Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia jangka musim hujan bermula awal November, lewat daripada ramalan
Indonesia tarik balik lesen lima syarikat susulan kebakaran di Kalimantan
Indonesia jangka musim hujan bermula awal November, lewat daripada ramalan
JAKARTA: Indonesia dijangka mengalami musim hujan yang lebih singkat daripada biasa tahun ini apabila fenomena El Nino berterusan sehingga suku pertama 2027, sekali gus memanjangkan tempoh kering yang telah memburukkan kebakaran hutan dan tanah di negara itu.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) pada 22 September berkata musim hujan dijangka bermula pada awal November di kebanyakan wilayah, lewat berbanding ramalan awal pada Oktober, iaitu tempoh musim hujan biasanya bermula.
Ketua BMKG, Encik Teuku Faisal Fathani, berkata kira-kira 61 peratus wilayah Indonesia dijangka mengalami kelewatan musim hujan.
Antara kawasan yang dijangka mula menerima hujan pada awal November ialah sebahagian Kalimantan serta beberapa kawasan di Sumatera, Jawa dan Sulawesi.
Musim hujan dijangka mencapai kemuncaknya di kebanyakan wilayah pada Disember, dengan hujan lebat masih berkemungkinan berlaku pada Januari dan Februari 2027.
Seorang lagi pegawai BMKG, Encik Ardhasena Sopaheluwakan, berkata kesan El Nino masih kuat di kebanyakan wilayah Indonesia sepanjang September.
Fenomena itu dijangka berterusan sehingga suku pertama 2027, meskipun kesannya terhadap kemarau dijangka berkurangan apabila musim hujan bermula.
Tempoh kering yang lebih panjang tahun ini telah menyumbang kepada kebakaran hutan dan tanah paling buruk di Indonesia dalam tempoh 11 tahun, apabila fenomena “super El Nino” meningkatkan suhu dan menyebabkan kemarau.
Data rasmi menunjukkan kira-kira 202,000 hektar kawasan terbakar antara Januari dengan Julai. Yayasan Konservasi Alam Nusantara (YKAN) pula menganggarkan 600,000 hektar lagi terjejas pada Ogos.
Berikutan keadaan itu, BMKG menasihatkan sektor pertanian supaya menyesuaikan jadual penanaman dan menggunakan varieti tanaman yang mempunyai tempoh matang lebih singkat bagi mengurangkan kesan musim kering berpanjangan terhadap pengeluaran makanan.
Pada masa sama, pemerintah Indonesia meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat yang didapati gagal mencegah kebakaran dalam kawasan konsesi mereka.
Menteri Perhutanan Indonesia, Encik Raja Juli Antoni, pada 22 September mengumumkan pembatalan lesen perniagaan lima syarikat yang beroperasi di Kalimantan, melibatkan kawasan konsesi keseluruhan seluas 92,464 hektar.
Lima syarikat itu ialah PT Wana Lestari Jaya yang beroperasi di Sanggau dan Sekadau, Kalimantan Barat; PT Prima Multi Buana di Banjar, Kalimantan Selatan; serta PT Pancaran Wana Nusa di Lamandau, Kalimantan Tengah.
Turut kehilangan lesen ialah PT Grace Putri Perdana yang mempunyai kawasan konsesi di Lamandau, Sukamara dan Ketapang serta PT Babugus Wahana Lestari di Kapuas, Kalimantan Tengah.
Menurut Encik Raja Juli, kawasan terbakar yang dikenal pasti dalam konsesi kelima-lima syarikat itu berjumlah 1,169.13 hektar.
Kawasan terbesar melibatkan PT Pancaran Wana Nusa dengan 497 hektar, diikuti PT Grace Putri Perdana sebanyak 374.99 hektar dan PT Babugus Wahana Lestari seluas 231.10 hektar.
Beliau berkata pembatalan lesen itu dibuat kerana pemegang lesen perniagaan pemanfaatan hutan (PBPH) mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kawasan konsesi masing-masing dan mencegah kebakaran.
Menurutnya, tindakan tersebut selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto supaya undang-undang dikuatkuasakan tanpa mengira sama ada pelanggaran dilakukan pihak kecil atau syarikat besar.
“Ini sebahagian daripada arahan Presiden Prabowo Subianto supaya penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan tanpa pilih kasih,” katanya.
Encik Raja Juli berkata langkah tegas itu juga bertujuan memberi amaran kepada syarikat lain supaya tidak melakukan pembakaran atau membiarkan kebakaran hutan dan tanah berterusan dalam kawasan yang berada di bawah tanggungjawab mereka.
Tindakan itu dilakukan ketika Indonesia berdepan tempoh kritikal sebelum musim hujan bermula pada November.
Dengan El Nino masih mempengaruhi cuaca, risiko kebakaran kekal tinggi dalam beberapa minggu akan datang, sebelum hujan dijangka membantu mengurangkan keadaan kering di kawasan terjejas. - Agensi berita
