Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kontroversi penderma besar elak salur dana pada kempen kumpulan tidak disokong Jokowi

Dec 23, 2023 | 6:44 PM
BERSAMA CALON PRESIDEN INDONESIA: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (dua dari kiri) menjadi tuan rumah dalam sesi makan tengah hari bersama calon Presiden Indonesia (dari kiri), Encik Ganjar Pranowo, Encik Prabowo Subianto dan Encik Anies Baswedan pada Oktober lalu.
BERSAMA CALON PRESIDEN INDONESIA: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (dua dari kiri) menjadi tuan rumah dalam sesi makan tengah hari bersama calon Presiden Indonesia (dari kiri), Encik Ganjar Pranowo, Encik Prabowo Subianto dan Encik Anies Baswedan pada Oktober lalu. - Foto FACEBOOK JOKO WIDODO

JAKARTA: Satu lagi kontroversi muncul di ambang Pilihan Raya Presiden Indonesia, dengan parti politik di negara itu secara senyap-senyap mengadu bahawa hartawan Indonesia mengelak daripada menyalur wang kepada kempen pasukan yang tidak disokong Presiden Joko Widodo.

Sumbangan tersebut - dipindahkan ke akaun bank yang berdaftar dengan suruhanjaya pilihan raya - adalah sah di bawah peraturan kempen, dengan had lima bilion rupiah (S$429,000) bagi setiap penderma untuk setiap calon presiden.

Dalam pilihan raya sebelum ini, keluarga kaya dan ahli perniagaan akan mengagihkan sumbangan mereka hampir sama rata dalam kalangan calon. Tetapi tidak kali ini.

Isu pembiayaan kempen ini menambah kontroversi pilihan raya lain yang telah meresahkan masyarakat awam dan pakar reformasi Indonesia, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Keputusan mahkamah perlembagaan pada Oktober yang memberi laluan kepada Encik Gibran Rakabuming Raka, anak lelaki Encik Widodo atau Jokowi, 36 tahun, untuk bertanding sebagai calon naib presiden walaupun berusia di bawah 40 tahun, adalah secara meluas, didalangi oleh ratusan individu terkemuka dalam masyarakat madani Indonesia.

Encik Gibran dan rakan gandingannya, Encik Prabowo Subianto, 72 tahun, dilihat secara meluas sebagai mempunyai kelebihan dalam pertarungan tiga penjuru dan dilaporkan telah mendapat sebahagian besar daripada sumbangan kewangan itu.

Berdepan dengan Encik Prabowo, yang kini Menteri Pertahanan Indonesia, ialah mantan Gabenor Jawa Tengah Encik Ganjar Pranowo, 55 tahun, dan mantan gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, 54 tahun.

Merujuk kepada pembiayaan kempen Pilihan Raya, seorang anggota kanan salah sebuah pasukan, yang enggan namanya disiarkan, memberitahu ST:

“Kem Ganjar sedang menggunakan wang simpanan mereka, kem Anies tidak mempunyai simpanan, manakala kem Prabowo boleh dikatakan mendapat semua sumbangan derma, sebahagian daripadanya boleh dimasukkan ke dalam simpanan untuk kegunaan kemudian hari.”

Dana yang tersedia itu digunakan bagi menganjurkan perhimpunan di seluruh Indonesia, dan untuk bahan kempen termasuk poster, bendera dan kemeja-T.

Dalam pilihan raya lalu, golongan hartawan menderma melalui saluran rasmi iaitu menerusi akaun bank serta melalui cara lain yang tidak dilaporkan.

Pada 21 Disember lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) telah mengeluarkan laporan awal mengenai akaun bank kempen calon presiden dan naib presiden.

Kem Encik Prabowo mempunyai 31.4 bilion rupiah, kem Encik Ganjar mempunyai 23.4 bilion rupiah manakala pasukan Encik Anies hanya mempunyai sebilion rupiah. – ST.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg