Indonesia sambut Aidilfitri berasingan, pemerintah tetapkan 21 Mac, Muhammadiyah 20 Mac

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia sambut Aidilfitri berasingan, pemerintah tetapkan 21 Mac, Muhammadiyah 20 Mac

Mar 20, 2026 | 9:57 AM

Indonesia sambut Aidilfitri berasingan, pemerintah tetapkan 21 Mac, Muhammadiyah 20 Mac

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
aidilfitri, indonesia
Jemaah Muslim menunaikan solat sunat Aidilfitri di atas jalan raya di Surabaya pada 20 Mac, menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan. Sambutan lebih awal ini diadakan oleh pengikut Muhammadiyah yang menetapkan 1 Syawal berdasarkan kaedah hisab, berbeza dengan ketetapan pemerintah Indonesia yang menetapkan Aidilfitri sehari kemudian melalui kaedah ‘rukyatul hilal’ atau cerapan anak bulan dan sidang isbat. - Foto AFP

JAKARTA: Umat Islam di beberapa wilayah Indonesia menyambut Aidilfitri pada tarikh berbeza dengan sebahagian meraikannya lebih awal pada 20 Mac, manakala yang lain mengikut ketetapan pemerintah pada 21 Mac.

Perbezaan ini timbul susulan kaedah penentuan awal Syawal yang tidak seragam antara pihak pemerintah dan organisasi Islam seperti Muhammadiyah, sekali gus mengulangi situasi yang sering berlaku di negara itu hampir setiap tahun.

Pemerintah Indonesia melalui Kementerian Agama menetapkan 1 Syawal 1447 Hijrah jatuh pada Sabtu, 21 Mac selepas mengadakan sidang isbat yang mengambil kira hasil cerapan anak bulan serta pengiraan astronomi.

Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan kriteria kenampakan anak bulan yang dipersetujui bersama oleh Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei-Indonesia-Malaysia-Singapura (Mabims).

“Dalam sidang isbat, kedudukan anak bukan didapati belum memenuhi kriteria kenampakan pada hari sebelumnya. Oleh itu, 1 Syawal ditetapkan sehari selepasnya,” katanya dalam sidang media di pejabat kementerian itu, pada 19 Mac.

Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan tarikh sambutan Aidilfitri bukan perkara baharu di Indonesia, memandangkan terdapat pelbagai kaedah penentuan yang digunakan oleh organisasi Islam.

Sementara itu, Muhammadiyah telah lebih awal menetapkan Aidilfitri jatuh pada Jumaat, 20 Mac berdasarkan kaedah hisab, iaitu pengiraan astronomi tanpa bergantung kepada cerapan fizikal anak bulan.

Pendekatan ini sering menghasilkan perbezaan tarikh berbanding keputusan pemerintah yang turut mengambil kira ‘rukyatul hilal’ atau cerapan anak bulan.

Dalam pada itu, Nahdlatul Ulama (NU) menyatakan akan mengikut ketetapan pemerintah selepas melakukan cerapan anak bulan di pelbagai lokasi di seluruh negara.

Mengulas perbezaan ini, Encik Nasaruddin menyeru umat Islam di Indonesia agar terus memelihara keharmonian dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Kami menghimbau seluruh umat Islam Indonesia untuk menjaga ketenangan, keamanan, ketertiban dan kebersamaan sepanjang sambutan Lebaran tahun ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa Aidilfitri seharusnya menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan sesama masyarakat.

“Marilah kita jadikan Aidilfitri sebagai momentum untuk mempererat ukhuwah, menyambung silaturahim dan menjaga kestabilan sosial sebagai sumbangan kita dalam membina Indonesia yang aman dan sejahtera,” ujarnya lagi.

Walaupun berbeza tarikh, suasana sambutan Aidilfitri tetap meriah di beberapa lokasi, khususnya dalam kalangan pengikut Muhammadiyah yang menunaikan solat sunat Aidilfitri lebih awal.

Di Bandung, ribuan anggota jemaah membanjiri Lapangan Lodaya sejak awal pagi bagi menunaikan solat Aidilfitri yang dianjurkan oleh Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Jawa Barat.

Seawal subuh, jemaah dari pelbagai kawasan mula hadir dengan membawa sejadah masing-masing, memenuhi ruang lapangan dalam masa singkat.

Saf panjang terbentuk seiring pertambahan jemaah yang hadir, mencerminkan semangat kebersamaan dalam menyambut hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Situasi sama turut dilihat di ibu negara Jakarta, apabila kawasan sekitar pejabat Pimpinan Pusat Muhammadiyah di Menteng dipenuhi jemaah sejak awal pagi.

Kira-kira 6.30 pagi, aliran kehadiran jemaah terus meningkat sehingga menyebabkan ruang tempat meletak kereta tidak mencukupi, memaksa sebahagian daripada mereka menunaikan solat di atas jalan raya berhampiran.

Pihak berkuasa menutup sementara laluan tersebut bagi memastikan kelancaran ibadah.

Dalam perutusan Aidilfitri 1447 Hijrah, Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Encik Haedar Nashir, mengingatkan umat Islam agar menjadikan Aidilfitri sebagai medan memperkukuh nilai kemanusiaan dan solidariti.

Beliau menekankan bahawa semangat memberi dan mengambil berat perlu diperluaskan bukan sahaja dalam negara, malah ke peringkat global.

“Memberi adalah panggilan daripada semangat keislaman kita untuk semua tanpa mengira suku, agama, ras, golongan dan bangsa. Inilah nilai yang perlu kita hidupkan selepas Ramadan,” katanya.

Encik Haedar turut menggesa agar masyarakat tidak melupakan saudara di wilayah konflik seperti Palestin dan Iran yang memerlukan bantuan kemanusiaan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg