Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia rancang amaran kesihatan kotak rokok agar anak muda tidak tertarik
Indonesia rancang amaran kesihatan kotak rokok agar anak muda tidak tertarik
Indonesia rancang amaran kesihatan kotak rokok agar anak muda tidak tertarik
JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang menyediakan satu peraturan baru bagi mewajibkan penggunaan pembungkusan polos bagi produk tembakau dan rokok elektronik dalam usaha mengurangkan daya tarikan produk itu terhadap golongan muda.
Cadangan itu mendapat sokongan kumpulan penggalak kesihatan yang melihatnya sebagai langkah penting untuk mengawal penggunaan rokok, tetapi turut menerima bantahan daripada persatuan perniagaan dan pengguna yang bimbang terhadap kesannya kepada industri.
Kementerian Kesihatan Indonesia sedang merangka peraturan menteri mengenai amaran kesihatan dan paparan maklumat bagi rokok konvensional serta rokok elektronik.
Antara kandungan utama dalam draf peraturan itu ialah keperluan supaya semua produk tembakau dijual menggunakan pembungkusan dengan warna seragam, walau identiti jenama masih dibenarkan dipaparkan seiring amaran kesihatan bergambar.
Pemangku Ketua, Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Indonesia, Encik Andi Saguni, berkata pembungkusan rokok tidak sepatutnya dijadikan medium promosi yang menggalakkan golongan muda mula merokok.
“Pembungkusan rokok tidak seharusnya digunakan sebagai medium promosi yang mendorong anak muda mula merokok,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 Jun lalu.
Beliau menegaskan bahawa peraturan itu bukan bertujuan mengharamkan penjualan produk tembakau yang sah di sisi undang-undang.
Menurutnya, apabila reka bentuk yang menarik perhatian dikurangkan, orang ramai akan lebih memberi perhatian kepada mesej kesihatan yang dipaparkan pada bungkusan.
Menurutnya, pendekatan itu terbukti berkesan di beberapa negara seperti Australia, Canada dan Singapura.
Beberapa kajian mengenai pelaksanaan dasar itu di Australia sejak 2012 mendapati penggunaan pembungkusan polos membantu mengurangkan sekitar 108,000 jumlah perokok.
Penyelidik turut mendapati kadar remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang merokok berkurang kepada 5 peratus pada 2014 berbanding 7 peratus pada 2011.
Pusat Inisiatif Pembangunan Strategik Indonesia (Cisdi) menyambut baik cadangan itu dan menganggapnya sebagai langkah penting bagi membendung penggunaan tembakau.
Pengerusinya, Cik Diah Saminarsih, berkata maklumat kesihatan berkaitan produk tembakau perlu dipaparkan secara tepat dan tidak dipengaruhi ciri penjenamaan kreatif yang boleh mengelirukan pengguna.
“Kita perlu mengikuti garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menegaskan bahawa produk tembakau tidak mempunyai manfaat kesihatan sama ada rokok konvensional atau elektronik,” katanya pada 7 Jun.
Beliau turut menggesa pemerintah melaksanakan langkah kawalan tembakau yang lebih menyeluruh termasuk menaikkan cukai eksais, mempermudahkan struktur cukai rokok dan memperketat penguatkuasaan terhadap produk haram.
Pengerusi Forum Dasar Kesihatan Indonesia (Rukki), Encik Mouhamad Bigwanto, turut menyokong langkah itu dan menyifatkan peraturan berkenaan sebagai pelaksanaan yang sudah lama tertangguh bagi Peraturan Pemerintah mengenai kesihatan yang diperkenalkan pada 2024.
Beliau menggesa Menteri Kesihatan Indonesia, Encik Budi Gunadi Sadikin, supaya memperkenalkan kawalan lebih luas termasuk mengehadkan bahan tambahan dalam produk tembakau dan melarang promosi rokok di media sosial.
“Menteri Kesihatan perlu menunjukkan bahawa beliau mengutamakan kepentingan kesihatan awam dan bukannya tunduk kepada tekanan industri,” katanya pada 6 Jun.
Indonesia sering dianggap sebagai antara pasaran tembakau terbesar di dunia dengan kira-kira 70 juta perokok aktif direkodkan setakat 2024.
Tinjauan Kesihatan Indonesia 2023 mendapati 7.4 peratus daripada pengguna rokok di negara itu, atau sekitar lima juta orang, terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 18 tahun.
Di bawah Undang-Undang Kesihatan 2023, produk tembakau di Indonesia hanya boleh dibeli oleh individu berusia 21 tahun ke atas.
Golongan antirokok sudah lama mendesak pemerintah memperketat peraturan bagi menangani peningkatan kadar merokok dalam kalangan remaja.
Bagaimanapun, cadangan pembungkusan polos itu menerima bantahan daripada kumpulan perniagaan dan pengguna.
Persatuan Majikan Indonesia (Apindo) memberi amaran bahawa langkah itu akan mengehadkan identiti dan perbezaan jenama sekali gus menjejas peluang perniagaan.
Timbalan Setiausaha Agung Apindo, Encik Anggana Bunawan, berkata syarikat juga mungkin terpaksa menanggung kos pelarasan yang tinggi.
“Jika peraturan ini dilaksanakan dalam masa terdekat, perniagaan mungkin berdepan kos penyesuaian yang besar,” katanya pada 6 Jun.
Menurut beliau, syarikat perlu mengubah bahan pembungkusan dan menyesuaikan sistem pengedaran mereka.
Beliau turut menggesa pemerintah mempertimbangkan dasar alternatif yang tidak memberi tekanan kepada industri.
“Dasar seperti ini perlu mencapai keseimbangan antara matlamat kesihatan awam, kelangsungan perniagaan, sumbangan fiskal, perlindungan pekerjaan dan agenda pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Persatuan Pengguna Vape Indonesia (Akvindo) turut meminta kementerian mempertimbangkan semula usulan itu.
Pengerusinya, Encik Paido Siahaan, berkata dasar pembungkusan polos boleh menjejas hak pengguna untuk mendapatkan maklumat produk yang jelas dan tepat.
Walaupun menyokong usaha melindungi kanak-kanak daripada pendedahan tembakau, beliau berkata matlamat itu perlu dicapai tanpa mengelirukan pengguna dewasa. – Agensi berita.
