Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia nafi bekal senjata ke junta Myanmar

Oct 5, 2023 | 1:16 PM
TEPIS DAKWAAN: Pindad, syarikat pengeluar peluru, senjata api dan peralatan tentera Indonesia, menafikan dakwaan ia membekalkan senjata kepada junta Myanmar.
TEPIS DAKWAAN: Pindad, syarikat pengeluar peluru, senjata api dan peralatan tentera Indonesia, menafikan dakwaan ia membekalkan senjata kepada junta Myanmar. - Foto FACEBOOK PINDAD

JAKARTA: Syarikat pertahanan induk milik pemerintah Indonesia ID Defend pada Rabu menafikan dakwaan ia pernah membekalkan senjata kepada junta Myanmar selepas rampasan kuasa berlaku di negara tersebut.

Pengeluar senjata Pindad, pembuat pesawat Dirgantara Indonesia dan pembuat kapal PAL – yang kesemuanya merupakan sebahagian daripada ID Defend – baru-baru ini menjadi tajuk utama berita selepas para aktivis menuduh mereka menjual senjata kepada junta Myanmar.

Dalam satu kenyataan akhbar, Defend ID berkata bahawa ia menghormati Resolusi 75/287 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menyeru semua negara anggota supaya menghalang pengaliran senjata ke Myanmar.

Syarikat induk itu berkata bahawa eksport terakhir Pindad ke Myanmar adalah pada 2016 – beberapa tahun sebelum rampasan kuasa.

Eksport senjata itu bertujuan untuk melengkapkan Myanmar untuk pertandingan menembak tahunan antara anggota Asean.

“Pindad tidak mengeksport peralatan pertahanan dan keselamatan ke Myanmar, terutamanya sejak seruan dibuat Majlis Keselamatan PBB pada Februari 2021,” kata kenyataan akhbar syarikat tersebut.

“Pindad pada 2016 mengeksport peluru khusus spesifikasi sukan. Myanmar pada masa itu menyertai Pertandingan Senapang Tentera Asean,” tambah kenyataan itu.

Defend ID juga berkata bahawa Dirgantara Indonesia dan PAL tidak mempunyai sebarang perjanjian senjata dengan Myanmar.

Agensi berita Reuters baru-baru ini melaporkan bahawa aktivis telah memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia, mendakwa Pindad, Dirgantara Indonesia dan PAL telah menjual peralatan kepada Myanmar sejak rampasan kuasa.

Urus niaga itu didakwa berlaku melalui syarikat Myanmar bernama True North, yang mereka katakan dimiliki oleh “anak seorang menteri dalam pemerintah tentera”.

Aktivis yang dimaksudkan ialah Hak Asasi Manusia Myanmar Chin dan Projek Akauntabiliti Myanmar  serta bekas peguam bela dan peguam bela hak asasi Indonesia, Encik Marzuki Darusman.

Indonesia – bersama-sama dengan negara anggota Asean yang lain – telah mendesak untuk mencapai resolusi aman di Myanmar yang dilanda rampasan kuasa.

Pada Sidang Kemuncak Asean di Jakarta baru-baru ini, blok Asia Tenggara bersetuju untuk berpegang kepada apa yang dipanggil “konsensus lima mata” sebagai rujukan utamanya dalam menangani krisis Myanmar.

Pelan damai itu memerlukan pemberhentian segera keganasan dan dialog yang membina dalam kalangan semua pihak yang terlibat. Sebagai pengerusi Asean, Indonesia berkata ia telah melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk junta tentera Myanmar yang merampas kuasa pada Februari 2021. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg