JAKARTA: Pemerintah Indonesia telah mengesahkan bahawa ia tidak mempunyai rancangan segera untuk meneruskan dasar redenominasi rupiah yang telah lama dibincangkan, walaupun rancangan itu muncul dalam dokumen pihak pengawalseliaan utama.
Menteri Penyelaras Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, mengesahkan pada 10 November bahawa terdapat kebuntuan berlaku dan berkata: “Ia belum dibincangkan lagi. Tidak dalam masa terdekat.”
Beliau menjelaskan bahawa walaupun rancangan redenominasi disebut secara rasmi dalam Pelan Strategik Kementerian Kewangan untuk 2025 hingga 2029, namun pemerintah masih belum mencapai tahap untuk secara aktif membincangkan isu kompleks ini.
Ditanya sama ada Presiden Prabowo Subianto telah memberikan sokongan politiknya terhadap langkah itu, Encik Airlangga tetap berhati-hati, sambil menambah: “Kami akan membincangkannya kemudian.”
Rang Undang-Undang Redenominasi Rupiah digubal untuk memudahkan nilai nominal rupiah tanpa mengubah nilai asasnya atau kuasa beli orang ramai.
Redominasi itu bermaksud meniadakan beberapa sifar pada mata wang rupiah agar dilihat lebih kemas.
Secara praktikalnya, ini bermakna menghapuskan beberapa sifar daripada mata wang juga bertujuan menjadikan transaksi harian lebih cekap.
Dasar tersebut akan mengubah wang kertas 1,000 rupiah sebagai contoh, kepada unit baru 1 rupiah dengan harga barangan dan perkhidmatan kekal pada kadar yang sama.
Matlamat keseluruhan dasar ini adalah untuk meningkatkan kecekapan ekonomi, mengekalkan kestabilan rupiah dan mengukuhkan kredibiliti mata wang di peringkat tempatan dan global.
Kementerian Kewangan sebelum ini menyasarkan penyiapan Draf Undang-Undang ini menjelang 2027.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan Encik Purbaya Yudhi Sadewa dipetik portal media sebagai berkata bahawa langkah redenominasi rupiah merupakan bidang tugas Bank Indonesia (BI), bukan Kementerian Kewangan.
Menurutnya, pelaksanaan redenominasi tidak akan dilakukan dalam waktu dekat, setidaknya bukan 2025 mahupun 2026.
“Redenominasi adalah bidang tugas bank pusat dan mereka akan menerapkannya sesuai dengan keperluan pada waktunya. Tetapi tidak sekarang, tidak tahun depan,” ujar Encik Purbaya kepada wartawan di Surabaya pada 10 Novemeber.
Beliau juga menepis anggapan bahawa Kementerian Kewangan menjadi pihak utama dalam mendorong redenominasi rupiah.
Beliau sekali menegaskan bahawa keputusan tersebut sepenuhnya akan ditentukan oleh Bank Indonesia sebagai penguasa kewangan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg