JAKARTA: Kementerian Kewangan memperuntukkan Rp71.2 trilion ($6.1 bilion) untuk pilihan raya umum 2024, 20 bulan sebelum pilihan raya.
“Pada 2022, bajet pilihan raya umum telah direalisasikan sebanyak Rp3.1 trilion, manakala pemerintah membelanjakan Rp29.9 trilion daripada peruntukan Rp30.4 trilion, jadi 98.4 peratus telah direalisasikan.
“Untuk 2024, kita memperuntukkan Rp38.2 trilion untuk pilihan raya umum,” kata Menteri Kewangan Sri Mulyani, dalam sidang media pada Selasa di Jakarta, dipetik akhbar Tempo.
Bajet itu dibelanjakan sekitar Rp26.1 trilion melalui Suruhanjaya Pilihanraya Umum (KPU) dan Badan Pengawas Pilihan Raya (Bawaslu).
Ia digunakan untuk membentuk agensi ad-hoc, merangka peraturan berkaitan pilihan raya umum, dan pengurusan, perolehan, laporan dan dokumentasi logistik pilihan raya umum.
Bajet itu juga dibelanjakan untuk menjalankan penamaan calon presiden dan naib presiden serta penamaan ahli dewan.
Selain itu, Cik Sri Mulyani berkata bajet pilihan raya umum digunakan untuk menyelia tempoh kempen dan pilihan raya, mengemas kini dan mengurus senarai pemilih, menentukan bilangan kerusi dan wilayah, serta menyelia logistik pilihan raya umum.
Sementara itu, pemerintah memperuntukkan Rp3.8 trilion untuk kementerian dan agensi pemerintah yang terlibat dalam pelaksanaan pilihan raya umum. Terdapat 14 agensi secara keseluruhan.
“Bajet itu disasarkan terutamanya untuk polis, radio Republik Indonesia (RRI), TVRI, Kementerian Penggunaan Prasarana Negara dan Pembaharuan Birokrasi, dan Kominfo (Kementerian Komunikasi dan Informatika),” jelas Menteri Sri Mulyani.
Beliau menambah, bajet itu digunakan antara lain untuk keselamatan pilihan raya, menangani sebarang pertelingkahan yang mungkin timbul, memastikan kekecualian aparatur negara dalam tempoh pilihan raya, dan penyebaran maklumat. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg