Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia siasat syarikat teknologi langgar larangan media sosial remaja
Indonesia siasat syarikat teknologi langgar larangan media sosial remaja
Indonesia siasat syarikat teknologi langgar larangan media sosial remaja
Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia (Komdigi) sedang meneliti hasil siasatan terhadap dua platform digital terbesar dunia – Meta dan Google – selepas wakil kedua-dua syarikat itu hadir dalam pertemuan dengan pegawai kementerian susulan didakwa gagal mematuhi larangan baharu terhadap penggunaan media sosial oleh individu bawah usia 16 tahun.
Ketua Pengarah Pengawasan Ruang Digital, Encik Alexander Sabar, berkata siasatan itu dijalankan pada 7 April.
Sebanyak 29 soalan dikemukakan kepada wakil syarikat bagi menyiasat pelanggaran yang didakwa, khususnya berkaitan tanggungjawab melindungi pengguna.
“Kami akan terus meneliti hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua platform ini,” katanya kepada wartawan selepas sesi siasatan.
Beliau menambah, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha pemerintah memastikan wadah digital menjalankan tanggungjawab mereka kepada orang awam.
Peraturan Pemerintah No. 17 Tahun 2025, dikenali sebagai PP Tunas atau ‘Tunggu Anak Siap’, yang melarang pengguna bawah usia 16 tahun daripada mengakses media sosial, mula berkuat kuasa pada 28 Mac selepas tempoh penyesuaian selama setahun yang diberikan kepada platform.
Peraturan menteri sebagai garis panduan teknikal turut dikeluarkan pada 2026, mewajibkan wadah mengehadkan akses kanak-kanak serta memastikan ruang digital lebih selamat.
Siasatan itu dilakukan selepas kementerian mengeluarkan saman kedua pada 2 April, susulan saman pertama pada 30 Mac.
Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Cik Meutya Hafid, berkata saman pertama dikeluarkan selepas pemantauan selama dua hari.
Ia mendapati Meta, syarikat induk Facebook, Instagram dan Threads serta Google yang mengendalikan YouTube, tidak mematuhi peraturan tersebut.
Beliau turut memaklumkan beberapa wadah lain seperti X dan Bigo Live telah mula mematuhi peraturan dengan memperkenalkan sistem pengesahan umur dan menutup akaun pengguna bawah usia 16 tahun, manakala TikTok dan Roblox sedang berusaha mematuhi peraturan walaupun belum sepenuhnya.
Menurut Encik Sabar, setiap kelewatan dalam mematuhi peraturan perlindungan kanak-kanak meningkatkan risiko kepada keselamatan mereka dalam talian.
“Kami mengharapkan niat baik dan tindakan sebenar daripada setiap pengendali sistem elektronik.
“Ruang digital yang selamat untuk kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
PP Tunas mewajibkan platform menyediakan perlindungan dalam talian kepada pengguna bawah umur melalui penetapan klasifikasi umur serta had minimum penggunaan.
Platform juga perlu memastikan pengguna berada dalam kategori umur yang ditetapkan melalui langkah teknikal dan operasi bagi pengesahan umur.
Selain itu, mereka dilarang memprofil kanak-kanak, mengumpul data lokasi tepat mereka, serta perlu menyediakan maklumat jelas mengenai garis panduan penggunaan, perlindungan dan terma perkhidmatan.
Peraturan itu turut menetapkan bahawa kanak-kanak bawah usia 13 tahun hanya boleh memiliki akaun di wadah berisiko rendah khusus untuk kanak-kanak dengan persetujuan ibu bapa.
Bagi umur 13 hingga 16 tahun, akaun hanya dibenarkan di platform berisiko rendah dengan persetujuan ibu bapa, manakala akses ke platform berisiko tinggi hanya dibenarkan untuk pengguna berumur lebih 16 tahun.
Kementerian mengenal pasti lapan aplikasi berisiko tinggi termasuk Instagram, TikTok, Facebook, YouTube, X, Bigo Live, Roblox dan Likee.
Timbalan bagi Perlindungan Khas Kanak-Kanak di Kementerian Pemberdayaan Wanita dan Perlindungan Anak, Encik Indra Gunawan, berkata pemerintah memastikan perlindungan kanak-kanak melalui dasar yang mengutamakan kepentingan terbaik mereka.
“Perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital hanya berkesan melalui usaha bersepadu melibatkan dasar negara, tadbir urus wadah digital, daya ketahanan keluarga dan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Data kementerian menunjukkan golongan bawah umur merangkumi 28.38 peratus atau hampir 80 juta daripada penduduk Indonesia.
Penggunaan Internet dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 17 tahun meningkat daripada 49.59 peratus pada 2020 kepada 73.90 peratus pada 2024.
Tinjauan nasional 2024 turut mendapati empat daripada 10 remaja berusia 13 hingga 17 tahun pernah mengalami buli siber atau gangguan seksual tanpa sentuhan.
Pakar psikologi kanak-kanak, Cik Joice Manurung, berkata penggunaan skrin yang berlebihan selepas pandemik dikaitkan dengan gangguan tidur, pengurangan kegiatan fizikal dan masalah emosi.
“Situasi ini sangat menyedihkan,” katanya, sambil menegaskan bahawa kanak-kanak memerlukan batasan dan bimbingan dalam penggunaan platform digital.
Menurut Persatuan Penyedia Perkhidmatan Internet Indonesia (APJII), kadar penembusan Internet di negara itu mencapai 80.66 peratus pada 2025, dengan generasi Z mencatat kadar 87.8 peratus dan generasi Alpha sebanyak 79.73 peratus.
Walaupun peraturan itu dilihat menyeluruh, pengkritik masih mempersoal keberkesanannya dan memberi amaran mengenai kemungkinan wujudnya kelemahan dalam pelaksanaan.
Namun, Setiausaha Direktorat Jeneral Pengawasan Ruang Digital, Cik Mediodecci Lustarini, menolak dakwaan tersebut dan menegaskan peraturan itu dibangunkan melalui proses panjang melibatkan pakar, kementerian dan organisasi bukan pemerintah.
“Kami akan terus menilai keberkesanan peraturan ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemerintah sedang merangka peraturan berkaitan denda kewangan terhadap platform yang gagal mematuhi syarat.
“Ia akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.
