Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia perbaiki sistem amaran tsunami

Termasuk sistem amaran awal tsunami, 533 alat rakam dan ukur kekuatan gempa bumi
Jan 6, 2025 | 5:30 AM
Pegawai Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, Encik Teuku Hafid Hududillah, menunjukkan sistem seismograf yang merekod gempa bumi bermagnitud 9.1 pada tragedi gempa dan tsunami 2004. Sistem itu dipamerkan di stesen pemantauan di Aceh Besar, Aceh, Indonesia, pada 23 Disember 2024, sebagai sebahagian daripada usaha memperingati ulang tahun ke-20 bencana tersebut.
Pegawai Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, Encik Teuku Hafid Hududillah, menunjukkan sistem seismograf yang merekod gempa bumi bermagnitud 9.1 pada tragedi gempa dan tsunami 2004. Sistem itu dipamerkan di stesen pemantauan di Aceh Besar, Aceh, Indonesia, pada 23 Disember 2024, sebagai sebahagian daripada usaha memperingati ulang tahun ke-20 bencana tersebut. - Foto REUTERS

BANDA ACEH: Pada 26 Disember 2004, dunia dikejutkan dengan salah satu bencana alam paling dahsyat dalam sejarah moden.

Tsunami yang berpunca daripada gempa bumi dengan kekuatan 9.1 magnitud di luar pantai Sumatera, telah mengorbankan lebih 230,000 nyawa di lebih 12 negara.

Aceh, yang terletak di utara Sumatera, menjadi kawasan paling terjejas dengan jumlah korban melebihi 126,000 orang.

Bagi Encik Teuku Hafid Hududillah, bencana itu bukan sekadar angka, malah satu tragedi peribadi.

Kehilangan ramai ahli keluarga menjadikan peristiwa itu titik perubahan dalam hidupnya.

Kini, sebagai pemerhati gempa di Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), beliau bertekad memastikan Aceh lebih bersedia menghadapi bencana di masa hadapan.

“Kami rasa Aceh kini lebih siap untuk pemindahan jika tsunami berlaku,” katanya, sambil merujuk kepada peningkatan dalam sistem amaran awal dan latihan bagi mengurangkan kesan tragedi yang sedang dijalankan di wilayah itu.

Sejak tragedi 2004, Indonesia telah memperbaiki sistem amaran awal bencana.

Ia termasuk melengkapkan negara itu dengan sistem amaran awal tsunami (INATWS) dan 533 alat seismograf bagi merakam dan mengukur kekuatan gempa bumi

Menurut BMKG, Aceh kini memiliki 28 pemantau gempa SeisComp yang mampu mengesan kedudukan, magnitud dan potensi tsunami dalam masa kurang tiga minit selepas gempa berlaku.

Teknologi itu membantu menyampaikan maklumat dengan pantas melalui sistem penerima amaran (WRS) yang dipasang di pelbagai agensi tempatan.

Selain itu, maklumat bencana kini boleh dihantar terus ke telefon bimbit melalui mesej teks, satu inovasi yang tidak wujud pada 2004.

“Hari ini, saya menerima amaran bencana terus ke telefon. Dua puluh tahun lalu, kita tidak tahu tsunami berlaku sehingga beberapa hari selepas kejadian,” kata penduduk di Banda Aceh, Encik Adi Warsidi.

Namun, kejadian seperti tsunami di Palu pada 2018, yang mengorbankan ribuan nyawa kerana siren gagal berbunyi, menunjukkan bahawa teknologi sahaja tidak mencukupi.

Menurut ketua stesen geofisika BMKG Aceh Besar, Encik Andi Azhar, kejadian itu mendorong peningkatan teknologi amaran untuk mengurangkan kelewatan.

“Kami belajar daripada insiden itu. Kini, amaran boleh dikeluarkan dalam masa lebih singkat,” katanya.

Walaupun teknologi telah bertambah baik, cabaran besar masih ada, terutama dalam aspek prasarana dan kesedaran masyarakat.

Profesor Nazli Ismail dari Universiti Syiah Kuala di Banda Aceh menegaskan bahawa bangunan yang tidak tahan gempa adalah punca utama kematian dalam bencana.

“Gempa bumi tidak membunuh orang; tetapi bangunan yang runtuh dan serpihan melakukannya,” jelasnya.

Profesor Nazli turut menekankan pentingnya kesedaran masyarakat dalam mengurangkan kesan bencana.

Walaupun latihan pemindahan dijalankan secara berkala di sekolah dan masyarakat, kempen kesedaran masih belum cukup dalam menyepadukan cara mengurangkan kesannya dalam budaya harian masyarakat Aceh.

“Ini bukan sekadar sesuatu yang diajar; ia harus menjadi sebahagian daripada budaya kita,” kata Encik Yudhie Satria dari Badan Pengurusan Bencana Aceh (BPBA).

Salah satu contoh budaya kejayaan dalam mengurangkan kesan bencana adalah kearifan masyarakat Simeulue, yang terletak di Aceh.

Selepas tsunami pada 1907, mereka mengembangkan tradisismong’, sebuah naratif yang mengajar generasi muda untuk melarikan diri ke kawasan tinggi jika terjadi gempa besar yang diikuti oleh surutnya air laut.

Smong adalah tradisi lisan yang berasal dari masyarakat Pulau Simeulue, Aceh, yang berfungsi sebagai panduan penting dalam menghadapi bencana alam, khususnya tsunami.

Tradisi itu diwariskan dari generasi ke generasi dalam bentuk cerita, pantun, atau lagu yang mengajarkan tanda-tanda awal tsunami dan langkah yang perlu diambil untuk menyelamatkan diri.

Istilah ‘smong’ dalam bahasa Simeulue bermaksud gelombang besar atau tsunami.

Ketika gempa kuat terjadi, masyarakat yang memahami ‘smong’ langsung bergerak ke tempat lebih tinggi,

Ketika tsunami 2004 melanda, tradisi itu terbukti menyelamatkan hampir seluruh penduduk Simeulue.

Hanya enam orang yang terkorban daripada 70,000 penduduk, dan kesemua kematian tersebut berpunca daripada gempa, bukan tsunami.

Tradisi seperti ‘smong’ menunjukkan betapa pentingnya pengetahuan tempatan dalam menyelamatkan nyawa.

“Kita perlu memperluas pendekatan ini dan menyatukannya ke dalam budaya lain di Aceh,” kata Encik Yayan Zamzami, seorang penduduk di Banda Aceh. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg