JAKARTA: Pendakwa raya Indonesia menyita sebuah gudang yang menyimpan lebih 21,000 motosikal elektrik milik program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah yang semakin meluas membabitkan pengurusan program sosial utama pemerintah itu.

Pasukan penyiasat daripada Pejabat Peguam Negara Indonesia (AGO) melakukan penyitaan di sebuah gudang di kawasan Sentul, Bogor, Jawa Barat pada 17 Jun bagi mendapatkan dan melindungi bahan bukti berkaitan dakwaan penyelewengan dalam pengurusan program MBG bagi tempoh 2025 hingga 2026.

Pengarah Siasatan Jenayah Khas AGO, Encik Syarief Sulaeman Nahdi, berkata pasukan penyiasat melakukan pemeriksaan fizikal terhadap aset di lokasi sebelum memasang tanda sita keselamatan pada gudang terbabit.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati Agensi Pemakanan Nasional (BGN) sudah membuat bayaran penuh bagi 21,801 unit motosikal elektrik yang diperoleh di bawah program itu.

Bagaimanapun, sebahagian besar motosikal berkenaan masih tersimpan di gudang dan belum diagihkan kepada pihak yang sepatutnya menerima manfaat program tersebut.

“Penyitaan dilakukan bagi memastikan status bahan bukti kekal selamat sepanjang siasatan berjalan,” katanya dalam kenyataan.

Kes berkenaan dipercayai menyebabkan kerugian kewangan negara melebihi 1 trilion rupiah ($83 juta).

Setakat ini, pihak berkuasa telah menamakan lima suspek dalam siasatan tersebut termasuk mantan Ketua BGN, Encik Dadan Hindayana.

Turut dinamakan ialah mantan Timbalan Ketua BGN bagi Pembangunan Organisasi dan Hubungan Institusi, Encik Lodewyk Pusung; mantanTimbalan Ketua Operasi Pemenuhan Nutrisi, Encik Sony Sonjaya; ahli perniagaan, Encik Asep Yusuf Soemantri; serta Encik Andri Mulyono selaku pesuruhjaya syarikat PT Yasa Artha Trimanunggal.

Penyiasat mengesyaki para suspek melakukan amalan menaikkan harga kontrak selain melantik vendor yang tidak memenuhi syarat kelayakan dalam beberapa projek perolehan di bawah program MBG.

Kontrak perolehan 21,801 motosikal elektrik bernilai 1.035 trilion rupiah diberikan kepada PT Yasa Artha Trimanunggal.

Namun, hasil siasatan awal mendapati syarikat itu dipercayai tidak mempunyai rangkaian pengedar dan pusat servis aktif yang mencukupi untuk melaksanakan projek berskala nasional.

Pihak pendakwa raya kini turut memperluaskan siasatan kepada beberapa projek perolehan lain di bawah BGN yang dipercayai mempunyai corak penyelewengan serupa.

Antara projek yang sedang disiasat termasuk perolehan 32,000 pasang kasut; 31,994 unit komputer tablet dan 5,400 unit televisyen.

Menurut penyiasat, terdapat ketidaksesuaian dalam proses perolehan dan pelaksanaan kontrak bagi beberapa projek berkenaan.

“Kami masih meneliti aliran dana dan kemungkinan penglibatan pihak lain dalam kes ini,” kata Encik Syarief.

Beliau menegaskan siasatan akan terus diperluaskan bagi mengenal pasti semua pihak yang bertanggungjawab selain mendapatkan semula kerugian negara.

Program MBG merupakan antara inisiatif sosial terbesar di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto yang bertujuan menyediakan makanan berkhasiat percuma kepada pelajar serta golongan rentan di seluruh Indonesia.

Program itu dilihat sebagai antara janji utama Presiden Prabowo selepas memenangi pilihan raya presiden. – Agensi berita