SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Indonesia kecam undang-undang hukuman mati Israel, sifatkan pelanggaran antarabangsa

Indonesia kecam undang-undang hukuman mati Israel, sifatkan pelanggaran antarabangsa

Apr 2, 2026 | 3:16 PM

Indonesia kecam undang-undang hukuman mati Israel, sifatkan pelanggaran antarabangsa

Penunjuk perasaan Palestin berarak di Bandar Gaza  pada 1 April 2026 bagi membantah kelulusan rang undang-undang hukuman mati oleh Parlimen Israel terhadap rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan melakukan serangan maut. Rang undang-undang itu menetapkan hukuman mati sebagai hukuman mandatori bagi rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, jika didapati bersalah melakukan serangan yang diklasifikasikan sebagai “keganasan” oleh mahkamah tentera Israel
Penunjuk perasaan Palestin berarak di Bandar Gaza pada 1 April 2026 bagi membantah kelulusan rang undang-undang hukuman mati oleh Parlimen Israel terhadap rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan melakukan serangan maut. Rang undang-undang itu menetapkan hukuman mati sebagai hukuman mandatori bagi rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, jika didapati bersalah melakukan serangan yang diklasifikasikan sebagai “keganasan” oleh mahkamah tentera Israel - Foto AFP

JAKARTA: Indonesia mengecam kelulusan rang undang-undang hukuman mati oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang hak asasi manusia dan kemanusiaan antarabangsa.

Undang-undang yang diluluskan Parlimen Israel pada 30 Mac itu menetapkan hukuman mati sebagai hukuman mandatori bagi rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah tentera atas serangan maut yang diklasifikasikan sebagai keganasan.

Dalam satu kenyataan di platform X, Kementerian Luar Indonesia menggesa Israel menarik balik undang-undang tersebut dan menegaskan sokongan penuh terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan.

“Indonesia juga menggesa komuniti antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengambil langkah tegas bagi memastikan akauntabiliti dan perlindungan terhadap rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Langkah Israel itu turut mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk PBB dan Kesatuan Eropah (EU) manakala Amerika Syarikat menyatakan sokongan terhadap “hak kedaulatan Israel untuk menentukan undang-undangnya sendiri”.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Encik Volker Türk, menyifatkan undang-undang tersebut sebagai bercanggah dengan kewajipan antarabangsa Israel. “Undang-undang ini jelas tidak selaras dengan kewajipan undang-undang antarabangsa Israel, termasuk hak untuk hidup,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa pelaksanaannya secara diskriminasi boleh dianggap sebagai jenayah perang.

Undang-undang itu dilihat bersifat diskriminasi kerana hanya terpakai kepada rakyat Palestin dan tidak melibatkan warga Israel yang melakukan kesalahan sama.

Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, menyifatkan langkah itu sebagai tidak adil.
“Jenayah yang sama, hukuman berbeza. Itu bukan keadilan, tetapi satu langkah ke arah apartheid,” katanya.

Jurucakap Kesatuan Eropah, Encik Anouar El Anouni, turut menyuarakan kebimbangan. “Ini satu langkah ke belakang, pengenalan hukuman mati bersama sifat diskriminasi undang-undang ini amat membimbangkan,” katanya.

Pemerintah Jerman juga menyatakan kebimbangan terhadap undang-undang tersebut, menegaskan penolakan terhadap hukuman mati sebagai prinsip asas negara itu.

Mengikut undang-undang baharu itu, hukuman mati boleh dijatuhkan tanpa perlu permintaan pendakwa raya atau keputusan sebulat suara, sebaliknya hanya memerlukan majoriti mudah.

Pesalah akan ditempatkan di kemudahan khas tanpa lawatan kecuali oleh pegawai yang dibenarkan, manakala perundingan guaman hanya dilakukan secara dalam talian.

Pelaksanaan hukuman pula dijangka dilakukan dalam tempoh 90 hari selepas keputusan dijatuhkan.

Pengarah kanan Pemantau Hak Asasi bagi Timur Tengah, Encik Adam Coogle, berkata undang-undang itu akan memperkukuh sistem keadilan dua darjat. “Hukuman mati ini bukan soal keselamatan, tetapi mengukuhkan diskriminasi dan sistem keadilan yang tidak seimbang,” katanya.

Penganalisi Cik Shaista Aziz dari Oxfam pula menyifatkan undang-undang itu sebagai tindakan yang membimbangkan. “Ini satu lagi bentuk keganasan. Undang-undang ini memastikan hukuman mati hanya dikenakan ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Di Israel sendiri, undang-undang itu berdepan cabaran apabila beberapa kumpulan hak asasi dan ahli Parlimen memfailkan petisyen di Mahkamah Agung untuk membatalkannya.

Persatuan Hak Sivil Israel menyatakan undang-undang tersebut mewujudkan “dua sistem berasingan” yang menyasarkan rakyat Palestin.

Langkah Israel ini berlaku di tengah ketegangan berterusan di Asia Barat, sekali gus menambah tekanan antarabangsa terhadap dasar keselamatan dan pendekatan undang-undang negara itu terhadap konflik Palestin. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg