Pemerintah sekali lagi menggesa orang ramai beralih kepada pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan.
“Kami mengimbau masyarakat menggunakan pengangkutan awam untuk meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kesesakan akibat mobiliti tinggi semasa Aidilfitri,” kata Encik Dudy.
Stesen Pasar Senen dijangka menjadi stesen kereta api paling sibuk dengan kira-kira 2.38 juta penumpang berlepas manakala Stesen Yogyakarta Tugu menjadi lokasi ketibaan tertinggi.
Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pula diramal mencatat jumlah tertinggi bagi pelepasan dan ketibaan penumpang udara.
Bagi laluan laut, penyeberangan Merak–Bakauheni yang menghubungkan Jawa dan Sumatera dijangka mengendalikan lebih enam juta penumpang.
Pemerintah menyediakan puluhan ribu aset pengangkutan bagi menampung lonjakan perjalanan, termasuk 31,000 bas; 829 kapal laut, 255 feri, 392 pesawat dan lebih 3,800 gerabak kereta api.
Selain itu, ratusan pelabuhan, lapangan terbang dan stesen kereta api di seluruh negara akan beroperasi pada kapasiti maksimum.
Seperti tahun sebelumnya, pemerintah menawarkan pelbagai diskaun bagi meringankan kos perjalanan.
Ia termasuk pengecualian penuh caj pelabuhan untuk feri, potongan tambang kapal laut bersubsidi, diskaun tiket kereta api kelas ekonomi dan pengurangan tambang penerbangan domestik.
Program mudik percuma turut diperluas dengan puluhan ribu tempat duduk disediakan melalui bas, kereta api dan kapal laut.
Langkah itu bertujuan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian serta kesesakan lalu lintas.
Pemerintah bersama polis nasional dan kementerian kerja raya juga akan mengehadkan operasi lori berat tiga gandar atau lebih pada hari puncak perjalanan.
Pengecualian diberikan kepada kenderaan membawa bahan api, bekalan makanan asas dan bantuan kecemasan.
Pihak berkuasa turut memberi amaran kepada syarikat logistik supaya tidak menggunakan kenderaan terlebih muatan atau melebihi dimensi.
“Kami mahu semua pihak memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh mobiliti besar ini,” kata Encik Dudy. – Agensi berita.

