Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia lancar program makanan berkhasiat percuma

Jan 6, 2025 | 10:28 AM
Para petugas memuatkan kotak makanan ke dalam lori untuk diedarkan secara percuma kepada kanak-kanak dan ibu hamil di sebuah dapur di Jakarta, Indonesia, pada 6 Januari.
Para petugas memuatkan kotak makanan ke dalam lori untuk diedarkan secara percuma kepada kanak-kanak dan ibu hamil di sebuah dapur di Jakarta, Indonesia, pada 6 Januari. - Foto REUTERS

JAKARTA: Perhatian seluruh negara tertumpu kepada pentadbiran Presiden Prabowo Subianto dengan pelancaran program bersejarah,Makanan Berkhasiat Percuma’ (MBP) pada 6 Januari.

Program itu bertujuan menangani masalah kekurangan zat makanan dan akan memberi tumpuan kepada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah serta ibu hamil, bermula dengan fasa pertama di kawasan padat penduduk di Pulau Jawa.

Ketua Badan Pemakanan Nasional (BGN), Encik Dadan Hindayana, menjelaskan bahawa kos bagi setiap hidangan MBP tidak ditetapkan pada harga 10,000 rupiah ($0.85) seperti yang ditetapkan sebelum ini.

“Harga setiap hidangan berbeza mengikut kawasan,” katanya kepada wartawan pada 5 Januari.

Program yang diperuntukkan bajet sebanyak 71 trilion rupiah dari Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) itu dijangka memberi manfaat kepada 82.9 juta penerima menjelang 2029.

Bagi fasa pertama, sebanyak 3 juta hidangan akan diagihkan sehingga Mac 2025 sebelum meningkat kepada 6 juta mulai April.

Pelancaran program itu bukan sahaja mendapat sokongan, bahkan juga perhatian utama daripada masyarakat dan pakar.

Menurut tinjauan Indikator Politik Indonesia pada Oktober 2024, sebanyak 77 peratus rakyat menyokong program itu, dengan 61 peratus percaya ia akan membantu menangani masalah kekurangan zat makanan.

Namun begitu, pengasas Indikator Politik Indonesia, Profesor Burhanuddin Muhtadi, mengingatkan bahawa keyakinan masyarakat boleh menurun jika pelaksanaan program itu gagal mencapai matlamatnya.

“Jika program ini tidak berjaya memenuhi keperluan pemakanan yang diperlukan, keyakinan terhadap Presiden Prabowo akan terjejas,” katanya.

Semasa percubaan awal di Jakarta dan beberapa kawasan lain, program itu menghadapi isu seperti dakwaan pungutan haram dan menu yang tidak tekal.

Menurut Pengarah Eksekutif, Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (Indef),  Dr Tauhid Ahmad, pelaksanaan program itu memerlukan arahan teknikal yang jelas, proses perolehan yang telus dan koordinasi kukuh antara BGN dengan pentadbiran tempatan.

“Saya ragu-ragu bagaimana bajet 10,000 rupiah setiap hidangan dapat memenuhi keperluan zat makanan,” tambahnya.

Sebaliknya, pakar pemakanan dari Universiti Gadjah Mada (UGM), Dr Toto Sudargo, yakin program itu sudah bersedia dilaksanakan.

“Selepas menilai menu dalam ujian awal di Nusa Tenggara Timur, saya percaya program ini mampu memberikan hasil yang positif,” katanya.

Program itu juga melibatkan peranan besar koperasi dan perniagaan milik desa (BUMDes).

Menteri Koperasi, Encik Budi Arie Setiadi, memaklumkan bahawa sebanyak 1,923 koperasi bersedia untuk menyokong rancangan ini dengan membekalkan hasil tani tempatan.

“Kerjasama antara koperasi dengan dapur MBP akan memastikan rantaian bekalan yang lancar,” ujar Encik Budi.

Sebanyak 190 dapur telah disediakan di 26 daripada 38 wilayah di seluruh Indonesia untuk pelaksanaan program ini dengan Jawa Barat mempunyai jumlah dapur terbanyak iaitu 58, diikuti Jawa Tengah (40) dan Jawa Timur (32).

Program MBP merupakan salah satu janji utama kempen Encik Prabowo dan dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk sumber daya manusia Indonesia.

“Kami berharap pelancaran pada Isnin (6 Januari) berjalan lancar,” kata Encik Dadan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg