Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia perjelas warga Palestin diusir didakwa cuba aktifkan semula sel pengganasan
Indonesia perjelas warga Palestin diusir didakwa cuba aktifkan semula sel pengganasan
Individu berkenaan dihantar pulang ke Cyprus ikut prosedur Interpol atas faktor keselamatan negara
Indonesia perjelas warga Palestin diusir didakwa cuba aktifkan semula sel pengganasan
Polis Indonesia menegaskan penahanan dan pengusiran seorang lelaki warga Palestin yang dikehendaki Polis Antarabangsa (Interpol) tidak mempunyai kaitan dengan pendirian politik Indonesia terhadap Palestin, sebaliknya dilakukan semata-mata atas faktor keselamatan negara dan kerjasama penguatkuasaan undang-undang antarabangsa.
Setiausaha Biro Pusat Nasional (NCB) Interpol Indonesia, Brigedier-Jeneral (BG) Untung Widyatmoko, berkata Abdul Karim Raed Miqdad dikenal pasti sebagai ancaman kepada keselamatan Indonesia kerana didakwa cuba mengaktifkan semula rangkaian kumpulan pengganas yang sebelum ini tidak lagi aktif.
Beliau berkata Miqdad turut menjadi subjek Notis Merah Interpol yang dikeluarkan oleh NCB Interpol Cyprus pada 10 Jun lalu selepas pihak berkuasa negara itu mengemukakan bukti awal serta waran tangkap terhadapnya.
“Dia merupakan ancaman berpotensi kepada keselamatan negara. Kami mempunyai data lengkap mengenai rangkaian sel pengganas yang dikaitkan dengannya.
“Peranannya dalam rangkaian itu jelas dan dia dikenal pasti sebagai pelaku,” kata BG Untung kepada Berita Harian.
Menurut beliau, Notis Merah Interpol hanya dikeluarkan selepas melalui proses semakan dan pengesahan yang ketat.
“Notis Merah tidak akan dikeluarkan jika kes itu berkaitan isu politik, agama, hak asasi manusia atau perkauman,” katanya.
BG Untung berkata pihak berkuasa Indonesia mengesan kehadiran Miqdad selepas sistem imigresen mengeluarkan amaran sebaik dia memasuki negara itu dari Kuala Lumpur.
Menurutnya, pihak berkuasa Malaysia sebelum ini turut menahan individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan rangkaian Miqdad.
Unit Khas Antipengganasan Polis Nasional Indonesia, Densus88 kemudian menahan Miqdad di sebuah hotel di Jakarta Barat pada 16 Julai selepas menjejakinya berpindah-randah di lima hotel berbeza, termasuk sebuah hotel di Bekasi, dalam tempoh 24 jam.
Beliau dihantar pulang ke Cyprus sehari kemudian mengikut prosedur kerjasama antara negara anggota Interpol.
BG Untung berkata siasatan turut mendapati Encik Miqdad dipercayai sedang menyediakan bahan kimia yang boleh digunakan untuk menghasilkan bahan letupan.
Semasa tangkapan dibuat, polis merampas dokumen perjalanan yang menunjukkan dia berulang-alik beberapa kali antara Jakarta dengan Kuala Lumpur, wang tunai dalam mata wang rupiah dan ringgit Malaysia serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Kes itu mencetuskan perhatian kumpulan penyokong Palestin di Indonesia yang mendakwa Miqdad ialah seorang aktivis dan pendakwah, malah ada yang mengaitkannya dengan Hamas.
Hamas ialah gerakan politik dan bersenjata yang mentadbir Gaza serta disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat, Israel dan Kesatuan Eropah.
Indonesia bagaimanapun tidak mengklasifikasikan Hamas sebagai pertubuhan pengganas di bawah senarai rasminya.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) turut menyatakan kebimbangan terhadap penahanan Miqdad dan memaklumkan akan menghantar surat kepada Presiden Prabowo Subianto serta Polis Republik Indonesia bagi mendapatkan penjelasan.
Pengerusi Hubungan Luar dan Kerjasama Antarabangsa Majlis Ulama Indonesia, Encik Sudarnoto Abdul Hakim, berkata kes itu amat sensitif dan perlu dikendalikan secara berhati-hati mengikut undang-undang Indonesia serta undang-undang antarabangsa.
“MUI menghormati tindakan pemerintah selagi ia mematuhi prosedur undang-undang dan prinsip undang-undang antarabangsa.
“Namun jika terdapat penyimpangan, MUI bertanggungjawab mengingatkan pemerintah,” katanya.
Beliau turut bimbang kes berkenaan boleh menjadi contoh yang menyebabkan warga Palestin atau aktivis pro-Palestin di Indonesia berdepan tindakan serupa pada masa hadapan.
Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Encik Yusril Ihza Mahendra, menegaskan tindakan terhadap Miqdad tidak sama sekali mengubah pendirian Indonesia yang konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin sejak 1948.
Katanya, Indonesia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Cyprus, namun kes itu dikendalikan melalui mekanisme kerjasama Interpol selepas pemerintah Cyprus mengemukakan waran tangkap dan bukti awal bahawa Miqdad disyaki melakukan jenayah di bawah bidang kuasa negara berkenaan.
Menurut Encik Yusril, polis Indonesia dan Cyprus sudah berhubung sejak 21 Mei, iaitu sebelum Notis Merah Interpol dikeluarkan.
Selepas Miqdad ditahan, pemerintah Cyprus menghantar sebuah pesawat khas bersama pegawai polis ke Jakarta bagi membawanya pulang.
“Selepas siasatan menyeluruh dijalankan, kes ini disahkan sebagai kes jenayah semata-mata. Atas dasar itu Indonesia memberikan kerjasama mengikut mekanisme undang-undang antarabangsa,” katanya.
Encik Yusril turut menolak dakwaan bahawa Miqdad ialah seorang pendakwah atau aktivis kemanusiaan di Gaza.
Katanya, hasil penyelarasan dengan Kedutaan Palestin di Jakarta mendapati Miqdad bukan tokoh agama mahupun aktivis bantuan kemanusiaan.
“Berdasarkan siasatan kami dan penjelasan daripada Duta Palestin, individu berkenaan bukan pendakwah dan bukan juga aktivis kemanusiaan. Semasa berada di Indonesia, dia menjalankan urusan seperti orang awam,” katanya.
Mengulas kebimbangan bahawa Miqdad mungkin diserahkan kepada Israel selepas tiba di Cyprus, Encik Yusril berkata kerajaan Indonesia telah mendapatkan jaminan rasmi daripada pemerintah Cyprus bahawa perkara itu tidak akan berlaku.
Menurut beliau, Duta Cyprus memberi jaminan Miqdad tidak akan diserahkan kepada mana-mana negara ketiga kerana tindakan sedemikian bercanggah dengan prinsip aturan Interpol.
“Komitmen Indonesia terhadap perjuangan Palestin tidak pernah berubah sejak 1948. Kes ini membabitkan dakwaan jenayah individu di bawah bidang kuasa negara lain dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan pendirian politik Indonesia terhadap Palestin,” katanya.