JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia, dengan kerjasama Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Badan Amil Zakat Nasional (Baznas), telah melancarkan kempen kutipan dana bagi mengumpul AS$200 juta ($267 juta) bagi bantuan kemanusiaan kepada Palestin.
“Kami berharap program kutipan dana ini dapat mencapai sasaran AS$200 juta untuk disalurkan kepada rakyat Palestin,” kata Timbalan Menteri Luar Negeri, Encik Anis Matta, semasa majlis pelancaran kempen di Jakarta pada 26 Februari.
Beliau melahirkan keyakinannya bahawa sasaran itu boleh dicapai berdasarkan jumlah yang berjaya dikumpulkan oleh pertubuhan bukan pemerintah (NGO) sebelum ini.
Menurutnya, beberapa NGO telah berjaya mengumpulkan jumlah yang hampir sama, menunjukkan potensi besar inisiatif tersebut.
Kementerian tidak menetapkan tempoh khusus atau sasaran muktamad bagi kempen itu, namun ia akan dimulakan pada Ramadan.
Dana yang diperolehi akan disalurkan kepada dua program utama iaitu bantuan kecemasan semasa tempoh gencatan senjata dan program pemulihan semula Gaza selepas konflik.
Encik Anis menegaskan kempen itu merupakan hasil rundingan selama tiga bulan antara pelbagai institusi zakat dengan badan kemanusiaan bagi membentuk gerakan perpaduan yang lebih tersusun dalam menyalurkan bantuan kepada Palestin.
“Tiga perkara utama yang kami tekankan ialah program strategik, kesan yang mendalam kepada rakyat Palestin, serta simbolik sokongan Indonesia sebagai negara Muslim terbesar di dunia,” tambahnya.
Ketua Hubungan Luar dan Kerjasama Antarabangsa MUI, Encik Sudarnoto Abdul Hakim, turut menekankan kepentingan pengagihan bantuan kemanusiaan dan pemulihan di Gaza.
Menurutnya, masyarakat antarabangsa perlu bersama-sama memastikan rakyat Palestin mendapat bantuan yang diperlukan.
“Bantuan kemanusiaan dan pemulihan Gaza adalah antara keutamaan yang memerlukan kerjasama serta sokongan daripada masyarakat antarabangsa,” ujar Encik Sudarnoto.
Ketua Bahagian Perancangan, Kajian, dan Pembangunan Baznas, Encik Zainul Bahar, turut menyuarakan keyakinannya terhadap kejayaan kutipan dana itu.
“Baznas telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 320 bilion rupiah ($26.1 juta) untuk Palestin, dan 200 bilion rupiah telah diperuntukkan bagi pendidikan, pembinaan hospital, dan penyediaan perumahan di Gaza,” katanya.
Menurutnya, dengan pelancaran kempen baru itu, Baznas bersama rakan kerjasama lain berharap untuk mencapai sasaran AS$200 juta bagi mempercepat bantuan kepada rakyat Palestin yang sedang menghadapi krisis kemanusiaan yang parah.
Pada majlis tersebut, Encik Anis turut menegaskan bahawa Presiden Prabowo Subianto berpegang teguh pada komitmen untuk terus menyokong kemerdekaan Palestin.
“Sokongan Presiden Prabowo terhadap Palestin adalah komitmen peribadinya, bukan sekadar kerana kedudukannya sebagai pemimpin Indonesia. Palestin dekat di hatinya,” katanya dalam ucapan.
Beliau turut menegaskan bahawa pemerintah Encik Prabowo tidak akan berganjak daripada pendirian teguh menyokong Palestin, selaras dengan dasar luar negara dan semangat antipenjajahan yang termaktub dalam Perlembagaan Indonesia.
“Indonesia telah memainkan peranan aktif dalam menyokong perjuangan Palestin di pelbagai forum antarabangsa, termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Menurutnya, meskipun Indonesia bukan kuasa utama dalam perjuangan kemerdekaan Palestin, negara ini tetap menjadi antara pendukung utama melalui kerjasama diplomatik dan bantuan kemanusiaan yang berterusan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Asia Pasifik dan Afrika di Kementerian Luar, Encik Abdul Kadir Jailani, menekankan kepentingan penyelarasan antara pemerintah, NGO, serta institusi amal dalam memastikan bantuan sampai kepada rakyat Palestin secara berkesan.
“Kerjasama ini sangat penting sebagai usaha bersepadu antara kerajaan dengan semua elemen masyarakat di Indonesia.
“Ini mengukuhkan lagi kedudukan Indonesia sebagai salah satu negara yang secara konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa krisis kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap yang amat membimbangkan.
“Kita memahami keprihatinan serta keinginan rakyat Indonesia untuk mengambil tindakan konkrit dalam membantu rakyat Palestin yang sedang menderita,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg