Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia perhebat perlindungan siber, 5j akaun kanak-kanak dihad akses
Pelaksanaan dasar namun masih berdepan cabaran, terutama berkaitan sistem pengesahan umur pengguna
JAKARTA: Pemerintah Indonesia berjaya menyekat atau mengehadkan akses kira-kira lima juta akaun milik kanak-kanak di pelbagai platform digital sejak pelaksanaan Peraturan Pemerintah (PP) Tunas, dalam usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak daripada pelbagai risiko di ruang siber.
Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Cik Meutya Hafid, berkata pencapaian itu direkodkan hasil kerjasama antara pemerintah dengan syarikat platform digital sejak PP Tunas mengenai tadbir urus sistem elektronik bagi perlindungan kanak-kanak mula dilaksanakan pada 28 Mac lalu.
Katanya, walaupun jumlah lima juta akaun itu masih jauh daripada sasaran keseluruhan, pencapaian tersebut dianggap signifikan di peringkat antarabangsa malah melepasi jumlah pengurangan akaun bawah umur yang dilaksanakan platform TikTok di Australia.
“Melalui kerjasama dengan platform digital, kira-kira lima juta akaun kanak-kanak telah diturunkan akses atau dihadkan. Jumlah ini mungkin masih kecil berbanding sasaran kami, namun pada skala global ia merupakan antara pencapaian yang sangat signifikan,” katanya pada program Gerakan Nasional Ruang Aman dan Nyaman Anak (Gernas RANA) di Jakarta, pada 4 Ogos.
Beliau menjelaskan Indonesia memilih pendekatan berasaskan penilaian risiko bagi melindungi kanak-kanak di ruang digital, berbeza dengan Australia yang mengenakan larangan menyeluruh terhadap penggunaan media sosial bagi individu berusia bawah 16 tahun.
Menurutnya, di bawah PP Tunas, kanak-kanak berusia bawah 16 tahun hanya dihadkan daripada mengakses platform yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.
“Australia melaksanakan larangan secara menyeluruh, manakala Indonesia menggunakan pendekatan penilaian risiko. Apa yang kami larang ialah akses kanak-kanak bawah 16 tahun kepada platform yang mempunyai tahap risiko tinggi,” katanya.
Beliau berkata setiap platform digital perlu menjalani penilaian risiko berdasarkan beberapa kriteria.
Ini termasuk kewujudan ciri komunikasi langsung seperti fungsi sembang, pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, reka bentuk aplikasi yang boleh menyebabkan ketagihan, kesan terhadap kesihatan mental, perlindungan data peribadi serta amalan penggunaan atau pemprofilan data pengguna kanak-kanak untuk tujuan komersial.
Cik Meutya berkata pendekatan itu bukan sekadar mengehadkan pembukaan akaun oleh kanak-kanak, malah bertujuan mengubah reka bentuk platform supaya lebih selamat untuk golongan berkenaan.
“Kami mahu platform turut berubah. Bukan hanya melarang kanak-kanak membuka akaun, tetapi mereka juga perlu memperbaiki perkhidmatan supaya lebih selamat dan mesra kanak-kanak,” katanya.
Sebagai contoh, beliau berkata platform permainan dalam talian Roblox telah mematikan secara automatik fungsi sembang bagi pengguna Indonesia yang berusia bawah 16 tahun.
Fungsi itu hanya boleh diaktifkan semula dengan kebenaran ibu bapa.
Menurut beliau, langkah itu menunjukkan syarikat teknologi mampu menyesuaikan ciri perkhidmatan mereka mengikut keperluan perlindungan kanak-kanak yang ditetapkan pemerintah.
Bagaimanapun, Cik Meutya mengakui pelaksanaan dasar tersebut masih berdepan beberapa cabaran, terutama berkaitan sistem pengesahan umur pengguna.
Katanya, masih banyak platform digital belum menggunakan teknologi pengesahan umur yang lebih canggih seperti algoritma anggaran usia, pengesahan wajah atau analisis tingkah laku pengguna.
“Teknologinya sudah tersedia. Persoalannya ialah sama ada platform bersedia membuat pelaburan bagi memastikan proses pengesahan umur benar-benar berkesan,” katanya.
Buat masa ini, setiap syarikat platform dikehendaki mengemukakan penilaian kendiri mengenai tahap risiko perkhidmatan masing-masing kepada Kementerian Komunikasi dan Digital.
Sehingga kini, kementerian itu telah meneliti penilaian membabitkan 200 platform yang dikendalikan oleh 79 Penyedia Sistem Elektronik (PSE), dengan lapan platform mengklasifikasikan diri mereka sebagai platform berisiko tinggi.
Cik Meutya berkata mekanisme penilaian kendiri itu menyerupai sistem penarafan kandungan media dan diyakini mampu meningkatkan ketelusan serta tanggungjawab platform dalam melindungi pengguna muda.
Beliau turut mengingatkan bahawa keperluan memperkukuh perlindungan kanak-kanak di ruang digital semakin mendesak memandangkan Indonesia kini mempunyai kira-kira 235 juta pengguna Internet, dengan lebih 81 peratus daripadanya terdiri daripada golongan muda termasuk kanak-kanak dan Generasi Z.
Menurut data pemerintah, hampir 48 peratus kanak-kanak di Indonesia pernah menjadi mangsa buli siber, manakala lebih 21,000 kes keganasan terhadap kanak-kanak direkodkan, dengan kira-kira 46 peratus berlaku di rumah atau institusi pendidikan.
“Perkembangan digital yang begitu pantas menjadikan cabaran melindungi kanak-kanak semakin kompleks. Sebab itu negara perlu hadir melalui dasar dan peraturan yang mampu memberikan perlindungan sebenar,” katanya.
Sementara itu Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Encik Pratikno, berkata Gernas RANA diwujudkan bagi memastikan perlindungan kanak-kanak dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi persekitaran keluarga, sekolah, ruang awam dan juga ruang digital.
Beliau berkata kemajuan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) membawa cabaran baharu yang memerlukan kerjasama semua pihak.
“Impak negatif ruang digital bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah turut mempengaruhi perkembangan kognitif dan kesihatan mental kanak-kanak.
“Justeru, kerjasama semua kementerian, agensi, industri teknologi dan media amat penting bagi memastikan perlindungan kanak-kanak menjadi agenda utama pembangunan negara,” katanya. – Agensi berita.
