Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mudik Aidilfitri berkurang: Cerminan perubahan sosial, krisis ekonomi

Apr 7, 2025 | 5:30 AM
Penumpang bas menunggu di kawasan Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia, pada 27 Mac sebelum menaiki kenderaan itu yang disediakan secara percuma oleh pemerintah Wilayah Jakarta untuk pulang ke kampung halaman, atau mudik, sempena Hari Raya Aidilfitri.
Penumpang bas menunggu di kawasan Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia, pada 27 Mac sebelum menaiki kenderaan itu yang disediakan secara percuma oleh pemerintah Wilayah Jakarta untuk pulang ke kampung halaman, atau mudik, sempena Hari Raya Aidilfitri. - Foto REUTERS

JAKARTA: Setiap tahun, Hari Raya Aidilfitri di Indonesia sinonim dengan ritual besar-besaran pulang ke kampung halaman, yang ebih dikenali sebagai mudik.

Namun, 2025 menyaksikan perubahan mendadak dalam trend itu.

Buat kali pertama sejak sedekad lalu – kecuali ketika pandemik – jumlah pemudik diramal jatuh secara drastik, menandakan perubahan corak sosial dan ekonomi yang tidak boleh diabaikan.

Menurut tinjauan oleh Agensi Dasar Kementerian Pengangkutan, hanya sekitar 146.48 juta orang, atau 52 peratus penduduk Indonesia, melakukan perjalanan mudik 2025.

Ia penurunan 24 peratus daripada 193.6 juta orang pada 2024.

“Kami tidak meneliti secara terperinci punca utama penurunan itu, namun perubahan gaya hidup sosial dijangka memberi kesan kepada corak mobiliti,” ujar Ketua Komunikasi Awam dan Informasi Kementerian Pengangkutan, Encik Budi Rahardjo, dalam rancangan televisyen, Investor Daily Talk.

Data rasmi menunjukkan 55 peratus mereka yang mudik berasal dari Pulau Jawa, dan 70 peratus destinasi juga terletak di pulau itu.

Sumatera di tempat kedua, menyumbang 21 peratus pemudik.

Namun angka itu tetap jauh lebih rendah daripada tahun sebelumnya, dan sambutan Aidilfitri kurang meriah di banyak kawasan.

Mudik bukan sekadar budaya, ia merupakan mangkin ekonomi negara – menggerakkan sektor pengangkutan, pelancongan, runcit dan perbelanjaan isi rumah.

Namun, Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin) menjangka edaran wang sepanjang sambutan Raya 2025 akan menyusut 12.28 peratus.

“Jika pada Aidilfitri 2024 edaran wang mencecah 157.3 trilion rupiah ($1.2 bilion), tahun ini (2025) kita jangka hanya sekitar 137.98 trilion rupiah,” kata Naib Pengerusi Kadin bagi Pembangunan Autonomi Wilayah, Encik Sarman Simanjorang.

Menurutnya, peningkatan pengangguran, pemotongan gaji dan berhemat dalam berbelanja dalam kalangan kelas pertengahan menjadi antara faktor utama.

Selain itu, jarak masa dekat antara Aidilfitri dengan cuti panjang Krismas serta Tahun Baru juga memberi kesan terhadap keputusan rakyat tidak pulang ke kampung.

Wali Kota Surakarta, Encik Respati Achmad Ardianto, melihat isu itu dari sudut berbeza.

Baginya, penurunan itu bukan semata-mata soal ekonomi.

“Sekarang orang mudah berhubung melalui Internet, jadi keperluan untuk pulang secara fizikal itu semakin berkurangan,” ujarnya.

Namun, pakar dasar awam dari Universitas Pembangunan Nasional (UPN) Veteran Jakarta, Encik Achmad Nur Hidayat, memberi amaran penurunan mendadak itu akan memberikan kesan serius kepada golongan tidak formal seperti penjaja kecil, peniaga pasar tradisional dan pekerja logistik.

“Impak berganda dan kesan berantai Aidilfitri sangat besar, daripada pengangkutan hingga peniaga jalanan – dan kali ini semua akan terkesan,” ujarnya.

Wilayah seperti Jawa Tengah, Jawa Timur dan Jawa Barat dijangka menerima tamparan paling hebat dari sudut peredaran wang.

Di luar Jawa, Sumatera (terutama Lampung dan Sumatera Utara) serta Sulawesi Selatan juga bergantung pada musim perayaan untuk menghidupkan semula ekonomi tempatan.

Penurunan itu turut bertepatan dengan tekanan ekonomi makro yang semakin meruncing.

Pada awal 2025 menyaksikan deflasi berturut-turut, mencerminkan permintaan domestik yang lemah.

Menurut Badan Pusat Statistik (BPS), Indonesia mencatat deflasi bulan ke bulan sebanyak 0.76 peratus pada Januari dan 0.48 peratus pada Februari; manakala deflasi tahunan Februari berada pada paras -0.09 peratus, buat kali pertama sejak Mac 2000.

Pengarah Ekonomi di Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), Encik Nailul Huda, menegaskan trend itu berbeza daripada lazimnya.

“Dalam keadaan ekonomi yang sukar sekalipun, tradisi Aidilfitri biasanya tetap berjalan. Tetapi tahun ini (2025), rakyat lebih cermat dalam berbelanja,” katanya.

Lebih 18,600 pemberhentian kerja direkodkan hanya dalam dua bulan pertama 2025.

Ini menyebabkan Indeks Keyakinan Pengguna (IKP) susut 0.4 peratus, angka luar biasa bagi suku pertama tahun.

Walaupun pemerintah memperkenalkan diskaun tol dan pengurangan tambang pengangkutan awam, sambutan daripada masyarakat tetap hambar.

Ini menandakan halangan utama bukan kos perjalanan, tetapi ketidakpastian kewangan.

“Jika orang tidak mudik, mungkin kerana mereka tidak mampu, atau mereka memilih untuk berjimat. Ini realiti ekonomi rakyat sekarang,” ujar Encik Nailul.

Cukai nilai tambah domestik turut menunjukkan kemerosotan mendadak – hanya mencatat 2.58 trilion rupiah pada Januari 2025 berbanding 35.6 trilion rupiah pada bulan yang sama 2024.

Menurut Celios, sumbangan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) daripada Ramadan dan Aidilfitri dijangka merosot kepada 140.74 trilion rupiah pada 2925, merosot 16.5 peratus dari 2024.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Segara, Encik Piter Abdullah, menyeru agar pemerintah bertindak dengan dasar fiskal tersasar.

“Kuasa beli semakin tertekan akibat kos sara hidup dan ketidaktentuan pasaran buruh. Tanpa campur tangan, kelembapan ekonomi akan berlarutan,” katanya.

Tradisi Aidilfitri yang selama ini menyokong pertumbuhan ekonomi kini menjadi cerminan perubahan gaya hidup dan cabaran ekonomi yang sebenar.

“Ketika masyarakat memilih tidak pulang bukan kerana tidak mahu, tetapi kerana tidak mampu, itu petanda yang perlu diberi perhatian serius oleh penggubal dasar,” ujar Encik Piter. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg