Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia rai Hari Kemerdekaan skala kecil, terbatas di Nusantara

Aug 17, 2024 | 5:51 PM
Presiden Joko Widodo (dua dari kanan)  ditemani isterinya, Cik Iriana Widodo (kanan) menghadiri Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-79 pada 17 Ogos yang buat pertama kali diadakan di Istana Garuda, di ibu kota baru Nusantara, sekitar Kalimantan Timur. Bersama mereka ialah Presiden Dipilih, Encik Prabowo Subianto (dua dari kiri) dan Pengerusi Parlimen Indonesia, Cik Maharani (kiri).
Presiden Joko Widodo (dua dari kanan) ditemani isterinya, Cik Iriana Widodo (kanan) menghadiri Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-79 pada 17 Ogos yang buat pertama kali diadakan di Istana Garuda, di ibu kota baru Nusantara, sekitar Kalimantan Timur. Bersama mereka ialah Presiden Dipilih, Encik Prabowo Subianto (dua dari kiri) dan Pengerusi Parlimen Indonesia, Cik Maharani (kiri). - Foto EPA-EFE

NUSANTARA: Indonesia meraikan ulang tahun kemerdekaannya pada 17 Ogos di tapak ibu negara baru yang dirancang, Nusantara, buat kali pertama, dalam satu majlis yang lebih kecil skalanya ketika bandar yang masih dalam pembinaan itu dilanda masalah dengan beberapa perkara tertunggak.

Nusantara yang merupakan projek warisan Presiden Joko Widodo yang bakal mengundurkan diri pada Oktober ini sebagai pemimpin Indonesia, mengalami kelewatan pembinaan dan kekurangan pembiayaan akibat pandemik Covid-19, kekurangan pelaburan asing, dan baru-baru ini, peletakan jawatan pemimpin projek.

Agensi berita Reuters melaporkan jumlah hadirin pada sambutan Hari Kebangsaan Indonesia itu hanya terbatas pada 1,300 tetamu, berbanding 8,000 orang yang awalnya ingin diundang kerana penginapan dan bekalan makanan yang terhad, sebagaimana yang diumumkan Presiden Jokowi sebelum ini.

Kelihatan ratusan hadirin dalam kalangan masyarakat tempatan dan pekerja binaan menyertai majlis itu sambil dipayungi payung merah dengan beberapa bangunan yang masih dalam pembinaan kelihatan di belakang mereka.

Seorang pekerja binaan yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Mulyana, 38 tahun, berkata beliau menghabiskan masa sejak sembilan bulan lalu bagi membina bangunan pejabat kementerian yang sebahagiannya digunakan untuk sambutan Hari Kemerdekaan.

Beliau akur prasarana di situ terhad untuk memindahkan bahan-bahan binaan yang masih terbiar.

“Selama lima bulan kami bekerja syif 24 jam. Kerana akses terhad, kami memerlukan dua hingga tiga jam (setiap hari) untuk mengalih konkrit menggunakan peralatan berat,” jelas Encik Mulyana.

Beliau menambah apabila tiba di tapak tersebut setahun lalu, bekalan air dan elektrik terhad.

Nusantara dibina di dalam kawasan berhutan di sebelah timur pulau Borneo, kira-kira 1,200 kilometer daripada ibu kota semasa, Jakarta, di Pulau Jawa.

Encik Jokowi berusaha meningkatkan keyakinan terhadap projek mega bernilai $32 bilion itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini di samping mengusahakan tapak bagi hotel dan bangunan pejabat serta mengadakan mesyuarat kabinet pertama di Istana Negara baru berbentuk helang itu.

Namun, beliau juga berkata rancangan memindahkan ribuan penjawat awam ke Nusantara boleh ditangguhkan, tertakluk kepada kesediaan ibu kota itu, selepas sebelum ini mengarahkan mereka berkemas dan berpindah pada September.

Satu lagi majlis sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia turut berlangsung di Istana Merdeka di Jakarta dan dipimpin Naib Presiden, Encik Ma’ruf Amin bersama Naib Presiden Dipilih, Encik Gibran Rakabuming Raka, di sisinya.

Presiden Dipilih, Encik Prabowo Subianto, pula mengiringi Encik Jokowi di Nusantara.

Bagi menjamin keselamatan ketika sambutan, Polis Nasional mengerahkan lebih 1,000 anggota, manakala Tentera Nasional Indonesia mengerahkan lebih 2,000 anggotanya di Nusantara.

Encik Prabowo yang akan dilantik pada Oktober ini, menegaskan komitmennya untuk meneruskan pembangunan Ibu Negara Nusantara di bawah kepimpinannya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg