Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia rancang potong bajet program makanan percuma sehingga AS$2 bilion
Indonesia rancang potong bajet program makanan percuma sehingga AS$2 bilion
Indonesia rancang potong bajet program makanan percuma sehingga AS$2 bilion
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto dijangka mengurangkan skala program makanan percuma yang menjadi agenda utama pentadbirannya susulan tekanan fiskal dan isu pengurusan yang semakin meningkat, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu serta dokumen pembentangan dalaman pemerintah.
Langkah itu dilihat sebagai petanda paling jelas setakat ini bahawa program berprofil tinggi berkenaan sedang berdepan cabaran besar, terutama berkaitan disiplin kewangan pemerintah Indonesia.
Program makan percuma yang diperkenalkan Encik Prabowo sejak kempen pilihan raya lalu dianggap antara janji politik paling mahal dan bercita-cita tinggi dalam sejarah moden Indonesia.
Menurut dua sumber yang dipetik Reuters, Badan Gizi Nasional (BGN) yang mengendalikan program itu sedang mempertimbangkan pemotongan sekurang-kurangnya 15 peratus daripada peruntukan tahunan sebanyak 268 trilion rupiah (S$21.7 bilion).
Pengurangan itu bersamaan kira-kira 40 trilion rupiah (S$3.3 bilion) selepas agensi terbabit mengenal pasti beberapa ketidakcekapan dalam pelaksanaan program.
Seorang daripada sumber berkenaan berkata jumlah pemotongan mungkin lebih besar dan boleh mencecah sehingga 50 trilion rupiah.
Bagaimanapun, kedua-dua sumber itu berkata jumlah sebenar masih belum dimuktamadkan kerana proses penilaian dalaman masih berlangsung.
Seorang lagi sumber berkata semakan semasa turut mempertimbangkan pengurangan jumlah penerima manfaat program daripada 62.5 juta kepada sekitar 49 juta orang.
Namun, beliau menegaskan cadangan itu masih dalam peringkat kajian dan boleh berubah.
Semua sumber terbabit enggan dikenali kerana perkara itu masih bersifat sulit dan belum diumumkan secara rasmi.
Jurucakap Kementerian Kewangan Indonesia berkata pihaknya masih menunggu “pelan penajaman bajet” daripada BGN sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kementerian akan menyelaras pelaksanaan berdasarkan pelan yang dikemukakan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Reuters pada 25 Jun.
BGN dan pejabat Presiden Prabowo setakat ini belum memberikan sebarang komen rasmi berhubung laporan itu.
Perincian mengenai kemungkinan pengurangan penerima manfaat serta perbincangan dalaman berkaitan langkah penjimatan itu belum pernah dilaporkan sebelum ini.
Program makan percuma menjadi antara agenda utama Prabowo selepas beliau mengambil alih tampuk pemerintahan Indonesia.
Program itu bertujuan menyediakan makanan percuma kepada pelajar sekolah, wanita hamil dan kumpulan berpendapatan rendah bagi menangani masalah kekurangan zat makanan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Namun sejak awal pelaksanaannya, program itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan ahli ekonomi mengenai kemampuan fiskal Indonesia menanggung kos yang sangat besar.
Penganalisis sebelum ini memberi amaran bahawa perbelanjaan besar untuk program sosial berkenaan boleh meningkatkan tekanan terhadap defisit fiskal negara, terutama ketika ekonomi global masih tidak menentu.
Selain isu kewangan, program itu juga berdepan cabaran logistik dan pengurusan termasuk penyelarasan dapur penyediaan makanan, agihan bekalan serta pemantauan mutu makanan.
Sebelum ini, beberapa laporan media tempatan turut menyebut mengenai usaha pemerintah menilai semula keberkesanan operasi dapur makanan di beberapa wilayah.
Langkah pengurangan bajet itu dijangka memberi kesan kepada operasi dapur makanan serta jumlah penerima bantuan di seluruh Indonesia.
Walaupun begitu, pemerintah Indonesia dilihat masih mahu meneruskan program berkenaan kerana ia menjadi simbol utama pentadbiran Prabowo dan antara dasar paling popular dalam kalangan rakyat.
Setakat ini belum jelas sama ada pengurangan skala program itu akan memberi kesan kepada sasaran jangka panjang pemerintah untuk memperluaskan bantuan makanan percuma ke seluruh negara.
Indonesia sebelum ini menyasarkan program itu dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan dan pendidikan generasi muda selain mengurangkan kadar kemiskinan.
Namun tekanan fiskal yang semakin meningkat menyebabkan pemerintah kini dilihat lebih berhati-hati dalam menguruskan kos pelaksanaan program berskala besar itu. - Reuters
