JAKARTA: Menteri Kewangan baru Indonesia, Dr Purbaya Yudhi Sadewa, mengakui tanggungjawab yang dipikulnya amat mencabar selepas rasmi mengambil alih jawatan pada 8 September, susulan pengguguran Dr Sri Mulyani Indrawati daripada Kabinet Presiden Prabowo Subianto.
Pelantikan mengejut itu mencetuskan gegaran di pasaran kewangan, dengan nilai rupiah dan indeks saham jatuh mendadak. Pelabur bimbang kredibiliti fiskal yang dibina Sri Mulyani selama bertahun-tahun akan terhakis di bawah agenda ekonomi baru Prabowo yang pro-pertumbuhan.
Pada majlis serah tugas di Kementerian Kewangan pada 9 September, Encik Purbaya menegaskan cabaran global menjadikan tanggungjawabnya semakin berat.
“Tugas ini tidak mudah. Kita berdepan cabaran besar dalam teknologi dan geopolitik. Tetapi saya yakin dengan kerjasama semua pihak, ekonomi kita boleh bangkit,” katanya.
Encik Purbaya, 61 tahun, berjanji mempercepat pertumbuhan ekonomi kepada 6 hingga 7 peratus dalam jangka pendek, sambil mengekalkan sasaran jangka panjang 8 peratus seperti yang dijanjikan Presiden Prabowo.
“Adalah tidak mustahil kita mencapai pertumbuhan 8 peratus. Dengan penyertaan aktif pemerintah dan sektor swasta, sasaran ini boleh dicapai,” tambahnya.
Cik Sri Mulyani, 63 tahun, yang telah berkhidmat hampir dua dekad, mengucapkan selamat tinggal dalam suasana penuh emosi. “Tiada siapa sempurna. Dalam melaksanakan tugas, pasti ada kekurangan. Saya dengan rendah hati memohon maaf,” katanya, disaksikan Menteri Ekonomi Encik Airlangga Hartarto dan Timbalan Gabenor Kanan Bank Indonesia, Cik Destry Damayanti.
Bekas Pengarah Urusan Bank Dunia itu dilihat sebagai benteng utama disiplin fiskal dan reformasi. Beliau pernah menjawat jawatan sama di bawah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Presiden Joko Widodo, dan mendapat reputasi antarabangsa kerana ketegasan menjaga kredibiliti fiskal negara.
Kejatuhan Cik Sri Mulyani memberi kesan pantas ke atas pasaran. Indeks Komposit Jakarta jatuh 1.5 peratus dalam dagangan pagi, manakala rupiah merosot lebih 1 peratus ke paras 16,309 per dolar Amerika. Bon antarabangsa Indonesia turut melemah.
Bank Indonesia segera campur tangan di pasaran mata wang. “Kami pastikan rupiah bergerak mengikut asas fundamentalnya,” kata Cik Destry.
Menurut Encik Hasnain Malik, pakar strategi di Tellimer, pengunduran Sri Mulyani menambah risiko fiskal. “Sri Mulyani ialah penjaga utama disiplin fiskal. Pemergiannya mencetuskan kebimbangan terhadap defisit yang mungkin melebar di bawah Prabowo, khususnya selepas protes jalanan memberi tekanan besar,” jelasnya.
Encik Purbaya sebelum ini mengetuai Lembaga Penjamin Simpanan. Beliau berkelulusan kejuruteraan elektrik dari Institut Teknologi Bandung (ITB) dan memiliki ijazah sarjana serta doktor falsafah ekonomi dari Universiti Purdue, Amerika Syarikat.
Kerjaya beliau meliputi jawatan di Danareksa Research Institute dan Danareksa Sekuritas, selain menjadi penasihat ekonomi kepada Presiden Yudhoyono dan Presiden Jokowi.
Penganalisis melihat cabaran pertama EncikPurbaya adalah mengembalikan keyakinan pasaran. Encik Oktavianus Audi, Naib Presiden Kiwoom Sekuritas, berkata: “Rombakan ini mencerminkan risiko politik yang timbul daripada protes baru-baru ini. Namun, jika pemerintah segera mengumumkan pelan hala tuju baru yang mengekalkan disiplin fiskal, tekanan pasaran mungkin hanya sementara.”
Ahli ekonomi Encik Lavanya Venkateswaran dan Encik Ahmad Enver dari OCBC turut memberi amaran. “Dasar fiskal akan menjadi tumpuan utama. Purbaya mesti meyakinkan pelabur domestik dan asing bahawa peralihan kuasa berjalan lancar. Ia tidak akan mudah,” kata mereka.
Dengan ekonomi pasca-pandemik yang terperangkap sekitar 5 peratus pertumbuhan, Encik Prabowo menaruh harapan besar pada Encik Purbaya untuk membiayai program sosial yang mahal tanpa menjejaskan fiskal.
Encik Brian Lee, ahli ekonomi Maybank, berkata: “Keutamaan pentadbiran tidak banyak berubah walaupun menteri kewangan bertukar. Lebih banyak dana disalurkan kepada rangsangan separuh kedua tahun ini untuk menyokong kuasa beli rakyat. Namun, defisit fiskal dijangka melebar kepada 2.9 peratus KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), lebih tinggi daripada unjuran pemerintah.”
Beliau menambah, tekanan jangka pendek terhadap rupiah mungkin berlaku. “Tetapi pasaran boleh pulih kerana pengalaman Purbaya memberi sedikit keyakinan, ditambah kemungkinan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika bulan ini,” jelasnya.
Pemecatan Cik Sri Mulyani berlaku selepas protes besar-besaran bulan Ogos lalu yang mencetuskan rusuhan di Jakarta dan beberapa bandar lain. Demonstrasi itu tercetus akibat kenaikan elaun Ahli Parlimen serta dakwaan keganasan polis, dan turut menyasarkan kediaman Cik Sri Mulyani di Bintaro.
Dalam kenyataan di Instagram, beliau mengecam tindakan itu sebagai “tidak berperikemanusiaan” dan menyeru rakyat menyalurkan ketidakpuasan hati melalui saluran undang-undang.
Protes berskala lebih kecil masih berlaku pada awal September, dengan ribuan rakyat menuntut pembaharuan dasar termasuk mengekang gelombang pemberhentian kerja.
Pelantikan Purbaya Yudhi Sadewa sebagai Menteri Kewangan menandakan perubahan besar dalam pasukan ekonomi Prabowoo. Namun, pasaran yang tergoncang dan rakyat yang masih berprotes menunjukkan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi Indonesia masih rapuh.
Seperti yang ditegaskan Encik Purbaya: “Kami akan pastikan dasar fiskal menyokong pertumbuhan ekonomi secara optimum. Kedudukan fiskal sihat, dan perbelanjaan mesti kekal seimbang.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg