JAKARTA: Indonesia sedang bersiap untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza sebagai sebahagian daripada misi kemanusiaan selepas peperangan dua tahun yang memusnahkan wilayah itu.
Jurucakap Tentera Nasional Indonesia (TNI), Mejar Jeneral Freddy Ardianzah, pada 27 Oktober berkata persiapan telah dibuat melalui pembentukan satu pasukan bertugas bersama dengan kepakaran khusus merangkumi pembinaan, perubatan serta keselamatan operasi.
Menurut beliau, pasukan itu akan merangkumi anggota jurutera tentera darat bagi kerja pemulihan prasarana penting, pasukan kesihatan untuk menyediakan bantuan perubatan fizikal dan psikologi kepada orang awam, serta pasukan keselamatan bagi menjamin operasi berjalan lancar.
“Pasukan itu dijangka terdiri daripada jurutera Tentera Darat untuk membaiki prasarana, pasukan kesihatan untuk sokongan perubatan di lapangan, dan petugas pemulihan psikologi,” katanya kepada agensi berita, Antara, di Jakarta.
Mejar Jeneral Freddy menekankan bahawa keupayaan pemulihan prasarana amat genting kerana perang telah memusnahkan sistem sokongan kehidupan di Gaza termasuk hospital, jalan raya dan kemudahan awam yang lain.
Pada masa yang sama, pegawai perubatan TNI akan memainkan peranan penting memberi rawatan kecemasan kepada rakyat Palestin yang terjejas teruk dalam konflik berpanjangan itu.
Beliau turut menambah bahawa kawalan keselamatan perlu dilaksanakan agar misi kemanusiaan dapat dijalankan tanpa ancaman keselamatan.
Bagaimanapun, sehingga kini pasukan pengaman itu belum menerima arahan rasmi untuk dikerahkan.
Mejar Jeneral Freddy berkata TNI akan menunggu keputusan dan arahan seterusnya daripada pemerintah pusat.
“Pada prinsipnya, TNI bersedia melaksanakan apa jua arahan pemerintah secara profesional dan berkadar, dengan menjunjung kepentingan nasional Indonesia serta prinsip keamanan selaras undang-undang nasional dan antarabangsa,” katanya.
Komitmen Indonesia terhadap keamanan Gaza ditegaskan semula oleh Presiden Prabowo Subianto ketika menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Amerika Syarikat ke-13 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia pada 26 Oktober.
Dalam ucapannya, Encik Prabowo berkata Indonesia bersedia menghantar pasukan pengaman ke kawasan konflik yang memerlukan perlindungan dan kestabilan antarabangsa.
“Mari kita memilih untuk berada di sisi sejarah yang benar,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama Asean dan Amerika Syarikat harus menumpukan usaha membina keamanan berkekalan dan mengukuhkan hubungan yang memberikan manfaat sebenar kepada rakyat serta dunia.
Sumber keselamatan memaklumkan kepada ahli Parlimen Knesset Israel bahawa pasukan pengaman antarabangsa yang akan membantu menstabilkan Gaza kemungkinan besar akan melibatkan anggota tentera dari Indonesia, Azerbaijan dan Pakistan.
Menurut laporan sebuah portal berita Israel, penjelasan itu diberikan kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Pertahanan Knesset dalam satu taklimat tertutup.
Indonesia dan Azerbaijan telah menyatakan kesediaan untuk menyertai misi tersebut, manakala kehadiran Pakistan masih belum diumumkan secara terbuka.
Pasukan itu, yang dinamakan Pasukan Penstabil Antarabangsa (ISF), dijangka terdiri daripada puluhan ribu anggota.
Dialog mengenai pembentukan pasukan itu melibatkan Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik JD Vance, dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bersama penasihat kanan keselamatan kedua-dua pihak.
Israel sebelum ini menolak penglibatan Turkey manakala Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) menolak untuk mengambil bahagian.
Presiden Donald Trump turut menegaskan tentera Amerika tidak akan memasuki Gaza.
Proses penyelarasan pasukan itu masih pada peringkat awal.
Indonesia menegaskan sebarang penugasan antarabangsa di Gaza mesti terlebih dahulu memperoleh mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai syarat utama bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg