Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia meterai perjanjian 33 trilion rupiah modenkan pertahanan

Jun 12, 2025 | 12:35 PM
Ekspo dan Forum Indo Defence 2025 di Jakarta menarik penyertaan 1,180 syarikat yang terlibat dalam pertahanan daripada 55 negara.
Ekspo dan Forum Indo Defence 2025 di Jakarta menarik penyertaan 1,180 syarikat yang terlibat dalam pertahanan daripada 55 negara. - Foto: EPA-EFE

JAKARTA: Kementerian Pertahanan Indonesia menandatangani 27 perjanjian kerjasama bernilai Rp 33 trilion (S$2.56 bilion) pada 11 Jun bagi memperoleh peralatan pertahanan dan menaik taraf hospital tentera, dalam langkah memodenkan angkatan tentera negara itu.

Perjanjian itu ditandatangani semasa Ekspo dan Forum Pertahanan Indo 2025 di Jakarta dan disaksikan secara langsung oleh Presiden Prabowo Subianto.

Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai demonstrasi konkrit komitmen pemerintah untuk membina sistem pertahanan negara yang berdaya tahan dan moden.

Perjanjian itu bakal menyaksikan projek-projek termasuk pengubahsuaian 20 hospital tentera yang dikendalikan oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI), serta pemerolehan dan pembangunan barangan dan perkhidmatan berkaitan pertahanan melalui kedua-dua syarikat pertahanan negara dan swasta.

Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah firma pertahanan utama milik pemerintah seperti PAL Indonesia, Dirgantara Indonesia, Pindad, LEN Industri, dan Dahana, bersama-sama rakan kongsi sektor swasta termasuk Republik Defens Indonesia, Tesco Indomaritim, Aggiomultimex International Grup, dan Ellips Projects UK.

Dalam perjanjian berasingan, Indonesia turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Turkey bagi perolehan jet pejuang generasi kelima.

MOU itu ditandatangani oleh Menteri Pertahanan Indonesia Encik Sjafrie Sjamsoeddin dan Setiausaha Industri Pertahanan Turkey Encik Haluk Görgün.

“Pertahanan adalah salah satu asas kemerdekaan dan kemakmuran negara,” kata Presiden Prabowo semasa berucap merasmikan majlis itu.

“Sejarah telah mengajar kita semua bahawa negara yang tidak mahu melabur dalam sistem pertahanannya akan menghadapi kemerdekaannya dicuri. Ia akan tunduk kepada kehendak orang lain dan menyaksikan kekayaannya dicuri.

“Nenek moyang kita telah mengajar kita bahawa lebih baik mati daripada dijajah lagi,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, Indonesia berusaha untuk menjadi jiran yang baik - dekat, pertengahan, dan jauh - dan walaupun peperangan sentiasa menjadi pilihan terakhir, negaranya tidak akan berundur jika perlu.

Presiden Prabowo yang berucap di hadapan para wakil daripada 55 negara yang menghadiri pembukaan ekspo itu, menyeru kerjasama yang lebih mendalam untuk menggalakkan keamanan global dan kemakmuran bersama. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg