JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia kini memantau dengan teliti peningkatan kes Covid-19 di beberapa bahagian Asia, termasuk Singapura, Thailand dan Hong Kong, sambil memastikan keadaan domestik kekal terkawal.
Lonjakan penyakit itu berlaku di tengah-tengah peningkatan pergerakan awam, dengan ramai rakyat Indonesia melancong ke luar negara untuk acara antarabangsa, termasuk jelajah konsert Lady Gaga, yang bermula pada 18 Mei.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Encik Aji Muhawarman, berkata data sehingga minggu ke-19 2025 menunjukkan penularan Covid-19 di Indonesia masih dalam had selamat.
“Walaupun trend global, keadaan di dalam negara adalah stabil. Kami meningkatkan pemantauan penyakit melalui pengawasan dan saringan di pintu masuk,” katanya dalam satu kenyataan.
Encik Aji menarik perhatian bahawa Singapura telah menyaksikan peningkatan kes, dikaitkan dengan corak bermusim, dengan subvarian JN.1 yang dominan tidak dikaitkan dengan penyakit yang lebih teruk.
Walaupun Indonesia tidak melaksanakan kawalan sempadan yang lebih ketat, pengawasan pintu masuk antarabangsa telah diperkukuh menggunakan sistem Pas Kesihatan Satu Sihat (SSHP).
Meskipun tiada larangan perjalanan dilaksanakan, namun pihak kementerian menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terutamanya apabila melawat negara yang mengalami peningkatan jangkitan.
Kementerian antara lain menggalakkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan, menggunakan pelitup apabila mempunyai gejala penyakitdan mendapatkan rawatan jika mengalami masalah pernafasan.
Suntikan penggalak Covid-19 masih disyorkan untuk kumpulan berisiko tinggi, termasuk warga emas dan mereka yang mempunyai masalah asas.
“Tiada sebab untuk panik, tetapi kewaspadaan adalah penting untuk memastikan Indonesia selamat,” tambah Encik Aji.
Media Thailand sebelum ini melaporkan peningkatan mendadak dengan sejumlah 71,067 jangkitan dan 19 kematian dilaporkan antara 1 Januari hingga 14 Mei 2025, menurut Pusat Maklumat Covid-19 negara itu.
Jumlah kes dilapor terus meningkat, dengan dua kluster besar dikenal pasti.
Peningkatan itu susulan cuti perayaan Songkran (minggu ke-16) yang menyaksikan peningkatan kes secara berperingkat, lapor portal berita VietnamPlus.
Data daripada Jabatan Sains Perubatan menunjukkan kewujudan varian Omicron XEC yang semakin meningkat di Thailand sepanjang Januari dan Februari.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya terus berwaspada, memantau simptom, kerap mencuci tangan serta memakai pelitup muka di kawasan sesak.
Varian XEC adalah strain baru Omicron yang kali pertama dikesan di Jerman pada Jun 2024.
Ia gabungan dua subvarian iaitu KS.1.1 (FLiRT) dan KP.3.3 (FLuQE). – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg