JAKARTA: Pemerintah Indonesia telah meminta agar purata Kos Penganjuran Haji (BPIH) sebanyak Rp105 juta ($9,135) seorang untuk haji pada 2024.
“Untuk pelaksanaan ibadah haji tahun 2024, pemerintah mencadangkan BPIH purata setiap jemaah sebesar Rp105,095,032,” kata Menteri Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas, pada mesyuarat kerja Dewan Perwakilan Rakyat di sini pada Isnin.
Angka itu lebih tinggi daripada kos haji tahun sebelumnya iaitu Rp90 juta seorang.
BPIH adalah dana yang digunakan untuk penganjuran ibadah haji. BPIH boleh diertikan sebagai jumlah kos yang sepatutnya dikeluarkan untuk pelaksanaan ibadah haji dan diuruskan oleh pemerintah setiap kali musim haji.
Jelas Encik Yaqut, BPIH itu dirancang menggunakan andaian nilai tukar rupiah Rp16 ribu berbanding dolar Amerika Syarikat dan kadar Riyal Arab Saudi (SAR) pada Rp4,266 berbanding rupiah.
Sementara itu, kos sara hidup jemaah haji ditetapkan pada 750 SAR, sama seperti pelaksanaan haji tahun 2022 yang akan dibayar dalam SAR bagi melindungi jemaah daripada turun naik kadar pertukaran.
“BPIH dikelompokkan kepada dua komponen, (dengan) satu komponen yang dicaj terus kepada jemaah Haji (Bipih) dan satu lagi komponen yang dicaj kepada dana nilai faedah (optimasi),” katanya dipetik oleh agensi berita rasmi, Antara.
Menurut Encik Yaqut, penggubalan komponen BPIH adalah bertujuan untuk mengimbangi beban jemaah haji dengan kelestarian nilai manfaat pada masa hadapan.
“Caj BPIH perlu mengekalkan prinsip istithaah dan kecairan dalam penganjuran ibadah haji pada tahun-tahun berikutnya,” tegas beliau.
Istithaah ialah keupayaan fizikal, mental, kewangan, dan keselamatan seseorang untuk menunaikan haji, tanpa mengabaikan tanggungjawab kekeluargaannya.
Bajet BPIH merangkumi komponen kos penerbangan, penginapan, makan, pengangkutan, Armuzna atau kemuncak haji, naik dan turun, imigrasi, dokumen perjalanan, dan kos sara hidup.
Cadangan BPIH ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam jawatankuasa kerja BPIH, Dewan Perwakilan Rakyat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg