Perbezaan hisab cetus debat hukum tentukan Ramadan dan waktu subuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perbezaan hisab cetus debat hukum tentukan Ramadan dan waktu subuh

Mar 2, 2026 | 5:30 AM

Perbezaan hisab cetus debat hukum tentukan Ramadan dan waktu subuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang anggota jemaah Muslim menggunakan teleskop untuk melihat kemunculan anak bulan yang menandakan permulaan bulan suci Ramadan di Bandung, Jawa Barat pada 17 Februari 2026.
Seorang anggota jemaah Muslim menggunakan teleskop untuk melihat kemunculan anak bulan yang menandakan permulaan bulan suci Ramadan di Bandung, Jawa Barat pada 17 Februari 2026. - AFP

Selain memaklumkan jemaah masjid Ramadan bermula sehari lebih awal dari tarikh yang dijangka ditetapkan pemerintah, pentadbir masjid di Bantul, Encik Ananto Isworo, turut mempunyai satu lagi tugas apabila bulan puasa kian hampir.

Beliau perlu memberitahu bahawa azan subuh adalah lapan minit lebih lewat daripada waktu rasmi pemerintah.

Masjid Al Muharram di Kampung Brajan di pinggir Yogyakarta secara budaya mengikuti nilai dan amalan pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia, Muhammadiyah.

Oleh itu, kegiatan ibadah dan jadualnya selaras dengan keputusan Muhammadiyah yang menetapkan Ramadan 2026 bermula pada 18 Februari, bukannya 19 Februari seperti yang diumum pemerintah dengan sokongan pertubuhan Islam terbesar, Nahdlatul Ulama.

Perbezaan itu berlaku kerana kedua-dua pihak menggunakan kaedah berbeza dalam menentukan kemunculan anak bulan atau hilal, penanda permulaan bulan baharu dalam kalendar Islam.

“Saya perlu mengingatkan mereka sekali lagi bahawa waktu subuh kami lapan minit lebih lewat berbanding jadual Kementerian Agama, dan ini bukan hanya pada Ramadan tetapi juga sepanjang tahun.

“Namun, waktu solat lain kekal sama,” kata Encik Ananto kepada Berita Harian (BH).

Menurut Majlis Tarjih dan Tajdid Muhammadiyah dalam muktamar nasional 2023, pengiraan lama pemerintah yang menetapkan waktu subuh ketika matahari berada pada kedudukan minus 20 darjah di bawah ufuk adalah tidak tepat.

Majlis itu menetapkan kedudukan sebenar ialah 18 darjah. Dalam pengiraan astronomi, setiap darjah bersamaan kira-kira empat minit, menjadikan perbezaan dua darjah bersamaan lapan minit.

Perubahan itu hasil perbincangan hukum selama bertahun-tahun yang memuncak apabila Muhammadiyah secara rasmi melancarkan dan menerima pakai kalendar Hijrah sejagat pada Jun 2025.

Melalui kalendar itu, permulaan setiap bulan termasuk Ramadan ditentukan berdasarkan pengiraan astronomi sejagat tanpa perlu menunggu penglihatan anak bulan secara langsung.

Pengiraan astronomi Muhammadiyah atau hisab menentukan anak bulan boleh dilihat pada petang 17 Februari dengan kedudukan di Alaska sebagai rujukan sejagat, sekali gus menjadikan Ramadan bermula 18 Februari.

“Ini kerana Muhammadiyah menggunakan kalendar Hijrah global bersatu.

“Dengan kalendar ini, asas permulaan bulan baharu menggunakan rujukan global, bukan lagi tempatan. Ini berbeza daripada kaedah hisab ‘wujudul hilal’ yang digunakan sebelum ini,” kata pakar tarjih Muhammadiyah, Encik Niki Alma Febriana Fauzi, kepada BH pada 20 Februari.

Melalui kaedah lama, rujukan kemunculan anak bulan berdasarkan kawasan geografi sesebuah negara, menyebabkan tarikh boleh berbeza antara negara jiran seperti Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Namun menurut Encik Niki, dalam sumber klasik Islam terdapat konsep ‘matlak’ bersatu, iaitu di mana-mana sahaja anak bulan pertama kali kelihatan di bumi, seluruh dunia dianggap memasuki bulan baharu.

Prinsip itu bermaksud seluruh dunia berkongsi satu tarikh yang sama bagi setiap hari, berpandukan satu rujukan masa sejagat.

“Dalam kes Ramadan tahun ini (2026), berdasarkan hisab, hilal sudah kelihatan pada 17 Februari dan ia terpakai secara global termasuk wilayah timur seperti Indonesia,” katanya.

“Di mana-mana sahaja anak bulan kelihatan, ia berlaku secara global. Rujukannya bukan hanya Alaska, tetapi kebetulan untuk Ramadan kali ini ia mula kelihatan di sana,” tambahnya.

Pendekatan itu berbeza daripada amalan mentafsir secara literal hadis Nabi Muhammad saw yang menyatakan “berpuasalah apabila melihat anak bulan dan berbukalah apabila melihatnya”, yang masih menjadi asas kementerian agama, NU dan banyak pertubuhan Islam lain menentukan Ramadan dan Aidilfitri.

Encik Niki berkata Muhammadiyah tidak menafsirkan hadis itu semata-mata sebagai melihat dengan mata kasar atau rukyah, tetapi boleh juga difahami secara saintifik.

Menurutnya, rukyah sesuai pada zaman dahulu ketika astronomi belum berkembang, dan kaedah boleh berubah mengikut keperluan masyarakat.

“Ia membolehkan masyarakat membuat persediaan awal bagi kegiatan harian dan ibadah besar dengan menggunakan kalendar Hijrah global bersatu,” katanya.

Profesor Astronomi Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (Brin), Dr Thomas Djamaludin, mengakui hisab sangat tepat sehingga boleh meramal gerhana matahari dan bulan hingga ke saat tertentu, namun kebanyakan umat Islam masih memilih pengesahan melalui rukyah.

Seorang lagi pakar astronomi Brin, Dr Rhorom Priyatikanto, berkata walaupun praktikal, penggunaan kalendar sejagat perlu mempertimbangkan aspek fiqh serta nilai sosial dan budaya masyarakat.

“Ia melibatkan banyak dimensi, jadi kita perlu menilai sama ada rujukan kalendar Hijrah global sesuai dan dapat diterima masyarakat,” katanya dalam siaran berita, Metro TV.

Beliau menambah taburan umat Islam di wilayah timur seperti Asia Tenggara, Asia Selatan dan Afrika juga perlu diambil kira dalam pelaksanaannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg