SPH Logo mobile
Langgan|

Indonesia meterai perjanjian keselamatan dengan Australia

Indonesia meterai perjanjian keselamatan dengan Australia

Feb 6, 2026 | 2:40 PM

Indonesia meterai perjanjian keselamatan dengan Australia

indonesia, australia, perjanjian
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto (kanan), dan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berjabat tangan selepas menandatangani dokumen perjanjian kerjasama di Istana Merdeka, Jakarta, pada 6 Februari. - Foto AFP

Australia dan Indonesia pada 6 Februari menandatangani satu perjanjian keselamatan baru yang mewajibkan kedua-dua negara untuk berunding antara satu sama lain sekiranya salah satu pihak berdepan ancaman keselamatan.

Perjanjian itu dilihat sebagai langkah penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala, di samping mencerminkan usaha Canberra memperluas pengaruhnya di rantau ini ketika persaingan geopolitik, khususnya dengan China, semakin ketara.

Perjanjian tersebut dimeterai dalam satu majlis di Jakarta, dihadiri Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese.

Encik Albanese sebelum lawatannya ke Jakarta menyifatkan perjanjian itu sebagai satu “detik bersejarah” dalam hubungan kedua-dua negara.

“Perjanjian ini memberi isyarat bahawa hubungan antara Australia dengan Indonesia kini lebih kukuh berbanding sebelum ini,” kata Encik Albanese selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut.

“Perjanjian ini merupakan peluasan penting kepada kerjasama keselamatan dan pertahanan sedia ada, serta mencerminkan kekuatan perkongsian kami dan tahap kepercayaan serta kerjasama yang mendalam antara kedua-dua negara.”

Encik Prabowo pula berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen Indonesia terhadap hubungan kejiranan yang baik serta dasar luar negara itu yang bersifat bebas dan aktif.

“Bagi Indonesia, perjanjian ini mencerminkan komitmen penuh kami terhadap prinsip kejiranan yang baik dan dasar luar bebas dan aktif,” kata Encik Prabowo.

“Indonesia dan Australia ditakdirkan untuk hidup bersebelahan dan kami memilih untuk membina hubungan ini berasaskan kepercayaan serta niat yang baik,” ujar beliau.

Indonesia sejak sekian lama mengekalkan dasar luar tidak berpihak, dengan berikrar untuk menjalin persahabatan dengan semua negara, tanpa menyertai mana-mana pakatan ketenteraan rasmi.

Dalam konteks itu, perjanjian keselamatan dengan Australia dilihat sebagai satu bentuk kerjasama strategik, bukan perubahan kepada pendirian berkecuali Jakarta.

Butiran penuh perjanjian yang ditandatangani pada 6 Februari itu masih belum didedahkan kepada umum.

Namun, ia pertama kali diumumkan pada November 2025, ketika Encik Prabowo melakukan lawatan rasmi ke Australia.

Menteri Luar Australia, Cik Penny Wong, sebelum ini berkata perjanjian tersebut dimodelkan berdasarkan perjanjian keselamatan 1995 antara kedua-dua negara.

Perjanjian 1995 itu bagaimanapun ditarik balik pada 1999, selepas Australia mengetuai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Timor Timur, yang ketika itu dilanda keganasan, susulan undian kemerdekaan daripada Indonesia.

Hubungan kedua-dua negara kemudian melalui tempoh ketegangan, sebelum kembali pulih secara beransur-ansur.

Perjanjian baru itu juga membina asas daripada Perjanjian Lombok 2006, yang menjadi rangka utama kerjasama keselamatan dan pertahanan Indonesia-Australia.

Encik Albanese berkata rundingan perjanjian terkini itu selesai pada 2025, sebelum dimuktamadkan pada 2026.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2022, kerajaan Australia telah menandatangani beberapa perjanjian pertahanan, keselamatan polis dan bantuan pembangunan dengan negara-negara di Pasifik.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kedudukan Australia di rantau tersebut dan pada masa yang sama mengehadkan pengaruh China.

Usaha itu semakin dipertingkat di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, apabila Washington menggesa sekutunya memikul peranan lebih besar dalam mengekang kebangkitan kuasa ketenteraan Beijing.

Pada akhir 2025, Australia memeterai satu perjanjian keselamatan dengan Papua New Guinea, yang terletak di utara Australia dan timur Indonesia.

Encik Albanese turut melawat Timor-Leste pada Januari lalu, menandatangani perjanjian baru bagi menyediakan bantuan dan sokongan dalam pelbagai bidang.

Pengarah Program Keselamatan di Institut Lowy, sebuah badan pemikir dasar antarabangsa bebas yang berpangkalan di Sydney, Encik Sam Roggeveen, berkata kerajaan Australia boleh berpuas hati dengan siri perjanjian yang ditandatangani di rantau Pasifik.

“Kerajaan boleh berasa puas dengan perjanjian yang ditandatangani di seluruh Pasifik,” katanya.

“Indonesia berada dalam kategori yang berbeza kerana saiznya dan juga komitmen sejarahnya terhadap dasar tidak berpihak.”

Menurut Encik Roggeveen, perjanjian itu turut mengambil kira hakikat bahawa Indonesia berpotensi muncul sebagai kuasa serantau utama apabila ekonomi dan penduduknya terus berkembang, malah dijangka mengatasi Australia dari segi saiz ekonomi.

“Canberra sedang menghantar isyarat bahawa Indonesia sama pentingnya kepada keselamatan Australia seperti Amerika,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa kepentingan Indonesia dan cita-cita China di Asia Tenggara berkemungkinan akan semakin bertembung pada masa hadapan, khususnya apabila kuasa maritim China terus berkembang.

“Ketika kuasa maritim China dan cita-citanya di Asia Tenggara semakin meningkat, Indonesia akan semakin berdepan pilihan sama ada untuk menyesuaikan diri dengan China atau menentang cita-cita tersebut,” kata Roggeveen.

“Perjanjian dengan Australia ini membantu Indonesia memperkukuh keupayaan pertahanannya.”

Dalam landskap geopolitik yang semakin kompleks, perjanjian keselamatan Australia–Indonesia itu dilihat bukan sekadar simbol hubungan dua hala yang semakin erat, bahkan juga satu langkah strategik yang mencerminkan perubahan imbangan kuasa dan kepentingan keselamatan di rantau Asia Pasifik.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg