JAKARTA: Indonesia kini berhasrat memanfaatkan tenaga nuklear bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat dan pada masa sama mengekang pelepasan karbon.
Hasrat itu, yang menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang negara, menghadapi pelbagai cabaran kompleks dan memerlukan usaha bersepadu daripada pelbagai pihak.
Pengalaman pertama Indonesia dengan tenaga nuklear bermula pada Februari 1965 apabila Presiden Sukarno merasmikan reaktor ujian.
Enam dekad kemudian, negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu hanya memiliki tiga reaktor penyelidikan, tanpa loji jana kuasa nuklear untuk menjana elektrik.
Kebergantungan pada arang batu masih menjadi realiti utama, memandangkan sumber itu melimpah dan murah.
“Nuklear adalah penting untuk mengekang kenaikan pelepasan karbon dan seterusnya mengurangkannya,” kata Penyelidik Kanan, Institut Kajian Tenaga Oxford, Dr Philip Andrews-Speed.
Menurutnya, penggunaan tenaga nuklear perlu bagi menampung permintaan tenaga yang semakin mendesak sambil mengekalkan matlamat sifar bersih pada 2050.
Presiden Prabowo Subianto sendiri telah berikrar menjamin keselamatan tenaga dan pada masa yang sama, menghapuskan penggunaan arang batu dalam tempoh 15 tahun akan datang.
Arang batu kini menyumbang kira-kira dua pertiga daripada penjanaan elektrik Indonesia.
Pemerintah Indonesia menyasarkan antara 40 dengan 54 gigawatt daripada 400 gigawatt tenaga elektrik yang dijangka dijana menjelang 2060 datang daripada sumber nuklear.
Untuk memulakan langkah itu, Menteri Tenaga, Encik Bahlil Lahadalia, memaklumkan bahawa sebuah reaktor modular kecil dijangka beroperasi di Borneo sekitar 2030 atau 2032.
Pemangku Setiausaha Agung Majlis Tenaga Nasional (DEN), Dr Dadan Kusdiana, berkata: “Pada masa ini, terdapat 29 lokasi berpotensi yang telah dikenal pasti untuk pembinaan loji jana kuasa nuklear.”
Semua lokasi tersebut berada di luar pulau Jawa bagi menyokong pembangunan kawasan tengah dan timur Indonesia serta berhampiran dengan tapak perlombongan yang memerlukan banyak tenaga.
Bagaimanapun, cabaran geologi tidak boleh diabaikan.
Indonesia terletak dalam lingkaran gunung berapi Pasifik yang aktif secara seismos, meningkatkan risiko bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi.
Namun, Penyelidik Kejuruteraan Nuklear dari Universiti Yogyakarta, Encik Andang Widi Harto, menegaskan:
“Kawasan seperti Jawa Utara, Sumatera Timur, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah dianggap sebagai zon risiko rendah gempa dan gunung berapi.”
Pemerintah Indonesia sedar ia mempunyai kepakaran dalam negara yang terhad dalam bidang itu.
“Kami sedang berbincang dengan pelbagai pihak antarabangsa termasuk Rosatom (Perbadanan Tenaga Atom Negeri) dari Russia; CNNC (Perbadanan Nuklear Kebangsaan China) dari China; dan Candu (Canada Deuterium Uranium) dari Canada,” kata Dr Dadan.
Selain itu, syarikat Indonesia yang mempunyai pertalian dengan firma ThorCon dari Amerika Syarikat juga sedang memohon lesen untuk reaktor garam lebur yang akan dibina di limbungan kapal dan ditunda ke kawasan pantai atau lepas pantai.
Reaktor garam lebur merujuk kepada teknologi reaktor generasi baru yang menggunakan garam lebur sebagai bahan pendingin dan medium bagi bahan api.
Dr Dadan turut memaklumkan bahawa delegasi dari DEN telah melawat syarikat utiliti tenaga terbesar di Perancis, EDF SA, bagi meneroka kemungkinan bekerjasama.
Namun, EDF menyatakan: “Tiada perbincangan rasmi sedang dijalankan mengenai nuklear dengan Indonesia,” walaupun Ketua Pegawai Eksekutif EDF, Encik Bernard Fontana, mengiringi Presiden Perancis Emmanuel Macron, dalam lawatannya ke Asia Tenggara pada 28 Mei.
Walaupun wujud sokongan dasar, beberapa penganalisis ragu-ragu tentang kesediaan Indonesia.
“Saya bersama mereka yang ragu bahawa Indonesia mampu menggerakkan tenaga nuklear pada skala signifikan dalam 10 tahun akan datang,” kata Dr Andrews-Speed.
Golongan pencinta alam pula berpendapat tenaga bersih daripada hidroelektrik, solar dan angin harus diutamakan berbanding sumber nuklear.
Pengurus Kempen Tenaga dan Bandar WALHI, Encik Dwi Sawung, berkata: “Kos dan kadar rasuah yang tinggi menjadi halangan besar. Bajet pemerintah dan PLN (Perusahaan Elektrik Negara) tidak mencukupi.”
Namun, pemerintah tetap optimis.
“Pelbagai pelabur antarabangsa dari Russia, Amerika, Denmark, Korea Selatan dan China telah menunjukkan minat mereka,” tegas Dr Dadan.
Ketua Pengarah Elektrik di Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM), Encik Jisman P. Hutajulu, berkata pemerintah sedang mempertimbangkan pembinaan loji tenaga nuklear terapung untuk kawasan terpencil di Timur Indonesia.
Beliau memaklumkan bahawa beberapa dokumen strategik tenaga seperti Dasar Tenaga Nasional (KEN) dan Rencana Umum Penyediaan Tenaga Elektrik (RUPTL) 2025–2034 hampir siap, dengan perancangan penyepaduan tenaga nuklear sebanyak 500 megawatt.
Bagi memperkukuh keselamatan, Agensi Pengawas Tenaga Nuklear (Bapeten) sedang meminda Undang-undang Tenaga Nuklear bagi memasukkan aspek keselamatan, kerjasama antarabangsa dan penguatkuasaan undang-undang. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg