JAKARTA: Indonesia merancang mewujudkan hab kewangan di kawasan tumpuan pelancong Bali dalam usaha meningkatkan ekonominya yang ketinggalan dengan menarik bank antarabangsa, pengurus aset dan firma ekuiti swasta, kata sumber yang dekat dengan perkara itu.
Presiden Prabowo Subianto telah bersetuju dengan cadangan pemerintah untuk memodelkan pulau pelancongan itu seperti Gujarat International Finance Tec-City India, juga dikenali sebagai Gift City, dan Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai, kata sumber yang tidak mahu namanya disebutkan.
Zon Kewangan Bali akan menawarkan pengecualian cukai dan kawal selia, mengurangkan kerenah birokrasi dan birokrasi yang kompleks – masalah berterusan bagi syarikat yang ingin menjalankan perniagaan dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Untuk berbuat demikian, Indonesia merancang melaksanakan rangka kerja undang-undang yang berbeza di hab itu.
Ia juga sedang mempertimbangkan sistem Singapura sebagai model kerana reputasinya yang mesra perniagaan, kata sumber itu lagi.
Pegawai sedang melakar draf cadangan untuk kemungkinan undi di Parlimen pada akhir 2025.
Namun, pelan Kota Kewangan Indonesia yang dicadangkan itu masih berada di peringkat konsep dan tertakluk kepada perubahan.
Daya usaha itu, yang melibatkan Kementerian Kewangan dan Majlis Ekonomi Negara, mendapat sokongan pengasas Bridgewater Associates, Encik Ray Dalio, yang secara tidak rasmi menasihati presiden.
“Pemerintah mahu mewujudkan pusat kewangan moden dan telus yang menyokong pembangunan ekonomi negara,” kata jurucakap majlis ekonomi, Encik Jodi Mahardi, ketika ditanya mengenainya.
“Ia dijangka menjadi platform yang menghubungkan pelaburan global dengan peluang sebenar dalam sektor di Indonesia,” katanya, tanpa mengulas lanjut.
Kementerian Kewangan enggan mengulas.
Inisiatif tersebut timbul ketika pegawai Indonesia cuba menghidupkan semula pertumbuhan di tengah-tengah pelaburan yang lemah dan keyakinan pengguna yang merosot.
Ahli perniagaan terkaya di negara itu juga semakin berhati-hati terhadap percubaan Presiden Prabowo untuk membanteras ketidaksamaan.
Pertumbuhan ekonomi Indonesia pada 2025 diramal sekitar 4.9 peratus, turun daripada pengembangan 5 peratus pada 2024.
Pemerintah Indonesia menyasarkan pertumbuhan ekonomi 8 peratus pada 2029, satu matlamat yang memerlukannya memperoleh kira-kira 13,000 trilion rupiah ($101.4 bilion) dalam pelaburan langsung dalam tempoh empat tahun.
Pelan Hab Kewangan Bali berkembang daripada cadangan pada 2024 oleh mantan menteri kanan, Encik Luhut Panjaitan, untuk menjadikan Bali sebagai hab pejabat keluarga, tambah sumber itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg