Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hubungan Jakarta-Canberra masuk fasa baru lebih tersusun, formal, dan strategik

Perjanjian terkini libat isu keselamatan, kerangka awal kededua perlu saling memaklum sebarang perkembangan strategik di wilayah masing-masing
Nov 24, 2025 | 5:30 AM
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese (kanan), dan Presiden  Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengumumkan satu perjanjian keselamatan di atas kapal HMAS Canberra di Fleet Base East, Sydney, Australia, 12 November 2025.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese (kanan), dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengumumkan satu perjanjian keselamatan di atas kapal HMAS Canberra di Fleet Base East, Sydney, Australia, 12 November 2025. - Foto EPA

JAKARTA: Kenyataan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, yang menyifatkan perjanjian keselamatan dua hala baru dengan Indonesia pada 12 November sebagai sebuah “perjanjian bersejarah” menandakan satu perubahan penting dalam landskap keselamatan Asia Pasifik.

Hubungan antara kedua-dua negara yang selama ini ‘berayun’ antara kepercayaan, kerjasama dengan detik penuh cabaran kini memasuki fasa baru yang lebih tersusun, lebih formal, dan lebih strategik.

“Hubungan Australia dengan Indonesia berpaksikan persahabatan, kepercayaan, rasa hormat serta iltizam bersama terhadap keamanan dan kestabilan.

“Perjanjian ini mengiktiraf bahawa keamanan hanya dapat dicapai jika kita bergerak bersama,” kata Encik Albanese, menekankan asas perjanjian tersebut.

Dalam menilai perjanjian keselamatan baru itu, beberapa dimensi utama perlu diberi perhatian.

Ia termasuk konteks sejarah yang membentuk hubungan Australia–Indonesia, kepentingan geopolitik yang mendorong langkah itu, serta implikasi strategiknya terhadap keseimbangan kuasa di rantau Asia Pasifik.

Perjanjian itu turut meneliti kerangka kerjasama yang bersesuaian dengan dasar bebas dan aktif Indonesia serta realiti baru dalam persaingan kuasa sejagat.

Hubungan Dua Hala yang Bersejarah

Australia dan Indonesia memiliki sejarah panjang kerjasama sejak penghujung Perang Dunia Kedua.

Ketika Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan, Australia antara negara awal yang menunjukkan perpaduan termasuk tindakan pekerja dermaga Australia ketika itu yang memboikot kapal Belanda bagi menyekat usaha penjajahan semula.

Namun hubungan itu tidak sentiasa stabil.

Profesor Greg Barton dari Institut Alfred Deakin, menghuraikannya dengan berkata:

“Hubungan ini sering melalui gelombang kepercayaan dan kecurigaan daripada kedua-dua pihak, dipengaruhi oleh dinamik politik domestik dan geopolitik sejagat.”

Ketika era Perang Dingin, ketegangan meningkat.

Pada 1963, Perdana Menteri Australia ketika itu, Encik Robert Menzies, menggunakan retorik ancaman Indonesia untuk mengabsahkan pembelian pesawat pengebom F-111.

Walaupun pesawat itu tidak pernah digunakan dalam konflik, ia mencerminkan kebimbangan mendalam Australia terhadap Indonesia di bawah Presiden Indonesia ketika itu, Encik Sukarno.

Keadaan semakin mendebarkan ketika Indonesia memasuki tempoh “tahun yang sarat dengan bahaya”, digoncang ketidakstabilan politik, perpecahan antara tentera dengan komunis, serta campur tangan kuasa asing.

Mantan Presiden Sukarno akhirnya digantikan oleh mantan Presiden Suharto, tetapi dasar luar Indonesia kekal tekal dengan prinsip bebas dan aktif tidak menyebelahi blok Barat atau Soviet.

Prinsip itu dihuraikan dengan paling jelas oleh mantan Perdana Menteri, Encik Mohammad Hatta, yang menyifatkan Indonesia sebagai sebuah negara yang “belayar di antara dua batu karang”.

Ia merupakan metafora yang merujuk kepada usaha republik muda itu mengekalkan keseimbangan antara blok kuasa besar tanpa terperangkap dalam mana-mana pakatan.

Melalui Persidangan Asia-Afrika 1955, Indonesia muncul sebagai suara utama Dunia Selatan, menggalas peranan besar dalam Gerakan Negara-negara Berkecuali.

Maka tidak mengejutkan apabila perkataan “perikatan” masih dianggap sensitif dalam politik Indonesia.

Perjanjian Kepercayaan: Daripada Keating – Suharto ke Albanese – Prabowo

Perjanjian keselamatan baru itu tidak terhasil secara tiba-tiba atau terasing daripada konteksnya.

Ia meniru kerangka perjanjian 1995 antara mantan Perdana Menteri, Encik Paul Keating, dengan Encik Suharto, yang ketika itu dianggap langkah besar dalam membina kepercayaan.

Perjanjian bersejarah itu gugur selepas krisis Timor Timur 1999, tetapi asas kerjasama keselamatan tidak pernah hilang sepenuhnya.

Malah, ia meningkat selepas tragedi Bom Bali 2002, apabila Polis Persekutuan Australia bekerjasama rapat dengan polis Indonesia untuk menumpaskan Jemaah Islamiyah (JI).

Kerjasama tersebut melahirkan Detasemen 88, salah satu unit antipengganasan paling berkesan di rantau ini.

Seperti yang dijelaskan Profesor Barton: “Dua dekad kerjasama dalam menangani pengganasan memberikan nilai tambah tidak ternilai. Ia membina kepercayaan yang tidak dapat dibina oleh diplomasi sahaja.”

Perjanjian keselamatan baharu itu dilihat sebagai kesinambungan logik kepada hubungan dua hala yang kian matang, berkembang daripada sejarah panjang kepercayaan, kerjasama keselamatan, dan pengurusan krisis bersama.

Ia menandakan usaha kedua-dua negara untuk menaik taraf kerangka hubungan mereka agar lebih tersusun dan lebih berupaya bertindak balas terhadap cabaran geopolitik semasa.

Beberapa faktor geopolitik utama menerangkan mengapa Australia dan Indonesia memilih untuk memeterai perjanjian itu pada ketika ini.

Ketidaktentuan Peranan Amerika Syarikat

Di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, banyak negara telah hilang keyakinan terhadap ketekalan dan kebolehramalan kepimpinan Amerika yang sebelum ini menjadi tiang kestabilan sejagat selama lebih lapan dekad.

Walaupun Australia kekal sebagai anggota penting pakatan keselamatan Anzus (Australia, New Zealand dan Amerika), Canberra mula menyedari keperluan untuk mencari “keselamatan dalam Asia”, dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada “keselamatan daripada Asia”.

Kebangkitan China dan Kebimbangan Serantau

China merupakan rakan dagang terbesar bagi kedua-dua negara.

Namun, pada masa yang sama menjadi sumber kebimbangan strategik.

Pertumbuhan ketenteraan Beijing, pengaruh ekonominya yang kian meluas, serta tindakan tegasnya di Laut China Selatan menimbulkan keperluan segera untuk mekanisme kerjasama keselamatan yang lebih kukuh dalam kalangan negara serantau.

Ketua Pertubuhan Risikan dan Keselamatan Australia (Asio), Encik Mike Burgess, sebelum ini memberi amaran mengenai usaha China memperluas kehadiran dalam rangkaian strategik Australia.

Di Indonesia, Presiden Prabowo Subianto, mengekalkan dasar terbuka kepada semua kuasa besar.

Beliau bergambar dengan Encik Trump satu hari; menghadiri acara ketenteraan China bersama Presiden negara itu, Encik Xi Jinping; Presiden Russia, Encik Vladimir Putin; dan Pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un pada hari lain.

Menurut seorang penasihat Australia kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC): “Ini bukan mengenai memilih Amerika atau China. Ini mengenai memastikan keselamatan di Asia.”

Walaupun Indonesia membina hubungan pertahanan dengan China, ia juga sedar perlunya imbangan serantau.

Sebahagian penganalisis berpandangan kerjasama dengan Australia dapat menjadi “imbangan dan kawal selia” terhadap Beijing.

Pengasas Bersama Institut Strategik dan Pengajian Pembangunan (ISDS), Cik Edna Caroline, berkata:

“Kebangkitan China dan perubahan dasar Amerika memaksa negara Asia Pasifik mencari rakan yang boleh dipercayai.

“Indonesia dan Australia berada dalam situasi yang sama hidup dalam rantau yang tidak stabil memerlukan kerjasama keselamatan yang lebih erat.”

Walaupun teks penuh perjanjian keselamatan Australia-Indonesia masih belum didedahkan kepada umum, laporan ABC menjelaskan bahawa kerangka awal yang dipersetujui kedua-dua pemimpin menunjukkan iltizam lebih tersusun dalam menangani isu keselamatan serantau.

Menurut sumber ABC, kerangka itu membawa maksud Indonesia dan Australia perlu saling memaklumkan sebarang perkembangan strategik di wilayah masing-masing.

Sebagai contoh, jika Russia cuba membangunkan pangkalan tentera di Papua, Indonesia berkewajipan berunding dengan Australia terlebih dahulu.

Ini menunjukkan tahap keterbukaan maklumat yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam hubungan dua hala.

Penganalisis menegaskan bahawa walaupun perjanjian itu membawa ciri baharu, ia masih memberikan fleksibiliti yang luas kepada kedua-dua negara.

Indonesia kekal dengan dasar bebas dan aktif tanpa terikat kepada mana-mana blok kuasa besar, manakala Australia terus mengekalkan iltizam jangka panjangnya dalam Anzus.

Namun pandangan lain berpendapat pendekatan Encik Prabowo sebenarnya melambangkan strategi yang fleksibel dan pragmatik.

Dalam dunia tidak menentu, memiliki hubungan baik dengan sebilangan besar aktor sejagat dianggap sebagai aset strategik.

Encik Prabowo sendiri kerap mengulangi peribahasa Cina: “Seribu kawan terlalu sedikit, seorang musuh terlalu ramai.”

Ungkapan itu bukan sekadar retorik. Ia mencerminkan kesinambungan dasar luar Indonesia sejak era kemerdekaan menjaga jarak daripada pakatan ketenteraan tetapi berhubung rapat dengan pelbagai kuasa bagi melindungi kepentingannya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg