Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Indonesia perkukuh hubungan pertahanan

Zaqy ketuai delegasi hadiri acara Ekspo dan Forum Pertahanan Indo 2025 ke-10, temu menteri dari Indonesia, Timor-Leste
Jun 11, 2025 | 7:39 PM
Singapura, Indonesia, pertahanan, defence, Zaqy Mohamad, Donny Ermawan Taufanto
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (kiri), mengesahkan hubungan pertahanan yang erat dan lama terjalin antara Singapura dengan Indonesia apabila bertemu dengan Naib Menteri Pertahanan Marshal Udara (Bersara) Indonesia, Encik Donny Ermawan Taufanto, pada 11 Jun. - Foto MINDEF

Singapura dan Indonesia mengesahkan hubungan pertahanan yang erat dan lama terjalin antara kededua negara apabila Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, mengadakan pertemuan dengan Naib Menteri Pertahanan Marshal Udara (Bersara) Indonesia, Encik Donny Ermawan Taufanto.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 11 Jun, Encik Zaqy mengetuai delegasi Singapura bagi menghadiri acara Ekspo dan Forum Pertahanan Indo 2025 ke-10.

Acara yang menghimpunkan pegawai pemerintah, pengilang pertahanan dan pakar industri bagi mempamerkan teknologi pertahanan dan mempromosikan kerjasama antarabangsa itu telah dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, pada 11 Jun.

“Pemimpin dari kedua-dua negara mengesahkan hubungan pertahanan yang erat dan lama terjalin antara Singapura dengan Indonesia, di samping membincangkan cara meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala.

“Lawatan itu juga memberi peluang berharga kepada Encik Zaqy untuk berinteraksi dengan rakan pertahanan dua hala yang lain,” kata Mindef.

Menurut Mindef, lawatan Encik Zaqy ke Indonesia menggariskan kekuatan hubungan pertahanan antara Singapura dengan Indonesia.

“Kededua pertubuhan pertahanan berinteraksi secara kerap melalui latihan, lawatan, pertukaran profesional dan menghadiri kursus antara negara.

“Interaksi ini meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara kededua angkatan tentera.

“Singapura dan Indonesia juga bekerjasama rapat untuk memajukan kerjasama keselamatan dalam forum pelbagai hala seperti Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus,” kata Mindef.

Semasa lawatan tersebut, Encik Zaqy turut berpeluang berinteraksi dengan rakan pertahanan dua hala yang lain.

Antara lain, di luar acara Ekspo dan Forum Pertahanan Indo 2025 ke-10 itu, Encik Zaqy bertemu dengan Menteri Pertahanan Timor-Leste, Encik Donaciano do Rosário da Costa Gomes.

Kededua pihak mengesahkan semula hubungan dua hala yang mesra antara Singapura dengan Timor-Leste, serta saling bertukar pandangan bagi mempererat hubungan pertahanan dua hala.

Encik Zaqy turut membincangkan perkembangan geopolitik dunia semasa, serta cara memperdalam kerjasama pertahanan di rantau ini bersama Timbalan Menteri Pertahanan Turkey, Encik Suay Alpay.

Selain pertemuan tersebut, Encik Zaqy berpeluang bertemu rakan sejawat pertahanan yang lain, termasuk Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Brunei, Pehin Halbi Yussof, dan Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Encik Adly Zahari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg