JAKARTA: Pihak imigresen Indonesia menjelaskan bahawa warga Israel yang tinggal dan menjalankan perniagaan di Bali mungkin memasuki negara itu menerusi proses kelulusan visa khas atau menggunakan pasport negara lain sekiranya mereka mempunyai dua atau lebih kewarganegaraan.

Penjelasan itu dibuat selepas kehadiran beberapa warga Israel di Bali mencetuskan perbincangan di media sosial, terutama mengenai bagaimana mereka dapat memasuki Indonesia yang mengenakan syarat ketat terhadap pemegang pasport Israel.

Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan pemegang pasport Israel tertakluk kepada mekanisme ‘calling visayang memerlukan pemeriksaan serta kelulusan khas sebelum visa dikeluarkan.

Pengarah Visa dan Dokumen Perjalanan di Direktorat Jeneral Imigresen, Encik Eko Budianto, berkata terdapat dua kemungkinan bagaimana warga Israel boleh memasuki Indonesia.

Pertama, mereka boleh memohon visa menggunakan pasport Israel, tetapi permohonan itu perlu melalui proses pemeriksaan ketat yang melibatkan beberapa kementerian dan agensi pemerintah atas pertimbangan keselamatan.

“Kami mempunyai mekanisme bagi negara yang diklasifikasikan sebagai memerlukan pengesahan visa khusus.

“Bagi mereka, pengeluaran visa perlu berdasarkan pengesahan kementerian dan agensi lain,” katanya dalam sidang media di Jakarta Selatan pada 12 Ogos.

Menurut Encik Eko, proses itu bukan diputuskan oleh pihak imigresen sahaja.

Antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Polis Nasional Indonesia, Pejabat Peguam Negara, Badan Risikan Negara (BIN) dan Badan Risikan Strategik (Bais).

“Pengesahan bukan datang daripada imigresen sahaja, begitu juga dengan kelulusannya,” kata beliau.

Menurutnya, hanya sebilangan kecil warga Israel berjaya memasuki Indonesia melalui proses permohonan visa menggunakan pasport Israel selepas melalui pemeriksaan berkenaan.

Kemungkinan kedua ialah warga Israel memasuki Indonesia menggunakan pasport negara lain kerana mereka turut mempunyai kewarganegaraan negara berkenaan.

Encik Eko menjelaskan bahawa berbeza dengan Indonesia yang secara umumnya berpegang kepada prinsip kewarganegaraan tunggal bagi orang dewasa, beberapa negara lain membenarkan seseorang memiliki dua atau lebih kewarganegaraan.

Pemeriksaan pihak imigresen terhadap beberapa kes di Bali mendapati terdapat warga Israel yang tinggal atau menjalankan kegiatan perniagaan di pulau pelancongan itu tetapi tidak memasuki Indonesia menggunakan pasport Israel.

Sebaliknya, mereka menggunakan pasport negara lain yang turut mereka miliki.

Apabila data diperiksa melalui Sistem Maklumat Pengurusan Imigresen (Simkim), pihak berkuasa menemukan antaranya individu yang memasuki Indonesia menggunakan pasport Portugal, Jerman dan Greece.

“Semalam, sebagai contoh, ada Portugal dan Jerman. Mereka masuk menggunakan pasport Portugal atau Jerman. Ada juga Greece,” katanya.

Encik Eko menjelaskan bahawa sistem imigresen Indonesia membuat pemeriksaan berdasarkan kewarganegaraan yang tercatat dalam pasport digunakan seseorang ketika memasuki negara itu dan bukannya berdasarkan tempat kelahirannya.

“Apa yang disahkan atau diperiksa ialah kewarganegaraan, bukan tempat kelahiran.

“Seseorang boleh dilahirkan di Amerika tetapi sebenarnya memiliki kewarganegaraan Indonesia,” katanya.

Isu itu mendapat perhatian selepas beberapa hantaran dan video di media sosial memaparkan warga Israel bercuti atau menjalankan kegiatan di Bali.

Sebahagian hantaran turut mempersoalkan bagaimana mereka boleh memasuki Indonesia memandangkan sekatan yang dikenakan terhadap pemegang pasport Israel.

Imam kelahiran Indonesia yang berpangkalan di New York, Imam Shamsi Ali, antara yang membangkitkan persoalan itu selepas berkongsi semula kandungan mengenai kehadiran warga Israel di Bali.

“Ia menjadi perhatian. Tetapi keadaan nampaknya agak senyap di Indonesia. Apa yang sedang berlaku?” tulis beliau dalam hantaran pada 3 Ogos.

Sebuah video oleh Divina Michael pula mendakwa terdapat ramai warga Israel di Bali dan kumpulan media sosial diwujudkan untuk berkongsi maklumat mengenai cara memasuki Indonesia. – Agensi berita.